Soalan; Bagaimana hendak dapatkan kemanisan ibadah?

Seorang pembaca kami ada menghantar soalan di dalam inbox Messanger Facebook kami. Terima kasih kepada Puan yang bertanya.

Setiap hubungan, ada pasang surutnya, ada manis tawarnya. Seperti orang bercinta jugalah. Masa awal-awal bercinta, dunia terasa seperti ‘ana yang punya’. Semua yang pasangan kita buat, sentiasa betul di mata kita. Tetapi lama kelamaan, kemanisan tadi semakin berkurangan.

Kemanisan ibadah berkadar langsung dengan kemanisan Iman. Ibadah adalah testimoni keyakinan. Jika seseorang mengaku, “Aku telah beriman”, maka dakwaannya perlu dibuktikan dengan meneliti kepada amalannya.

Serupa juga dengan menuduh seseorang sebagai tidak beriman. Tuduhan itu perlu dibuktikan dengan melihat dan menilai amalan pihak tertuduh tadi.

Saya tidak pernah jemu membaca hadis ‘Hanzalah telah munafik’.

Suatu hari, seorang sahabat bernama Hanzalah R.A menangis teresak-esak sambil menyebut-nyebut, “Hanzalah telah munafik, Hanzalah telah munafik”.

Saidina Abu Bakar R.A mendengar keluhan dan tangisannya, lalu dia bertanyakan Hanzalah, mengapa beliau berkata begitu. Apabila Hanzalah R.A menjawab, Abu Bakar pula yang menangis.

“Jika begitu, aku bimbang aku juga telah munafik”

Lalu mereka pergi mendapatkan Rasulullah S.A.W bagi mendapatkan keputusan. Sesampainya di hadapan Rasulullah, Hanzalah R.A terus berkata,

“Wahai Rasulullah, Hanzalah telah munafik.”

Rasulullah S.A.W bertanya, “Mengapa kamu berkata begitu?”

“Ketika aku bersamamu, aku merasakan seolah-olah syurga dan neraka itu sangat hampir denganku. Lantas air mataku mengalir. Tetapi di rumah, aku bergurau senda keriangan bersama anak-anak dan isteriku . Tidakkah aku ini seorang munafik ya Rasulullah?”

Rasulullah S.A.W tersenyum. Lantas Baginda bersabda,

“Demi yang jiwaku di tanganNya. Andai kalian tetap seperti kalian di sisiku dan terus berzikir nescaya para malaikat akan berjabat tangan kalian, sedang kalian berada di atas tempat tidur dan di jalan raya. Tetapi wahai Hanzalah, ada waktumu (untuk beribadah) dan ada waktumu (untuk duniamu)”. H.R Imam Muslim.

Hadis ini mengajarkan kita sisi kemanusiaan kita. Ada masa iman kita kuat, ada masa iman kita lemah. Semasa kuat, hendak bangun qiamullail pun kita rasa mudah. Tetapi jika iman lemah, hendak solat fardu yang wajib itupun rasa sangat sukar dan malas.

Iman itu tempatnya di dalam hati. Hati manusia sifatnya berbolak-balik. Mudah condong dan cenderung dengan sesuatu. Mudah juga terkesan dengan suasana.

Kita ambil contoh artis-artis yang pernah berhijrah. Artis yang berhijrah itu ramai, tetapi yang istiqomah di dalam penghijrahan amatlah sedikit.

Kita ambil contoh arwah Azmil Mustapha, pelakon era 80-an yang terkenal melalui filem Ali Setan.

Mengapa beliau boleh istiqomah di dalam hijrahnya, hingga saat dia meninggal dunia.

Pertama, mencari ilmu. Kedua, tinggalkan dunia lama.

Selepas hijrah, beliau sudah tidak kembali berlakon. Beliau tinggalkan terus dunia seni. Sebaliknya, beliau berhijrah ke Syria bagi mengikuti majlis-majlis pengajian dan memantapkan kefahaman agamanya. Tidak hairanlah beliau diberi gelaran ustaz dan dijemput untuk memberi ceramah dan tazkirah di surau-surau.

Pasangannya di dalam filem Ali Setan dahulu, Fauziah Ahmad Daud juga mengakui yang tidak akan ada orang yang sama seperti Azmil Mustapha. Katanya, Azmil sangat gembira dengan perubahan Fauziah tetapi dia juga tidak skeptikal dan judgmental apabila Fauziah mengambil keputusan untuk kembali ke dunia seni hiburan. Sebaliknya Azmil hanya mendoakan dan berpesan kepadanya supaya menjaga iman dan solat.

Kita juga sering dengar hadis tentang pemuda yang membunuh 100 orang nyawa. Dia berusaha untuk bertaubat dan akhirnya, dia meninggal dunia semasa di dalam perjalanan menuju ke perkampungan orang baik-baik.
Nasihat pendeta kepadanya adalah supaya berhijrah meninggalkan perkampungan sekarang, menuju sebuah daerah yang lebih baik.

Kerana hijrah jiwa perlu diikuti dengan hijrah fizikal.

Jika tidak, jadilah kita seperti seorang ‘mak nyah’ yang pernah diundang memberi perkongsian di dalam radio IKIM, dan bercakap tentang dakwah, tetapi tidak lama selepas itu, dia memberitahu seluruh negara, dia mahu kembali ke dunia lama beliau.

Saya percaya, hatinya telah berbolak sekali lagi. Mungkin jika hijrahnya dahulu membawanya jauh meninggalkan dunia kelab malam, rakan-rakan mak nyah dan perniagaan kosmetiknya, maka pasti dia akan menjadi individu yang berbeza hari ini.

Dahulu, semasa bapa saudara Rasulullah S.A.W hampir meninggal dunia, Baginda masih tidak putus asa berdakwah dan merayu agar bapa saudaranya yang tercinta itu mengucapkan kalimah tauhid.

Namun begitu, Abu Talib tetap dengan pendiriannya. Dia bimbang apa kata orang arab yang lain tentangnya. Lalu dia meninggal dunia dalam keadaan tidak mengikuti perjuangan Nabi S.A.W walaupun sepanjang hayatnya, dialah pelindung dan perisai bagi perjuang Nabi S.A.W. sekalipun dia sendiri tidak beriman dengan apa yang Nabi S.A.W bawa.

Hingga turunnya ayat ini untuk kita fahami bahawa hati manusia letaknya dalam pegangan Allah S.W.T

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

“Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi hidayah (petunjuk) kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi hidayah kepada orang yang Dia kehendaki, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk”. (Al Qhosos ayat 56)

Saya juga percaya bahawa apa yang kita sering sebut akan membentuk warna hati kita. Jika lidah kita selalu berbohong, maka kita tidak akan mampu menerima kebenaran. Jika lidah kita suka memaki hamun dan mengutuk orang, maka hati kita tidak mampu menerima perdamaian dan kasih sayang.

Kerana itu jika kita membaca al-Quran, kita akan temui beratus-ratus perkataan قُلْ (qul) yang bermaksud ‘katalah’. Tujuan Allah menyuruh kita ‘berkata’ adalah supaya keyakinan itu timbul di dalam hati. Bila lidah kita lurus, barulah hati akan lurus.

Ini bertepatan dengan sebuah firman Allah S.W.T di dalam surah Az-Zaariyat ayat 55 supaya kita sentiasa memberikan peringatan, kerana peringatan itu berguna kepada orang-orang yang beriman.

Kita merasa inferior kononnya dengan berkata yang baik-baik, kita ini berlagak baik atau acah-acah nak jadi ustaz, padahal kita terlupa, telinga kita lebih hampir dengan mulut kita berbanding dengan telinga orang lain. Apa yang kita cakap akan masuk ke dalam telinga kita terlebih dahulu, sebelum diproses oleh otak dan membentuk tembok keyakinan.

Saya tahu, istiqomah itu sangat sukar. Kerana itulah apabila seorang sahabat Nabi bertanya kepada Rasulullah S.A.W, apakah pesanan terbaik buatnya, maka jawab Baginda, “…kamu beriman kepada Allah, kemudian istiqomahlah”.

Mengapa kita sukar untuk istiqomah?

Jawapan pertama saya tadi ialah faktor persekitaran dan sosial.

Yang kedua adalah kerana syaitan. Syaitan tidak pernah putus asa menggoda kita. Kerja mereka tidak ada cuti dan rehat. Mereka membisikkan hasutan-hasutan supaya kita malas dan terus meninggalkan ibadah.

Ketiga, kerana kita terlalu disibukkan dengan hal keduniaan. Pernah terjadi, kita solat empat rakaat tapi kita tak sedar tiba-tiba kita sudah dalam tahiyyat akhir. ‘Tidak sedar’ tadi adalah kerana fikiran kita tidak berada bersama kita di atas sejadah yang terbentang itu, sebaliknya ia melayang jauh memikirkan masalah kerja dan dunia yang tak habis-habis.

Keempat, kita juga susah hendak istiqomah kerana kita rasa kita tidak berada di dalam masalah. Kita rasa okey-okey sahaja padahal sebaliknya. Seringkali, ibadah itu terasa indah semasa jiwa kita sedang derita. Doa-doa kita pun khusyuk ketika kita di dalam masalah. Waktu itu, kita berasa lemah dan buntu. Dalam hati, kita yakin hanya Allah sahajalah yang mampu menyelesaikan kekusutan jiwa dan merungkai masalah kita.

Semua manusia pun secara umumnya begitu. Padanlah awal-awal lagi Allah S.W.T telah menempelak kita di dalam surah Yunus ayat 12;

“Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk, atau berdiri. Tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas…”

Tiada seorang pun antara kita akan mencapai kesempurnaan di dunia ini. Termasuklah Datuk Alif Syukri. Sekalipun dia jutawan dan patung di luar rumahnya bernilai jutaan ringgit, hidupnya belum sempurna. Dia masih ada masalah. Apatah lagi kita yang kerja makan gaji ini.

Kerana itulah kita perlu selalu berpaling kepada Allah, bukan berpaling daripada Allah. Kita adalah ‘hamba’ di dunia ini. Kita sentiasa memerlukan Allah. Kerana perasaan ‘memerlukan’ itu akan menjadikan kita seperti bayi yang sentiasa rindukan ibunya. Sekalipun ibunya tidak memberinya mainan, namun rajuknya tidak akan lama kerana dia tahu, ibunya sentiasa menyayangi dan melindunginya.

Jika begitulah hubungan anak dengan ibunya, maka hubungan hamba dengan Tuhannya perlu lebih erat, mesra dan lebih rapat lagi daripada itu.

Ada masalah, cari Allah dahulu. Mengadu di dalam solat dan doa kita kerana ‘pengaduan’ itulah yang akan menyampaikan kita kepada puncak kasih sayang Allah.

Mengadulah kepada Allah. Dia Maha Mendengar.

Apabila cinta sudah berputik, ibadah akan menjadi ‘hadiah’ bukannya lagi tanggungjawab.

Semoga menjawab soalan. Jika para pembaca ada soalan atau isu yang mahu saya tulis, boleh tulis di ruangan komen dan kekal rahsia (anonymous).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s