Saya percaya yang hati manusia ini boleh berubah. Cinta dan benci, boleh bertukar tempat sepantas kilat. Orang yang kita cinta sepanjang tahun, boleh dibenci dalam satu malam. Akhirnya disangka menjaga jodoh sendiri, rupa-rupanya menjaga jodoh orang.
Begitulah sifat hati. Di dalam kantung sejarah, kita mendengar banyak kisah-kisah manusia yang berpusing hati, berpaling wajah. Ada orang yang dahulunya jahat, telah pun berubah menjadi soleh. Namun malangnya, ada juga yang dahulunya baik, tetapi berubah menjadi tidak baik.
Naratif ini bukanlah bertujuan untuk menghukum. Kerana ada sebuah hadis daripada Nabi S.A.W yang bercerita tentang jarak manusia daripada syurga atau neraka.
Sabda Nabi S.A.W, ada orang yang beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jaraknya dengan taman syurga hanya sehasta, namun akhirnya dia melakukan perbuatan ahli neraka lalu mati di dalamnya.
Tambah Baginda S.A.W lagi, ada pula manusia yang sepanjang hidupnya beramal dengan amalan ahli neraka hingga jaraknya dengan jurang neraka hanya tinggal sehasta, namun sebelum mati, dia bertaubat dan beramal dengan amalan ahli syurga dan dia pun masuk ke dalam syurga.
Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari itu sebenarnya panjang. Selain daripada menceritakan tentang pengakhiran hayat seseorang, hadis itu juga ada menceritakan tentang konsep rezeki, takdir, dan proses penciptaan fetus di dalam rahim bondanya.
Tanpa kita sedari, sebenarnya di dalam Islam, di mana kita bermula adalah tidak penting. Yang penting adalah di mana kita berhenti.
Terlalu ramai pahlawan yang mati sebagai pengecut, tetapi ramai juga pengecut yang mati dalam perisai pahlawan.
Kisah Pertama.
Fudhail Bin Iyyad ialah seorang yang sangat terkenal sebagai orang yang alim dan rajin beribadah. Namun begitu, beliau dahulu adalah seorang ketua perompak dan sangat ditakuti. Pada suatu hari, beliau terpandang kepada seorang wanita lantas tertarik kepadanya.
Lalu beliau mengekori dan mengintip wanita tersebut. Semasa beliau sedang memanjat atap bumbung rumah wanita tersebut, beliau mendengar alunan al-Quran daripada surah al-Hadid ayat ke 16.
أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَنْ تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ
Belumkah tiba masanya untuk orang beriman khusyuk hati mereka, menerima peringatan Allah?
Fudhail Bin Iyyad tersentak. Serta merta keinsafan menyerap ke dalam hatinya lalu dengan mata yang basah dan bercucuran air mata, beliau menyahut, “Sudah sampai masanya, sudah sampai masanya Ya Allah”.
Malam itu, beliau singgah ke sebuah rumah usang di sebuah lorong. Kebetulan, ada tiga orang lelaki sedang dalam perjalanan dan mahu melalui lorong itu.
Salah seorang daripada mereka berkata, “Berhenti. Seeloknya kita tunggu sahaja pagi esok. Biasanya Fudhail Bin Iyyad akan menunggu di tengah-tengah lorong ini dan dia akan merompak barang-barang milik kita”.
Fudhail Bin Iyyad mendengar perbualan lelaki-lelaki itu. Terdetik di dalam hatinya, betapa jahatnya dirinya hinggakan manusia lain takut dan mahu menjauhinya. Dia lalu keluar daripada rumah usang itu dan pergi ke tengah-tengah jalan sambil berulang kali berkata, “Kalian sudah aman daripada aku. Kalian sudah aman daripada Fudhail Bin Iyyad”.
Akhirnya beliau berhijrah ke Kuffah, Iraq untuk mendalami agama sehingga menjadi seorang yang sangat alim dan kemudiannya, mendiami kota Mekah dan Madinah serta menghabiskan masanya dengan beribadah semata-mata kepada Allah S.W.T.
Kisah kedua.
Ibrahim Bin Adham adalah seorang ahli sufi yang terkenal. Namun begitu, beliau sebelum ini adalah seorang keturunan bangsawan yang hidup mewah dan kaya raya. Ada beberapa sumber mengatakan beliau adalah seorang raja.
Pada suatu hari, beliau pergi berburu di dalam hutan. Malangnya, beliau terpisah daripada rombongannya. Sambil menunggu mereka, beliau mengeluarkan bekalan roti untuk dijamah. Tidak semena-mena datang seekor gagak lalu menyambar rotinya. Ibrahim Bin Adham menjadi sangat marah lalu dia memecut kudanya, mengekori burung gagak itu hinggalah dia sampai ke sebuah kawasan.
Beliau menyaksikan burung gagak tadi sedang menyuapkan roti yang dicuri daripadanya tadi ke dalam mulut seorang lelaki yang sedang terikat tangan dan kakinya. Dengan terkejut, beliau bertanyakan mengapa lelaki itu berkeadaan begitu.
Jawabnya, “Sesungguhnya aku adalah seorang pedagang yang telah dirompak. Barang-barangku telah diambil kesemuanya dan aku diikat dan dibiarkan untuk mati kebuluran. Namun begitu, dengan izin Allah, datang burung gagak ini untuk mencarikanku makanan. Ia kemudiannya memotong makanan itu dan menyuapkan ke dalam mulutku. Sungguh, Allah S.W.T tidak akan membiarkan aku kelaparan”.
Peristiwa ini menginsafkan Ibrahim Bin Adham. Rentetan daripada itu, beliau menanggalkan pakaian bangsawannya dan menyarung selendang sufi.
Kisah ketiga.
Safi Ilyas atau nama sebenarnya Mohd Saifuddin Bin Ilias pernah menjadi fenomena pada tahun 2016 kerana ‘berhijrah’ daripada menjadi seorang mak nyah kepada seorang lelaki normal. Pada bulan April 2016, beliau berkongsi gambar pembedahan membuang implan payu dara beliau bagi membuktikan bahawa beliau bersungguh-sungguh mahu kembali ke pangkal jalan. Bahkan dalam bulan yang sama, beliau dipanggil oleh siaran radio islamik, IKIM.fm untuk berkongsi pengalaman beliau keluar daripada kepompong maksiat kembali kepada fitrah. Dahulunya, saya merasakan beliau wajar diangkat sebagai ikon anak muda. Bukan sekadar kerana beliau berani berhijrah, tetapi kerana kejayaan beliau menjadi jutawan di usia muda.
Dalam kekangan beliau semasa bergelar pelajar sekolah pun, beliau mempunyai minda usahawan sehingga dikatakan simpanan beliau mencecah RM 200,000 ketika baru sahaja tamat persekolahan. Safiey Ilyas juga menyatakan komitmen beliau untuk berubah dan berdakwah kepada rakan-rakan mak nyah beliau. Bahkan beliau juga ada mengikuti jemaah tabligh keluar berdakwah.
Namun begitu, disangka panas hingga ke petang tetapi hujan di tengah hari. Entah mengapa, beliau akhirnya membuat pengumuman untuk kembali ke lorong ‘itu’. Kononnya tak tahan dengan desakan, ejekan, dan penerimaan negetif daripada netizen. Naratif Safiey Ilyas ini adalah antagonis kepada sahabat baiknya, Harry Zulkifli. Tidak seperti Safiey, Harry sebaliknya meninggalkan jauh-jauh masa silamnya. Dia benar-benar bertaubat dan tidak mahu lagi menjadi Yana, iaitu nama ‘perempuan’ yang digunanya semasa menjadi mak nyah dahulu.
Tahniah Harry.
Sayang sekali Safiey.
Kisah Keempat.
Dunia hiburan tanah air kita seringkali digegarkan dengan cerita-cerita penghijrahan artis terkemuka. Nama-nama seperti Azmil Mustapha, Farah Fauzana, Neolofa, Sham Kamikaze, Mizz Nina, dan lain-lain, sering menjadi penghias muka hadapan akhbar dalam ruangan hiburan. Bahkan seringkali juga wajah mereka terpampang pada poster-poster, dijemput untuk berkongsi cerita-cerita penghijrahan mereka. Walaupun mungkin ada beberapa orang yang terumbang ambing, sekejap timbul sekejap tenggelam, ada beberapa nama yang konsisten di dalam penghijrahan mereka.
Adam Corrie dan Mizz Nina adalah dua orang figur terbaik untuk diteladani. Namun begitu, saya lebih suka untuk berkongsi dengan pembaca tentang Abang Shamsul Ghau Ghau atau nama penuhnya, Shamsul Azahar Alidin. Beliau adalah antara permata yang dihasilkan daripada program realiti TV terawal di Malaysia, iaitu Sinaran Passport Kegemilangan Muslim 1. Bagi mereka yang lahir pada tahun 90-an, sudah tentu mereka tahu tentang rancangan Tv ini.
Abang Shamsul Ghau Ghau seringkali diundang untuk berceramah. Hasil carian di YouTube menemukan saya dengan lambakan klip ceramah beliau. Tidak seperti orang lain, saya dapati pesona yang ditampilkan oleh beliau adalah sangat tulen. Beliau tidak suka menyalahkan, memburukkan dan jauh sekali membuka aib diri sendiri. Bahkan apabila membacakan hadis atau memetik ayat al-Quran, saya perasan ada sikap hati-hati dan kewaspadaan yang sangat kuat yang beliau tonjolkan.
Jika Altimate ada menyebutkan di dalam lagu rap beliau,
“…Tujuh kali datang usrah sudah pandai tepis fatwa…”
Maka sikap begitu langsung tiada pada Abang Shamsul. Bercakaplah dengan kadar kemampuan kita sekalipun jiwa kita berkobar-kobar mahu mengubah orang, mahu mencegah maksiat dan mahu melakukan dakwah.
Sikap terlampau bersemangat ini sudah banyak kali memakan diri. Mungkin inilah juga yang telah berlaku kepada adik kita, Safiey Ilyas.
Kisah Kelima.
Ar-Rajjal Bin Unfuwah adalah seorang yang pernah menjadi sahabat Nabi Muhammad S.A.W. Dia telah diutuskan oleh Baginda kepada penduduk Yamamah, iaitu kaum Musailamah al-Khazzab. Semasa di sana, dia melihat kekuatan sokongan yang diberikan oleh penduduk Yamamah kepada Musailamah al-Khazzab, lalu menyebabkan hatinya tergelincir. Lantaran itu, dia murtad. Ayat-ayat al-Quran dan ilmu-ilmu agama yang diajar oleh Nabi S.A.W kepadanya, diajarkan pula kepada Musailamah al-Khazzab untuk mencari semakin ramai pengikut, bagi menggempur Mekah.
Sebelum daripada itu lagi, iaitu semasa Nabi S.A.W baru sahaja dilantik sebagai Rasulullah, sejarah telah memahat cerita-cerita orang beriman yang kembali murtad. Salah satunya adalah semasa peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa ini sangat signifikan kepada umat Islam melalui perintah solat dan juga pengajaran-pengajaran besar yang lain. Namun, disebalik pengiktirafan keatas iman Saidina Abu Bakar yang mendapat gelaran as-Siddiq, rupa-rupanya ada juga orang beriman yang kembali murtad kerana meragui kisah perjalanan Baginda S.A.W.
Agak-agaknya, jika kita berada di dalam situasi itu, adakah kita akan membenarkan Baginda sebagaimana Saidina Abu Bakar R.A, atau kita akan termakan dakyah orang kafir quraish sehingga kita ragu-ragu dan melepaskan ikatan iman?
Kelima-lima kisah diatas mengajar kita bahawa manusia boleh berubah. Bagi anda yang merasakan diri anda baik, berhati-hatilah kerana syaitan ada sahaja jalan untuk menyebabkan kita tergelincir. Namun begitu, jika anda merasakan diri anda jahat dan berniat mahu berubah, maka usahlah bimbang kerana setiap manusia ada permulaannya.
Dan permulaan itu adalah permulaan langkah kita ke syurgaNya.
Alhamdulillah.. Terima kasih bal..
Ya muqallibalqulub…
.
Aku pun suka tengok brader shamsul tu..
Ada satu dia cerita solat kat rnr gurun ka.. Baca surah al kafirun jem makmum ramai lupa teruih.. Hihi..
LikeLike