Saya ada membaca sebuah tangkap layar (screenshot) seorang pengguna twitter yang berjenaka tentang suatu kes buli yang melibatkan adiknya. Saya rasa semua orang pun tahu ini kes yang mana.
Sejujurnya, saya tidak merasakan yang isu buli adalah isu yang kecil. Lebih-lebih lagi hingga kita tergamak untuk berkata, “Saya ingatkan anak awak mati sebab kena iron!”.
Saya ingat lagi pada penghujung tahun 2002, masa saya mula-mula mendapat tawaran untuk bersekolah di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh, Perak. Saya tidak pasti apa perasaan saya ketika itu. Cuma saya ingat, ada seorang abang kepada kawan saya yang sering mengusik. Dia adalah seorang mahasiswa di universiti. Katanya, sekolah-sekolah asrama ini banyak kes buli.
Antara ceritanya yang membuatkan hati saya berbelah bahagi adalah, katanya, antara bentuk pembulian adalah senior asrama akan memanggil junior-junior lalu mereka akan disuruh untuk meniup lampu kalimantang sehingga padam. Entah berapa hari saya susah hendak tidur malam membayangkan jika perkara sebegitu benar-benar berlaku kepada saya di asrama nanti.
Akhirnya saya tekad. Salah satu faktornya mungkin kerana ada kawan sekelas saya semasa di sekolah rendah, turut ditawarkan tempat ke STAR. Jadi pada hari pendaftaran, kami mendaftar bersama-sama.
Diringkaskan cerita, saya bersyukur kerana budaya buli yang dimomok-momokkan itu tidak terjadi kepada saya. Bukan sekadar itu, rakan-rakan satu ‘batch‘ saya juga tidak pernah menjadi mangsa buli senior. Mungkin kerana faktor ketegasan pengetua (Pak Pin) yang langsung tidak berkompromi dengan budaya buli, berjaya menurunkan risiko buli kepada sifar.
Gejala buli adalah isu global. Di Amerika, setiap seorang daripada 5 orang pelajar sekolah adalah mangsa buli. Data daripada PACER’s National Bullying Prevention Center mendedahkan, perbuatan buli melibatkan;
- diberi gelaran yang buruk
- diejek
- menjadi sasaran fitnah dan gosip
- dipulaukan
- dibuli secara fizikal.
Lebih ramai pelajar perempuan yang dibuli berbanding dengan pelajar lelaki, namun pelajar lelaki lebih banyak yang dibuli secara fizikal seperti ditumbuk, diperas ugut dan bergaduh, berbanding dengan perempuan.
Tidak boleh tidak, saya akan teringat kepada apa yang berlaku kepada Allayarham Farhan, mangsa buli pelatih-pelatih UPNM yang maut akibat kecederaan dibelasah dan disterika dengan seterika wap. Apa yang berlaku kepada arwah, membuktikan bahawa budaya buli itu wujud. Bukan sekadar di peringkat sekolah, tetapi juga di menara gading.
Kesan buli ada banyak. Antaranya;
- Mangsa buli akan mengalami trauma
- Menggangu tumpuannya belajar
- Tidak mahu ke sekolah
- Pembuli dan mangsa buli berisiko untuk menderita masalah mental
- Mangsa buli lebih terdedah kepada penyakit
Hari ini, gejala buli bukan lagi hanya terbahagi kepada verbal dan fizikal sahaja, bahkan buli juga boleh berlaku di dunia siber. Apa yang berlaku kepada Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah adalah contoh terbaharu. Mungkin kerana sedih dan terkilan dengan gelagat warga twitter yang baru setahun jagung, Raja Permaisuri Agong akhirnya mengambil keputusan untuk deaktivate akaun twitternya.
Cyberbullying boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Di Amerika, 34% daripada kalangan pelajar sekolah, sudah pun menjadi mangsa cyberbullying dan peratusan itu semakin meningkat dari tahun ke tahun.
Saya sebenarnya lebih risaukan cyberbullying berbanding ‘buli-tradisional’. Sebagai contoh, jika kita melakukan suatu kesalahan, dan kesalahan kita itu ditularkan. Berpuluh-puluh ribu orang melihat aib kita, dan beribu-ribu pula berkongsi dan memberikan komen yang negetif.
Lebih teruk, sesetengah orang bertindak lebih laju daripada anggota polis. Mereka menggali dan mencari sehingga semua maklumat kita didedahkan. Pekung ini habis ditelanjangkan tanpa belas kasihan. Lebih menakutkan jika ia melibatkan kerjaya dan keluarga. Bukan seorang dua yang kehilangan mata pencarian kerana seminit dua kebodohannya, dan bukan sedikit arang yang diconteng di muka keluarga, hingga jika dicuci dengan air zamzam sekalipun ia tidak akan hilang.
Buli bukan tradisi asrama. Buli juga berlaku di tempat kerja. Lebih-lebih lagi, sekiranya usia persaraan benar-benar diangkat daripada 60 tahun ke 65 tahun. Jika sekarang pun abang-abang kita sudah banyak yang menolak kerja mereka kepada kita atas alasan tak pandai komputer, tak nampak tulisan kerana terlalu kecil, dan faktor kesihatan, bayangkan pula bebanan kerja kita jika mereka bersara pada usia 65 tahun.
Mereka tidak berniat pun untuk membuli. Tetapi kitalah yang rasa begitu.
Kepada para pembuli, beringatlah sedikit. Dendam pontianak mungkin menakutkan, tetapi dendam orang-orang yang dizalimi, lebih menakutkan.
One thought on “Masalah Buli Di Asrama, Pejabat, dan Internet”