Bila bercakap tentang orang yang berubah hati, tak lengkap rasanya jika kita tak bercakap tentang ‘musang berjanggut’ dari Istanbul, iaitu Harun Yahya atau nama sebenarnya, Adnan Oktar. Harun adalah seorang televengelist iaitu ‘pendakwah’ yang mempunyai rancangan sendiri di kaca TV Turki.
Cerita tentangnya boleh dibaca melalui banyak sumber. Seperti agamawan-agamawan lain, ‘pendakwah palsu’ ini juga turut menghasilkan buku-buku yang ‘berperisa’ agama. Dia telah menulis lebih 300 buah buku dan buku-buku beliau telah diterjemah kepada lebih 70 bahasa. Pengaruhnya di dalam dunia Islam sangatlah besar hinggakan namanya menitip di bibir-bibir sesetengah penceramah di tanah air kita, suatu masa dahulu.
Entah ‘syaitan’ apakah yang merasuknya hinggakan dia boleh terpesong dengan begitu dahsyat. Mujurlah pada 11 Julai 2018 yang lepas, Harun Yahya telah ditangkap bersama-sama 166 orang pengikutnya. Dia dihadapkan dengan lapan pertuduhan termasuklah jenayah komersial, kesalahan seksual dan juga aktiviti terorism. Bersama-sama denganya, terdapat lebih 50 laras senjata api berserta peluru disita di dalam serbuan oleh pihak berkuasa Turki.
Siapa sangka lelaki yang berusia 62 tahun itu rupa-rupanya ‘ayahanda’ besar dalam dunia jenayah. Itu di Turki. Di Malaysia juga apa kurangnya. Cerita-cerita orang yang pandai memanipulasi orang, memujuk rayu, menyebarkan kultus dan menggerakkan sesuatu kumpulan, sebenarnya banyak.
Ini termasuklah ahli agama seperti pengaruh Abuya Asya’ari di dalam gerakan al-Arqam, Pak Man Telo dalam skim cepat kaya beliau, kumpulan al-maunnah, skim emas ETA Tok Belagak, Ustaz Norsham dengan pelaburan alfafa, dan lain-lain lagi.
Saya meniliti persamaan di antara mereka.
Kejayaan mereka merekrut ahli, membina pengaruh, dan membeli kesetiaan orang lain adalah kerana mereka berjaya menjual suatu mutiara yang diimpikan oleh semua orang iaitu ‘harapan’.
Semua orang berharap untuk hidup senang, kaya-raya, anak ramai, sembuh daripada penyakit, dan masuk ke dalam syurga; dan itulah janji-janji yang ditanam oleh para scammer dan cult leader ini.
Masih ingatkah kita kepada Jim Jones dalam peristiwa hitam Jonestown massacre, 18 November 1978. Walaupun ada naratif yang mengatakan pengikutnya diracun, tetapi kita tak boleh menafikan bahawa angka 918 korban di dalam peristiwa yang digambarkan sebagai ‘the biggest mass-suicide in history’ itu sebagai suatu musibah yang dahsyat dan sangat menyayat hati. Lebih-lebih lagi hampir 200 korban itu adalah kanak-kanak.
‘Paderi’ Jones menjanjikan sebuah utopia kepada pengikutnya. Agaknya idea utopia begitu jugalah yang dilaungkan di dalam khutbah-khutbah para ‘jihadis’ di dalam kumpulan al-maunnah hinggakan pada tanggal 2 Julai 2000, sekumpulan 15 orang anggota al-maunnah bertindak nekad menyelinap masuk ke dalam kem tentera di Gerik sebelum melarikan 100 laras senjata bersama-sama beribu-ribu peluru. Tidak cukup dengan itu, mereka juga telah menahan 2 tebusan semasa proses melarikan diri. Malang sekali, tebusan-tebusan itu telah disiksa dan dibunuh semasa di dalam tahanan.
Perbuatan mereka, di sisi kita adalah sebuah kesalahan serius. Kita pelik bahkan mengutuk. Tetapi bagi mereka, perbuatan mereka ialah mulia. Jika mati, mati syahid!
Begitulah halnya dengan orang yang terpedaya dengan skim cepat kaya, pelaburan emas, dan juga janji rumah murah.
Jika kita memberitahu mereka yang itu semua helah, tipu daya dan ada udang di sebalik batu, maka mereka akan membalasnya secara sinis. Kononnya kita dengki dan cemburu.
Kata mereka, orang melayu ni pantang tengok bangsa sendiri berjaya!
Sikap terlalu mencari-cari janji manusia, menjadikan kita lupa kepada janji-janji Allah S.W.T. Padahal sebelum manusia memberikan harapan, Allah S.W.T sudah terlebih dahulu memberikan tawaran-Nya kepada kita.
Apa yang kita mahu? Kaya, anak yang ramai, isteri yang setia, kesihatan, kebahagiaan… atau syurga? Ah, semuanya mudah bagi Allah.
Namun begitu, terang lagi bersuluh, Dia menyuruh kita supaya berusaha. Tiada kejayaan yang datang dalam satu malam, tiada kemenangan yang diraih tanpa pertandingan.
Artikel ini bertujuan mengingatkan kita kepada janji-janji Allah. Sedangkan manusia yang pandai bersilat lidah pun kita percaya, lalu apa yang menghalang kita daripada percayakan Allah S.W.T?
Manusia sering memberi kita harapan, tapi mereka jugalah yang mengoyaknya. Tapi Allah, Dia juga memberikan harapan tetapi Dia akan mendakapnya.
Dakapilah harapan kami, wahai Tuhan kami…