Cara penjagaan orang yang sakit terlantar (bedridden).

Saya ingat lagi, semasa arwah ayah saya terkena serangan strok secara mengejut pada penghujung Oktober tahun 2017 lalu, semua orang panik.

Kesihatan arwah ayah memang telah lama merosot. Sejak bertahun-tahun, dia sudah tidak mampu berjalan sendiri. Bahkan, setahun sebelum serangan strok itu pun, beliau sudah tidak mampu untuk menguruskan diri sendiri. Makan dan minumnya perlu disuap. Untuk berak dan kencing pun perlu diangkat masuk ke tandas dan dicuci oleh kami.

Saya ingat lagi, ayah terkena serangan strok betul-betul selepas mandi dan sarapan pagi. Kepalanya jatuh ke bahu, dan air liurnya meleleh dengan sendiri. Ayah tiba-tiba tidak mampu bercakap dan tidak berapa lama selepas itu, dia mengalami kekejangan sebelum dia tidak sedarkan diri… sampailah dia meninggal dunia, hampir 2 tahun kemudian.

Saya ingat juga lagi betapa sukarnya untuk saya mencari maklumat dan info tentang teknik penjagaan pesakit yang terlantar di atas katil (bedridden). Tidak banyak yang saya jumpa di internet. Jadi saya terfikir, alangkah baiknya jika pengalaman kami menjaga ayah kami yang bedridden ini dapat dikongsikan.

Apakah itu strok?

Secara ringkasnya, penyakit ini berpunca daripada saluran arteri yang berhubung dengan otak, terganggu sama ada terhalang (blocked) atau pecah (burst). Pendarahan itu menyebabkan sebahagian daripada fungsi otak pesakit strok akan gagal dan akan menyebabkan pesakit itu kehilangan keupayaan fizikal, kesedaran, keseimbangan badan, keupayaan bertutur, atau kehilangan ransangan pada badan.

Dalam situasi ayah saya, pendarahan dalam kepalanya hampir 4 mm dan ayah saya hilang kesemua derianya. Dia cuma membuka dan menutup mata, namun tidak sedar dan tidak memberi respon terhadap apa-apa bentuk ransangan pada badan.

Bentuk-bentuk sokongan untuk pesakit strok.

Bila bercakap soal sokongan, biasanya orang hanya nampak kepada pesakit. Kita jarang memberi perhatian kepada waris dan ahli keluarga pesakit. Sebagaimana pesakit, waris juga perlukan sokongan.

Sokongan moral.

Antara cabaran yang dihadapi dalam menjaga pesakit bedridden adalah, penjaga akan tidak cukup tidur kerana terpaksa bersengkang mata menemani pesakit di katil hospital. Selain itu, penjaga juga terpaksa mengambil cuti yang lama. Jika majikan memahami, Alhamdulillah. Tapi bagi kes majikan yang tiada tolak ansur, bagaimana. Sudah ada laporan perubatan daripada doktor pun, kita masih terpaksa bersilat di depan mereka untuk mendapat kelulusan cuti.

Saya ingat lagi, suatu hari ayah saya mengalami sesak nafas yang teruk. Saya baru sahaja pulang daripada syif kerja malam, 12 jam. Dengan mata yang berpinar-pinar dan badan yang lesu, selama hampir 12 jam berikutnya barulah saya dapat memelelapkan mata, itupun selepas arwah ayah mendapat bantuan perubatan dari pakar.

Sokongan kewangan.

Ramai yang mengelak daripada bercakap tentang soal ini kerana bimbang dilabel sebagai orang yang suka meminta-minta. Justeru, kita sendirilah yang perlu sensitif dan cakna jika ada daripada kalangan sahabat atau saudara kita yang perlu dibantu daripada sudut kewangan.

Sebagai contoh, ayah saya hanya boleh menerima makanan dalam bentuk cecair (susu) yang dimasukkan terus ke dalam perutnya melalui saluran ryles tube. Pada awalnya, ayah menggunakan susu jenama Glucerna dan diberikan makan setiap 3 jam.

Satu tin susu Glucerna seberat 850 gram berharga RM 90. Secara purata, satu tin ini akan habis dalam tempoh 4 hari. Jadi, dalam sebulan, perbelanjaan untuk susu sahaja sudah hampir RM 630.

Namun, selepas dua bulan, kami dinasihatkan untuk menukar susu ayah kepada susu yang khusus untuk pesakit kencing manis. Selepas mendapatkan pandangan daripada dietician dan ahli farmasi, kami diperkenalkan dengan susu berjenama NutriSure. Harganya lebih murah iaitu RM 66 dan bertahan untuk 4 hari juga. (Boleh cari di farmasi Multi Care).

Selain itu, bekalan pampers dewasa dan ubat cuci luka juga perlu sentiasa ada.

Antara barang lain yang perlu disediakan untuk pesakit yang bedridden ini adalah,

  • Tilam angin (ripple mattress)
  • Katil hospital yang boleh ditegak dan diturunkan
  • Mesin vacum untuk sedut kahak dan air liur

Tilam angin adalah untuk mencegah luka pada belakang badan (backsore) manakala penyedut vacum adalah kerana pesakit strok yang kronik ini tidak mampu untuk menelan air liur sendiri dan boleh menyebabkan kesukaran bernafas dan lemas.

24-hours surveillance.

Pesakit yang bedridden perlu dipusingkan badan ke posisi mengiring setiap 2 jam bagi mengelakkan anggota badan mereka luka.

Mereka juga akan membuang najis pada bila-bila masa. Jadi, waris perlu sentiasa bersedia untuk membersihkannya. Jangan membiarkan najis terlalu lama di dalam pampers kerana ia akan menyebabkan banyak masalah-masalah lain.

Tukar feeding tube (ryles tube) dan tiub kencing (catheter) setiap 2 minggu.

Ini selalunya dilakukan oleh jururawat terlatih dari klinik kesihatan (KK) yang berdekatan. Mereka akan datang ke rumah dan menukarnya untuk pesakit. Sebagai alternatif, waris boleh membeli sendiri ryles tube jenis silikon di farmasi. Harganya sedikit mahal berbanding ryles tube biasa tetapi ia boleh bertahan selama 3 bulan.

Tiub kencing (catherer) pula, bagi pesakit yang telah tua, lebih elok sekiranya kita menggunakan tiub yang jenis kondom. Selain daripada ia tidak menyakitkan, ia juga mudah dipasang dan ditanggalkan sendiri, tidak seperti tiub catherer yang menyebabkan luka dan sakit ketika proses pemasangan. Benda ini pun boleh cari sendiri di farmasi.

Selain daripada aspek teknikal, aspek mental sebenarnya lebih penting. Awal-awal ni memang kita rasa tak apa. Tetapi semakin lama, kita akan rasa semakin sukar. Setiap saat syaitan akan menghasut kita hingga kita menjadi hilang sabar, pemarah, dan mempersoalkan takdir.

Hakikatnya, kita menyangka pesakit itu yang diuji walhal kitalah yang sebenarnya diuji. Disaat mereka sudah tidak sedar, maka segala bentuk taklif sama ada tanggungjawab dunia dan agama, sudah tidak ada. Allah S.W.T sedang menghapuskan dosa orang yang sakit itu, setiap saat. Setiap saat juga, darjatnya sedang diangkat. Kedudukannya di sisi-Nya, sedang diperbaiki.

Sebaliknya sebagai penjaga, jika kita ikhlas, sabar, redha, dan tidak mengeluh, maka kita juga sedang mengumpul pahala. Anggaplah orang sakit itu sebagai ladang pahala dan khidmat-khidmat kita itu sebagai tuaiannya.

Semoga bermanfaat.

Sebarang soalan boleh diajukan di ruangan komen.

Advertisement

8 thoughts on “Cara penjagaan orang yang sakit terlantar (bedridden).

  1. Apa khabar,saya Joe. Terima kasih atas perkongsian, agak membantu dari segi mental dan ramalan masa depan. Saya ada soalan, mak saya pesakit strok seluruh badan. Baru sahaja discharged hari ini (16/7/2020), adakah bagi pesakit yang berkahak akan perlu sentiasa kerap disedut kahaknya menggunakan suction machine? Kerana saya bimbang ianya akan memberi kesakitan kepada pesakit.

    Like

    1. Salam. Mak saya pun kena stroke pd thn lps 4 jun 2019. Hanya celik mata tanpa respon. Pakai trachy yg perlu disedut kahak selalu. Kalau kahak keluar sendiri masa batuk, blh dilap shj dgn tisu. Jika banyak bunyi berada di dalam saluran trachy, perlu sedut.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s