Saya rasa Datuk Seri Zahid Hamidi jika beliau mahu berhenti menjadi ahli politik, beliau layak untuk menjadi ahli keempat kumpulan pelawak ZERO. Dengan slogan, ‘pantang mundur kecuali operasi’, Datuk Seri Zahid Hamidi (DSZH) memiliki ‘X factor‘ untuk menjadi seorang juara. Beliau tidak mudah mengalah, tidak gentar terhadap lawan, dan dalam masa yang sama, beliau juga pandai berjenaka.
Di sebalik 45 buah pertuduhan yang melibatkan sejumlah RM 114 juta, saya melihat beliau masih lagi tenang. Bahkan apabila ketua pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi menyarankan kepada beliau agar bercuti, beliau tidak teragak-agak untuk menolak cadangan tersebut. Beliau yakin dirinya tidak bersalah. Itu, kita biarkan mahkamah yang tentukan.
Saya sebenarnya lebih tertarik kepada sisi ‘lucu’ beliau iaitu apabila beliau mengaitkan musibah gempa bumi dan bencana alam di Palu, Indonesia kepada kebanjiran aktiviti maksiat dan LGBT di rantau itu. Sejujurnya, kenyataan beliau itu tidak bermasalah, akan tetapi ia menjadi bermasalah apabila ‘bola tanggung’ itu cepat-cepat disambar oleh YB Syed Saddiq, dengan mempersoalkan semula kaitan di antara tuduhan rasuah dan salah guna kuasa yang sedang dihadapi oleh DSZH dengan musibah dan bala juga.
Sebenarnya bukan seorang dua yang mengaitkan bala dan musibah yang terjadi di Palu itu dengan aktiviti maksiat dan LGBT. Bahkan ramai.
Tetapi ada juga yang menolak habis-habisan kaitan di antara perbuatan-perbuatan yang mengundang kemurkaan Tuhan, dengan bala dan musibah.
Pada saya, bala adalah seperti garisan lurus yang bertembung dengan titik temu alam semulajadi dan elemen ketuhanan. Maka, untuk mengaitkan sesebuah musibah kepada kelemahan manusia bukanlah suatu yang tepat tetapi untuk menolak faktor perbuatan manusia, juga salah.
Faktor geografi seperti lokasi ‘ring of fire’ adalah jawapan daripada saintis.
Manakala jawapan dari langit pula antaranya adalah daripada surah Ar-Rum ayat 41, di mana Allah S.W.T menjelaskan bahawa setiap kerosakan di atas bumi ini terjadi kerana tangan-tangan manusia.
Ini dikuatkan pula dengan penceritaan Allah tentang nasib umat-umat terdahulu, antaranya dalam surah al-A’raf ayat 81 dan ayat 133 surah yang sama.
Begitu juga amaran-amaran yang telah diberikan oleh Rasulullah S.A.W melalui hadis-hadis Baginda. Di antaranya tentang 15 maksiat yang bakal menarik bala dan kutukan daripada langit.
Namun begitu, kehidupan di dunia adalah kehidupan bersistem. Apabila Allah S.W.T mencipta bulan, matahari dan planet, Allah tidak membiarkan mereka berlegar-legar tanpa haluan, sebaliknya Allah jadikan juga teknologi orbit supaya mereka berlegar di dalam ruang masing-masing.
Bagi mereka yang menolak mentah-mentah hubungan di antara ‘tangan’ manusia dengan bala, maka suka untuk saya membawa kalian melihat kepada apa yang pernah berlaku kepada negeri Kelantan, Pulau Pinang dan beberapa tempat lain. Sekadar mengambil contoh, dalam insiden banjir besar pada tahun 2014, kerajaan negeri Kelantan di bawah PAS mengakui bahawa pembalakan haram merupakan salah satu punca kepada banjir besar itu.
Begitu juga di Pulau Pinang. Kelmarin, rakan-rakan saya ada berkongsi gambar Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas yang dinaiki air. Bezanya, pemimpin DAP belum ada yang mahu mengakui dan menginsafinya. Insiden jambatan yang runtuh semasa dalam pembinaan tempoh hari itu pun belum ada yang mahu mengambil tanggungjawab (take the blame), walhal sudah diberitahu yang tanah jenis peroi tidak sesuai untuk kerja-kerja pembinaan dijalankan di atasnya.
Manakala, bagi mereka yang menolak mentah-mentah faktor alam semulajadi dan terlalu obses mahu mengaitkan bala dengan kemurkaan Tuhan, maka orang ini pada saya adalah psikopat (psychopath). Kebanyakan mereka bukannya beriman sangat pun, tetapi hanya menggunakan hujah iman untuk menghentam, menyalahkan, dan menambahkan penderitaan mangsa.
Rambut dan kuku kita sendiri pun memanjang tanpa arahan dan larangan daripada kita. Bermakna, tubuh badan kita sendiri pun mempunyai penyelarasan fitrah yang tersendiri. Justeru bagaimana mungkin kita boleh menolak alam, sedangkan kita adalah sebahagian daripada alam ini.
Lantaran itu, kita sewajarnya lebih berhati-hati dalam berkata-kata. Kita tidak tahu maksiat dan dosa kita yang mana satukah yang menyebabkan Allah S.W.T murka kerana kita bukan setiausaha bagi pihak Allah. Kita juga bukan jurucakap bagi pihak-Nya untuk kita bersikap lebih sudu dari kuah, menafikan sekiranya Dia menyimpan murka kepada hamba-hambaNya.
Bersederhanalah. Musibah dan bala adalah untuk diinsafi, bukannya trofi untuk direbutkan oleh siapa yang lebih petah bertikam hujah.