Kata orang, sakit itu tanda Allah sayang. Tapi bagi Liyana, lain pula halnya. Hari ini dia sakit lagi, dan menangis lagi. Pukulan daripada lelaki keparat itu sudah tidak berbekas, namun pukulan kepada hatinya, meninggalkan parut.
“Ya Allah… Kenapalah nasib aku macam ni…”
Liyana menarik nafas panjang sebelum kakinya diaturkan ke dapur.
Ya, dia masih perlu memasak untuk Akmal, suami yang tidak pernah belajar menghargai isteri. Malam semalam, lelaki itu seperti dirasuk hantu. Entah apa yang tidak kena pada Liyana sampaikan dia terduduk, merintih menahan sakit dikasari oleh suami yang seperti sudah hilang akalnya. Puncanya hanya satu, iaitu pintu rumah dibuka lambat sedikit semasa Akmal pulang dari pejabatnya. Ya, cuma kerana itu sahaja!
Liyana mengesat air mata yang mengalir di luar sedar. Dia yang masih hijau, dipaksa oleh ibu dan bapanya untuk bernikah. Saat lamaran daripada keluarga Akmal bertandang, dia baru sahaja tamat dengan kuliahnya di kolej. Belum pun sempat menempuh alam pekerjaan, ibu dan bapanya berkeras agar lamaran daripada anak kepada usahawan perabot itu segera diterima. Liyana terhimpit. Desakan yang tidak henti-henti itu mengheret dirinya kepada sebuah jalan mati. Ternyata apa yang diimpikannya hanyalah sebuah ilusi. Akmal itu, jauh daripada ciri suami ideal.
Sambil memotong bawang, sekali lagi fikiran Liyana melayang. Dia terkenangkan sikap suami yang dinikahi sejak 9 bulan yang lalu. Seperti kebanyakan pemuda biasa, Akmal itu memang boleh tahan penampilannya. Bicara dan tutur katanya juga kedengaran lembut dan tersusun.
Tapi semua itu cuma wayang.
“Saya harap Liyana boleh membantu saya lebih dekat dengan agama”
Kata-kata berupa sebuah janji memikat ditabur. Lagaknya seperti penternak ayam menabur dedak. Akmal itu seorang usahawan yang berjaya. Di usia muda, dia sudah punya aset yang bersusun-susun. Namun, bukan itu yang Liyana impikan. Yang Liyana cari cuma sebuah cinta yang ikhlas kerana Allah.
Itulah impiannya sebagai isteri. Siang malam, doanya hanya agar dapat berpimpin tangan dengan si suami di dalam syurga.
Sayangnya, itu hanya harapan yang makin samar.
Kurang 2 jam lagi, Akmal akan pulang. Hujung minggu itu, dia memberitahu Liyana bahawa dia punya hal. Liyana hanya mengangguk. Hendak ditanya lebih-lebih, dia tidak sanggup kerana dia tahu, hanya hamburan dan siri-siri ejekan sahaja yang akan diterima sebagai jawapan bagi soalan-soalannya.
Liyana sedar, dia anak orang kampung. Miskin. Ayah dan ibunya terjerat dengan hutang. Tapi Liyana juga ada maruah, ada hati, ada perasaan…
Menghampiri waktu zuhur, Liyana sudah sedia dengan pakain solat. Dia duduk bertelenggu di atas sejadah hijau, hadiah pemberian sahabat tercinta, Fatin semasa hari graduasi dahulu. Dia berzikir perlahan, bersama sebuah kesabaran yang ditinggikan agar diri sentiasa tabah untuk melayan lelaki kasar yang sudah diangkat sebagai suami.
Rakaat pertama hingga rakaat ketiga, Liyana khusyuk mengadu kepada Tuhan. Berdiri sahaja dalam rakaat yang terakhir, bunyi ketukan bertalu-talu di muka pintu. Walau rumah teres itu luas dan punya dua tingkat, bunyi ketukan itu terlalu kuat hingga kedengaran jelas oleh dua telinga Liyana yang masih dalam solat di tingkat atas. Lantas, khusyuk tadi terjejas dan dia bersegera menyudahkan solat. Usai, dia berkejaran turun dengan telekung masih rapi menutup badan melindungi bahagian tubuhnya kemerah-merahan, lebam dipukul jantan kerparat itu.
“Woi! Lambatnya kau buka pintu! Kau ingat aku baru seminit ke kat luar tu ha?!”
Itu ayat pertama terkeluar dari mulut lelaki berbaju-T Polo yang berdiri dimuka pintu. Wajahnya menyinga. Jelas di balik kaca matanya, biji mata lelaki itu dijengil penuh marah.
Liyana terkedu. Herdikan itu dirasakan seperti halilintar membelah awan. Segera dia memohon kemaafan, dengan rendah hati dan penuh rasa bersalah.
Akmal ternyata tidak sabar. Ditolak kasar tubuh kecil Liyana. Bersama telekung putih bersih, tubuh itu terjelupuk menahan sakit akibat tolakan kasar. Air mata jernih itu keluar lagi. Kali ini, tanpa suara, tanpa kata-kata. Yang kedengaran hanyalah nuasa-nuasa sebuah keperitan pada fizikal dan jeritan sebuah hati yang remuk, juga berkecai-kecai.
Akmal tidak memandang isteri yang disakiti. Hanya rengusan dilepas, cukup untuk mengambarkan betapa dirinya menyampah dengan wanita yang setiap malam dipaksa menjadi teman tidurnya.
“Aku nak makan”
Lagaknya seperti titah daripada maharaja. Tiada sekelumit rasa bersalah pun berbekas kepadanya kerana menyakiti isterinya tadi. Akmal sudah duduk di meja makan, membelek-belek telefon bimbit. Liyana cepat-cepat mengangkat punggung dan bingkas ke dapur, menyiapkan makan tengahari buat suaminya. Segalanya dilakukan dengan seikhlas dan serela mungkin, sedaya upayanya.
Mujur selera Akmal hari itu kena. Dia tidak menengking seperti selalu, seperti masa-masa lidahnya merasa tidak kena pada lauk masakan Liyana. Berselera dia makan, tanpa diajak si isteri untuk sama menjamah. Liyana, dirasakan tidak layak makan semeja. Tugasnya hanya melayan.
Patriaki yang terlindung dengan jubah agama atas jenama ketaatan seorang isteri. Walhal kalau bercakap soal taat, Akmal lah orang yang paling tak layak.
“Abang nak tambah?”,Liyana cuba melunakkan suara walau hatinya masih lagi menangis.
Akmal mengangguk. Lalu, nasi putih diletakkan di dalam pinggan kaca yang masih bersisa dengan makanan. Tanpa sepatah perkataan, tangan kasar lelaki itu kembali laju, menyuap makanan ke dalam mulut.
Kekenyangan, Akmal duduk di ruang tamu menonton televisyen. Jam sudah menunjukkan ke angka 3.
“Abang tak nak mandi dan solat dulu ke?”, tanya Liyana lembut . Dia nampak cantik walau dengan hanya berpakain santai.
Akmal menoleh kepada Liyana yang sudahpun mengambil tempat di sofa sebelahnya cuma. Jelas di wajahnya, dia meluat. Biji mata dijegelkan, marah diasak dengan soalan tadi.
“Hei. Kau sibuk-sibuk ni kenapa? Suka hati aku lah bila-bila aku nak pergi”, balasnya kasar. Sambil menghempaskan alat kawalan jauh ASTRO, dia merengus lalu bangkit laju ke tingkas atas, meninggalkan Liyana tercongok menahan debar dan kesedihan diherdik sebegitu kasar. Buat kesekalian kalinya, dia menangis lagi. Ah, air mata wanita itu benar-benar murah hari itu.
******
“Aku nak kawin lagi satu”
Kata-kata Akmal itu menyebabkan Liyana merasakan jiwanya separuh mati. Tidak berkelip matanya memandang Akmal. Majalah Solusi yang sedang ditatap, terlepas dari genggaman dan terjatuh atas ribanya.
“Abang… kenapa?”, tanyanya sayu. Ada sebuah getaran di balik suaranya.
“Aku tak suka kau. Aku suka orang lain”, jawab Akmal sombong.
Menitis air mata Liyana. Laju ia merembes keluar, seperti empangan yang pecah. Tersangat dirinya tidak menyangka bahawa perkara sebegini akan menimpa dirinya. Dia sama sekali tidak menyangka bahawa episod gelap ini akan menimpanya. Pun, dia sama tidak menyangka mimpi ngeri ini akan menghantui kehidupan sementaranya. Ya, dia tidak mampu berkata apa-apa.
Belum setahun usia perkahwinannya, dan dia sudah bakal dimadukan?
Malam itu, ketika Akmal sedang enak tidur sambil berdengkur kuat, Liyana tersungkur di tapak kasih Ilahi. Dipanjangkan sujudnya hingga basah sejadah dan telekungnya. Sungguh-sungguh dia mencampakkan pengaduan kepada Tuhan.
Tuhan yang mengizinkan pernikahan ini berlangsung. Tuhan ini jugalah yang akan menunjukkan jalan keluar kepadanya.
Akmal tidak bergurau. Ternyata dia benar-benar punya perempuan lain. Dia punya cinta yang lain dan kasih yang sudah bertukar. Hampir tiap hari dia akan pulang lewat malam sehingga Liyana akan tersengguk-sengguk di ruang tamu, menunggu suaminya pulang. Liyana murung. Dia merasakan bahawa Akmal semakin benci kepadanya. Masakan tidak. Dalam seminggu, pasti akan lebih dari sekali dia dipukul. Jika dia bernasib baik, dia cuma dimaki dan dihambur dengan kata-kata kesat sahaja.
Kesedihan itu tidak dikongsi bersama ibu dan ayahnya, jauh sekali dengan ibu dan bapa mertuanya. Ibu dan ayahnya, sama sekali tidak peduli akan hal rumah tangganya. Dahulu pun, saat mahu bernikah, dia dipaksa terus-terusan walau hatinya kosong untuk lelaki itu. Namun, selepas akad, hatinya dirantai penuh kepada suaminya. Dia tahu, dia yakin bahkan dia percaya… syurga untuknya ada pada lelaki itu.
Izzati!
Hanya Izzati yang tahu tentang kepincangan dan bebanan dalam otak yang malar. Izzati ialah jirannya. Dia ialah anak kepada Encik Hamid dan Puan Hasnah. Mereka tinggal di sebelah rumahnya. Selepas beberapa kali mereka bertukar-tukar senyum, Liyana menegur Izzati yang baru sahaja pulang dari aktiviti kokurikulum.
Ternyata gadis yang bakal menduduki peperiksaan SPM tahun itu sangat peramah. Tanpa mengambil masa yang panjang, mereka sudah menjadi akrab. Liyana, saat ketiadaan teman berbicara dan kebosan tanpa aktiviti, pasti akan berbual-bual dengan Izzati. Itupun sekiranya anak jirannya itu sudah pulang dari sekolah.
Izzati pula suka berceloteh. Hampir tiap hari dia akan ke rumah Liyana, menemani perempuan yang sudahpun dianggapnya seperti kakaknya sendiri. Liyana senang. Kewujudan Izzati dalam hidupnya dirasakan sedikit sebanyak membibitkan keceriaan. Setidak-tidaknya, dia punya teman untuk berbicara. Jika dengan Akmal, nak berbual tu jauh sekali. Di rumah ini, sikap Akmal tak tumpah seperti syaitan bisu yang hanya membuka mulut bersama-sama kerahan caci maki yang sangat menghiris perasaan.
“Akak! Kenapa sampai macam ni sekali?”. Izzati cemas melihat pipi Liyana yang lebam. ‘Eye bag’ di bawah mata, jangan cakaplah. Nampak terlalu teruk. Patutlah kakak angkatnya itu tidak keluar-keluar bila diajak bertemu. Sudah dua hari dia mengelak, cuma hari itu, Izzati berjaya memujuk.
Liyana tersenyum pahit. Jam di dinding bergerak pantas sambil menunjukkan pukul 3 petang. Akmal biasanya tidak akan pulang sehingga jam 8 malam. Cuma selepas terang-terangan dia punya teman wanita, waktu pulangnya makin sukar dijangka. Paling awal pun sebelum tengah malam.
“Akak okey. Sikit aje ni…”, balas Liyana, cuba bermanis muka.
“Sikit apa ni kak! Sampai lebam-lebam ni. Ni… tengok ni..”, Izzati mengetap bibir. Tangannya yang halus memegang tangan Liyana yang kemerahan.
“Aduh…”, spontan Liyana mengaduh sakit. Tangannya lebam dan membengkak. Nampak jelas ia kesan pukulan yang kasar.
“Ha… kan… orang baru pegang saja ni…”, Izzati mengeluh. Dia bersimpati. Nampak benar di balik bulat biji matanya, ada manik-manik halus bergenangan.
“Akak… sampai bila macam ni?”, tanya Izzati lagi. Sebagai jiran yang hanya terpisah dengan sebuah tembok konkrit setinggi 2 meter, dia dapat mendengar dengan jelas dari jendela biliknya suara-suara Akmal berteriak kasar. Bukan sekadar itu, pernah sekali dia nampak dengan mata kepalanya Akmal memukul dan melayan Liyana dengan kasar. Kalaulah bukan kerana Liyana menghalang, memang dia dah buat aduan di Talian Kasih dah…
“Sampai bila ya? Hmm, sampai dia berubahlah…”, balas Liyana sambil ketawa kecil. Dia tidak berseloroh. Hatinya benar-benar mengharap dan berdoa agar itu menjadi kenyataan.
Izzati mencebik, sedikit mencuka wajahnya. “Akak, kenapa tak minta fasakh aje?”
Liyana tersenyum lagi. Lebar, seakan-akan mendengar cerita lawak pula!
“Akak memang boleh kalau nak minta fasakh dik… tapi untuk apa?”, Liyana bermain dengan persoalan.
Berkerut dahi gadis yang baru mencecah usia 16 tahun itu. “Untuk apa lagi… untuk bebaslah! Akak berhak untuk bahagia… akak juga berhak untuk mendapat kasih sayang!”
“Bagaimana kalau akak katakan akak sedang bahagia dan sedang dikasihi?”
“Huh. Akak tak boleh tipu la…”, balas Izzati laju.
“Sungguh! Akak rasa bahagia dengan nikmat kesabaran. At least, akak dapat pahala kerana janji Allah memang begitu. Akak juga dapat merasakan kasih sayang Allah. Tiap-tiap malam, tiap-tiap saat, akak akan ingat kepada Allah dan merintih, merayu serta berdoa kepada-Nya. Jika akak terlalu bahagia di alam rumah tangga, mungkin akak akan jadi lupa Allah. So, what to worry. Allah kan ada untuk akak. So… kita jangan cakap pasal benda ni lagi la Zati ye…”, kata Liyana lembut. Air mukanya yang jernih memancarkan rasa tenang kepada Izzati.
Izzati mengangguk. “Okey… tapi ini last. Akak nak sabar sampai bila?”
Liyana senyum. “Sampai dia berubah, atau sampai akak dilepaskan”
***
Akmal menguap luas. Baru setengah jam tadi dia menghabiskan secawan kopi ‘O’ di kafe pejabat, tapi badannya sudah terasa penat tak bermaya. Sejak kebelakangan ini, prestasi kerjanya jatuh mendadak. Itu dia tahu, bahkan dia sedar dari mana puncanya. Segala kerana dia sudah acap benar pulang lambat ke rumah.
Ah, untuk apa pulang awal-awal jika yang menanti di rumah, hanya seorang perempuan yang berkudis?
Setiap hari, tamat sahaja waktu pejabat, dia akan terus keluar bersama teman wanita barunya. Suzana, gadis genit yang bermata galak telah beberapa kali menjadi temannya di ranjang. Gadis cantik, bergaya dan moden itu jauh benar sifatnya dengan Liyana. Perbezaan yang mencapai tahapan 360 darjah itu sentiasa menjadikan Suzana sempurna di mata Akmal.
Suzana ada segalanya. Moden, pandai bergaya, pandai bersolek, seksi…
Kemelut dalam rumahtangga Akmal sebenarnya dapat dihidu oleh semua orang. Bukan apa, Akmal tak malu-malu mengusung Suzana ke sana ke sini, bahkan hingga ke pejabat sendiri. Liyana isterinya itu pun tak pernah dibawa ke pejabatnya.
Salah seorang rakan Akmal yang memendam kekesalan ialah Syed Imran. Syed Imran ialah teman rapat Akmal. Dia juga adalah rakan kongsinya di syarikat itu. Tapi itu cerita dahulu.
Kini, Akmal sudah pun membuang Syed Imran jauh-jauh. Dia dengan bongkak dan bangga, mengisytifarkan bahawa Syed Imran bukan lagi seorang rakan. Hubungan mereka kini cuma bersifat bisnes semata-mata.
Puncanya tidak banyak.
“Mal… kau kan dah kawin, kenapa aku tengok kau masih boleh main-main dengan Suzana?”, tanya Syed Imran lembut. Hari itu, seingatnya… ialah hari terakhir mereka duduk semeja, makan tengahari bersama.
Akmal yang sedang enak menikmati ayam goreng tersentak. Diletakkan sudu dan garfunya atas meja. Wajahnya ketat dan tegang.
“Kenapa?”
“Bukan apa Mal… aku kesian pada Liyana. Dulu kau cerita, hubungan kau berdua tak baik. Jangan macam ni Mal. Seorang suami punya tanggungjawab kepada isteri. Liyana itu amanah dari Allah kepada kau. Lagipun Liyana tu pun kawan aku juga Mal…”, Syed Imran bersuara, lembut tapi tegas. Tangan kanannya memegang cawan berisi air sirap, lalu disuakan straw ke bibirnya.
Syed Imran dan Liyana sebenarnya pernah bersekolah di sekolah asrama yang sama di utara tanah air. Sekalipun mereka tidak pernah rapat, tapi Syed Imran kenal sangat dengan Liyana. Liyana sejak dahulu lagi dah baik.
“Kau ni kenapa sibuk jaga tepi kain orang. Kau tu bukannya kahwin lagi! Apa kau tahu!”, Akmal meninggikan suara. Marah benar dia.
Syed Imran tersentak. Melihat Akmal berang sebegini, pastinya bukan petanda yang baik.
“Sabar Mal. Aku bukannya apa… aku beri nasihat sebagai seorang kawan saja. Liyana tu budak baik. Aku kenal dia dah lama Mal. Kau beruntung ada isteri macam dia Mal. Suzana tu pula… dia tu cuma pisau cukur Mal. Dia nak harta kau saja…”, sepatah-patah Syed Imran melontarkan kata.
Ah, lantaklah apa nak jadi pun. Yang penting aku dah luahkan.
Akmal menghentak meja makan. Orang ramai yang sedang menjamu selera keliling mereka terkejut. Tidak sampai satu saat, Akmal dan Syed Imran menjadi perhatian.
“Kau ni penyibuk betul kan! Aku tahu la macam mana nak layan bini aku. Aku tahu la macam mana nak jaga diri aku. Yang kau sibuk sangat ni apa hal?”
Syed Imran baru tahu yang kawannya itu sebenarnya ada hantu!
“Sabar Mal… Sabar… Aku cuma nasihat aje…”
“Pegi mampus dengan nasihat kau! Sekali lagi aku dengar… pecah muka kau”, ugut Akmal kasar. Lantas dia berdiri dan terus keluar dari kedai makan berhawa dingin itu.
Syed Imran terkedu. Hanya istighfar dan selawat menjadi pemujuk.
*******
“Sayang… teman i minum malam ni. I stress lah”
Suzana merengek. Kepalanya meletok di dada bidang Akmal. Tangan Akmal melingkar pinggang rampingnya. Lagak mereka berdua saling tak tumpah seperti suami dan isteri.
“You want alcohol?”, tanya Akmal.
“Of course la sayang. You ni penakut lah… Sampai bila you nak avoid liquor? Kenapa? Takut dengan isteri you ke?”, ejek Suzana.
Akmal terdiam. Dirinya rasa tercabar, bahkan rasa tehina pula apabila nama Liyana, dbangkitkan.
“Siapa kata i takut! Ok give me a shot!”, balasnya sambil mengetab bibir, lalu disambut dengan derai tawa menggila oleh Suzana. Mereka hanyut, akhirnya.
Jam 1 pagi, Liyana masih tercogok di atas sofa lembut dari Itali yang indah menghiasi ruang tamu rumah teras dua tingkat itu. Dari ekor mata, jelas kelihatan riak kerisauan di balik wajah putih suci itu. Risaunya bertempat. Akmal masih belum pulang!
Peti televisyen ditatap dengan pandangan yang kosong. Fikirannya melayang-layang, gemalai ia hilang bersama runsing dan cemburu. Masih kukuh dalam hatinya, rasa kasih dan hormat kepada Akmal walau layanan yang diterima barangkali serupa dengan layanan malaikat Malik terhadap penghuni neraka.
Begitulah perempuan. Hidup penuh derita pun, masih mampu bersabar menyandang gelaran isteri.
Ketukan di pintu disambut dengan hela nafas lega. Dibuka perlahan. Liyana terkejut bukan kepalang. Disangkanya Akmal, tapi sebenarnya dua orang anggota polis berpakaian seragam tercegat di muka pintu. Liyana lekas menyorokkan tubuhnya yang sedikit terdedah. Dia keliru.
“ Assalamualaikum puan”, sapa salah seorang anggota polis yang bermisai tebal.
Dari balik daun pintu, Liyana menjawab salam. “Ada apa ya encik?”, tanyanya tidak sabar.
“Begini puan. Tapi pertamanya, kami harap puan dapat bersabar ya…”, kata seorang yang lain pula.
Liyana berdebar-debar. Dia seperti dapat menebak akan apa yang bakal dituturkan oleh anggota polis itu. Pastinya tidak baik. Pastinya tidak elok!
“Suami puan, Encik Akmal Hakim terlibat dalam kemalangan tadi. Keadaannya kritikal dan sedang dirawat di hospital”, beritahu anggota polis berkumis tebal itu. Pelahan saja suaranya, tetapi di telinga Liyana, ia tidak tumpah seperti paluan halilintar. Tepat ia membakar hatinya yang paling dalam.
Liyana hampir-hampir terjelupuk dengan berita itu. Hanya zikirnya yang berantai, membantunya untuk kuat.
Dua jam kemudian, Liyana tersedu-sedu dalam pangkuan ibunya. Dirinya kini ialah seorang janda.
****
“Adam dah tidur, sayang?”
Liyana tersenyum manis. Anak sulungnya, Syed Adam nampak tenang dalam pelukannya. Bayi lelaki yang baru mencapai usia 2 bulan itu masih merah. Liyana berhati-hati meletakkan bayi comel itu diatas tilam di sampingnya. Adam merengek mungkin merasa keenakan tidurnya terganggu.
Liyana tersenyum bahagia. Di sisinya, Syed Imran sebagai suami yang tidak berhenti memberinya kebahagiaan yang dahulunya tertangguh. Bersama Syed Imran, Allah kurniakan Syed Adam sebagai penyambung keturunan dan bakal menjadi saksi atas ketabahan seorang wanita bernama ibu.
Liyana menggenggam erat tangan suaminya.
Benar, beginilah perempuan;
Berhak untuk bahagia di singgahsana rumahtangga, dan berhak mulia dengan gelaran bidadari…