Ketika matinya Abdullah Bin Ubai

Pada saya, mati adalah musibah terbesar buat seorang manusia kerana selepas roh melepasi kerongkong, pintu taubat seseorang itu dikunci serapat-rapatnya.

Dah mati, usahkan nak solat 4 rakaat, nak mengucap satu ucapan subhanallah pun sudah tak boleh. Bahkan dalam al-Quran, Allah S.W.T beritahu tentang penyesalan manusia, yang meminta untuk dikembalikan ke dunia untuk bersedekah.

Panjanglah ceritanya bab sedekah tu. Nanti kita cerita dalam essei yang lain.

Saya dah lama perasan yang rakyat Malaysia ni apabila berlaku kematian, kita terlalu kurang sifat empati. Kadang-kadang kita ambil gambar atau rakam video si mati dan post di media sosial walaupun rakaman itu mengaibkan si mati. Ada juga yang memuat naik semula gambar-gambar lama si mati yang tidak menutup aurat, berkongsi hantaran-hantaran lama Facebook si mati yang kontroversi, hinggalah kepada kemuncak bagi kemarau empati ini, apabila netizen mula memberi gambaran bahawa si mati adalah bakal penghuni neraka.

Contohnya, semasa berlaku nahas udara, fokus netizen adalah kepada uniform pramugari yang tidak menutup aurat atau kepada tugas mereka menuang dan menghidangkan arak kepada penumpang, atau semasa nahas kemalangan jalan raya, jika yang maut adalah pasangan kekasih, netizen suka memfokus kepada perhubungan tidak halal antara lelaki dan wanita, dan terbaru saya baca, ada yang memperlekeh seorang wanita yang baru meninggal dunia kerana sakit kanser dengan berkata :

Saya baca pun sedih, inikan pula keluarga si mati.

Orang yang terlalu ghairah menghukum begini mesti tak kenal dengan Abdullah Bin Ubai Bin Salul.

Abdullah Bin Ubai ni adalah salah seorang ahli politik di Yathrib (nama asal bagi Madinah sebelum Nabi hijrah) dari kabilah Khazraj. Cita-citanya yang lama terpendam adalah untuk menjadi ketua penguasa di Madinah. Malangnya, impiannya terkubur kerana penduduk Madinah sebulat suara menerima dan mahu Nabi S.A.W menjadi khalifah atau ketua di Madinah.

Oleh kerana semua orang sudah pun menyuarakan sokongan kepada Nabi, dia pun terpaksalah berpura-pura menyokong Nabi S.A.W dan Islam. Namun, jauh di sudut hatinya, dia sangat benci dan memusuhi Baginda S.A.W.

Dendam kesumatnya kepada Baginda S.A.W sangat membara hinggakan direkodkan di dalam sejarah, beberapa pakatan keji yang diketuai oleh Abdullah Bin Ubai.

Antaranya adalah ;

  • Memfitnah Saidatina Aisyah R.A berzina dengan Safwan Ibn Muatta’ R.A sekembalinya mereka daripada Perang Bani Mustaliq
  • Menghasut umat Islam supaya tidak ikut berperang dalam Perang Uhud sehingga 300 orang tentera Islam berpatah balik
  • Membina Masjid Dhirar dengan tujuan menjatuhkan populariti Masjid Nabawi
  • Menjadi mediator (orang tengah) dan memihak kepada orang yahudi Bani Qoinuqa yang sedang diperangi umat Islam,
  • Dan lain-lain.

Kalau diikutkan, terlalu banyak kejahatan Abdullah Bin Ubai ni. Sungguhpun bersolat di belakang Nabi, hatinya menyumpah serapah Baginda, hinggakan anaknya sendiri yang bernama Abdullah (Bin Abdullah Bin Ubai) pernah meminta izin kepada Rasulullah S.A.W, “Wahai Rasulullah, jika datang perintah daripadamu agar bapaku dibunuh, maka biarlah aku yang memenggal kepalanya supaya aku tidak menaruh dendam kepada orang yang melakukannya”

Tapi perintah bunuh itu tidak pernah datang. Mana mungkin Rasulullah S.A.W akan membunuh pengikutnya.

Cuba kita lihat apa reaksi Nabi S.A.W ketika Abdullah Bin Ubai meninggal dunia.

Pertama, Baginda S.A.W memberikan jubah Baginda untuk dijadikan kafan kepada mayat Abdullah Bin Ubai.

Kedua, Baginda S.A.W berusaha untuk hadir bagi menyolatkan dan menguruskan mayat Abdullah Bin Ubai. Baginda mengajak Saidina Umar R.A untuk bersama-sama Baginda, pergi ke rumah Abdullah Bin Ubai.

Namun, ketika di dalam perjalanan, turun wahyu surah at-Taubah ayat 80,

Kamu mohonkan ampun bagi mereka atau tidak kamu mohonkan ampun bagi mereka (adalah sama saja). Walaupun kamu memohonkan ampun bagi mereka tujuh puluh kali, Allah sekali-kali tidak akan memberi ampun kepada mereka

Saidina Umar R.A menarik lengan baju Nabi S.A.W untuk menghentikan Baginda. Nabi S.A.W berkata kepada Umar R.A, “Sesungguhnya Allah S.W.T memberikan aku pilihan, maka aku akan memohonkan keampunan buatnya, lebih daripada 70 kali. Lalu Nabi S.A.W pun tetap terus mensolatkan mayat Abdullah Bin Ubai.

Tidak lama, turun pula ayat 84 surah at-Taubah yang menegur tindakan Nabi S.A.W,

Dan janganlah engkau (Muhammad) melaksanakan salat untuk seseorang yang mati di antara mereka (orang-orang munafik), selama-lamanya dan janganlah engkau berdiri (mendoakan) di atas kuburnya. Sesungguhnya mereka ingkar kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka mati dalam keadaan fasik.

Kisah ini menjadi ikhtibar kepada orang beriman supaya memiliki empati kepada orang yang sudah meninggal dunia, sekalipun dosa dan maksiatnya besar.

Carilah jalan untuk bersangka baik kepada orang yang telah mati, kerana walau sejahat manapun orang itu, dia tidaklah lebih jahat daripada Abdullah Bin Ubai.

Dan kita ini tidaklah lebih baik daripada Nabi Muhammad S.A.W, hingga kita menafikan peluang untuk dia diampunkan oleh Allah S.W.T.

Jaga lidah kita daripada bercakap yang buruk-buruk tentang orang yang sudah mati, kerana kita sendiri pun tak tahu bagaimana nasib kita nanti.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s