Kisah Budak SPM

Jika dahulu anda tanya saya, penting sangatkah dapat berapa banyak A dalam keputusan SPM, maka jawapan saya adalah, “Sangat-sangat penting”, tetapi kalau tanya saya sekarang, saya cuma akan jawab, “Penting”.

Dahulu, saya pun memiliki idea yang sama seperti semua anak remaja seusia dengan saya. Nak banggakan mak ayah, kena dapat banyak A. Nak berjaya dalam hidup, kena dapat banyak A. Nak hidup senang, kena dapat banyak A, dan nak jadi anak yang cemerlang, kena dapat banyak A.

15 tahun selepas meninggalkan dewan keramat itu, barulah saya sedar bahawa kecemerlangan saya, kejayaan saya, dan keselamatan hidup saya, tidak diukur dengan banyaknya A yang saya pernah dapat.

Kata ulama, kejayaan manusia adalah pada setakat mana kita dapat taat kepada perintah Allah S.W.T dan ikut sunnah Nabi S.A.W.

Sekeping sijil yang tertulis nama saya dan nama ayah saya itu tidak berkuasa apa pun. Cuma sehelai kertas, yang akan basah dan rosak jika terkena air, akan terbakar jika terkena api, dan akan melayang jika ditiup angin.

Selepas saya sendiri menjadi seorang bapa, barulah saya sedar yang sebenarnya saya lebih mengharapkan anak-anak saya memiliki keperibadian yang baik berbanding keputusan peperiksaan yang baik.

Biarlah tak banyak A, asalkan akhlaknya A. Biarlah keputusannya biasa-biasa, asalkan usahanya luar biasa.

Keputusan SPM saya dahulu pun biasa-biasa sahaja. Tidaklah cemerlang untuk diajak bergambar, tetapi tidaklah teruk sangat hingga ada air mata hendak dibazirkan.

Tetapi saya fikir, kalaulah bukan kerana keputusan saya ‘average’, sudah tentu saya tidak berada di tempat yang saya berada sekarang, tidak berkahwin dengan isteri saya sekarang, tidak memiliki rumah saya sekarang atau tidak memandu kereta saya yang sekarang.

Boleh jadi kehidupan saya akan lebih baik, tetapi mungkin juga makin buruk, makin melarat.

Kerana hakikat rezeki, sekuat mana, segigih mana, dan sekeras mana pun kita berlari mengejarnya, kita cuma mengejar takdir kita. Rezeki kita sebenarnya telahpun ditentukan lebih awal berbanding tubuh kita. Sebelum jari-jari kita mampu bergerak, sebelum mulut kita mampu mengeluarkan suara, sebelum mata kita mampu menangkap cahaya, dan sebelum telinga kita mampu mendengar, rezeki kita dah tertulis.

Begitu juga jodoh dan ajal. Semua siap ditulis, siap dibukukan.

Namun, tidak bermakna saya memandang rendah, jauh sekali menolak kepentingan untuk berjaya dalam pelajaran. Saya bukan kumpulan quraniyyun yang menolak sunnah, bukan jabariyyah yang menolak ikhtiar, dan bukan juga qadariyah yang menolak takdir.

Saya cuma memegang idea bahawa cemerlang di dalam peperiksaan tidak semestinya cemerlang dalam hidup.

Justeru jika anak saya dapat keputusan yang baik di dalam peperiksaan, yang saya syukuri dan raikan adalah kesungguhannya, usahanya, dan penat lelahnya, dan bukannya bilangan A pada sijilnya.

Kerana di sisi Allah S.W.T, setiap usaha juga adalah tunas-tunas iman, sekalipun yang bersusun ialah E dan F.

Bahkan banyak terjadi dalam masyarakat, ibubapa yang tergila-gilakan keputusan anak-anaknya, akhirnya menyesal di hari tua mereka. Sambil menyeka air mata, hati kecil mereka berbisik sendiri, anak aku semua berjaya, ada jadi doktor, engineer, lawyer, tapi semua sibuk, tak boleh nak jaga aku.

Mungkin jika satu nasihat yang saya boleh beri kepada ibubapa, janganlah kita terlalu ghairah menyuap dunia ke dalam mulut anak-anak kita. Jika kita cuma bertegas dengan mereka dalam bab dunia, maka mereka akan membesar dalam keadaan jiwa mereka terlalu membesarkan dunia.

Bila hati terlalu terikat dengan dunia, maka keterikatan mereka kepada akhirat akan lenyap. Bila digoda, terus menyerah. Bila diuji, terus lemah. Bila diajak, terus melangkah.

Kita perlu ingat, anak-anak inilah yang akan kita tinggalkan. Jika tidak sempat dengan mereka, anak-anak merekalah yang akan berjumpa dengan Al Masih Al Dajjal, yang akan menawarkan pilihan “Roti, air atau emas?”

Risaulah dengan nasib anak-anak kita di dunia.

Tapi lebih-lebih lagi, risaulah dengan nasib mereka di akhirat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s