‘Hypocrite bit**’ ialah kata cacian, swearing word, yang membawa maksud sama dengan celaka dan bodoh, dan adakalanya lebih ‘berkesan’ daripada ‘f-word’ jika dilontarkan dengan tujuan untuk menghina dan merendahkan seseorang.
Perkataan hipokrit itu sendiri pun sudah berat. Bila digabungkan dengan ‘bit**’ dua kali gandalah menyesakkan si penerima.
Tidak ada orang yang suka dituduh hipokrit. Lebih-lebih lagi, di dalam agama Islam, ada sebuah daerah ‘haram’ yang bernama munafikun. Golongan hipokratis yang berbulu ayam, tetapi berkuku musang, yang akan menjadi kerak-kerak dalam neraka.
Inilah dilema kita. Mahu mengajak orang buat baik, tetapi kita tidak baik. Mahu menegah orang daripada kemungkaran, tapi kita pun tidak merdeka daripadanya. Kita diasak ke sebuah persimpangan jiwa, diantara meredhai sebuah kemaksiatan di depan mata, atau menjadi tangan yang menghenti dan lidah yang mencegah, sekalipun tangan kita terbelenggu dan lidah pula terkunci.
Sabda Nabi Muhammad S.A.W,
“Jika seseorang itu melihat kemungkaran, hendaklah dia mencegahnya dengan tangan. Jika dia tidak mampu, cegahlah dengan lidah. Jika tidak mampu juga, maka cegahlah dengan hati. Ketahuilah, itulah selemah-lemah iman” (Hadis Riwayat Muslim)
Seseorang pernah menyoal saya.
“Jika benci dengan hati itu selemah-lemah iman, adakah ini bermakna jika tidak terdetik di dalam hati perasaan kesal itu, adakah kita masih ada iman? Contohnya, bagi orang yang hari-hari nampak kemaksiatan sampai hatinya dah tepu, dah rasa normal dengan maksiat tu”
Soalannya membawa saya jauh menginsafi,
“Redha kepada kekufuran, kufur. Redha kepada maksiat, maksiat”.
Kita perlu ingat, kita ini adalah ummat yang terbaik. Bukan kerana bangsa, fizikal, atau akal fikiran kita, tetapi yang menjadikan kita umat terbaik adalah kerana kita menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kepada yang mungkar.
Sekalipun kita mungkin tidak makruf. Kita mungkar.
Imam Syafie dalam menegaskan kepentingan amar maruf nahi mungkar, menyatakan sekiranya jika ada pasangan yang sedang berzina, melihat ada orang lain mahu berzina juga, dia berkewajipan untuk menegah orang itu daripada melakukannya.
Mencegah orang melakukan kejahatan, bukan tanda kita hipokrit.
Tetapi mencegah orang daripada melakukan maksiat, adalah petanda kita hina.
Kita hina di sisi Allah S.W.T. Diselaputi lendir dan nanah dosa. Yang mensucikan kita bukannya kata-kata manis kita kepada manusia. Sebaliknya yang mensucikan najis maksiat ini adalah kata-kata ikhlas kita kepada Tuhan.
Di balik pengakuan kita kepada Yang Maha Esa;
Sesungguhnya aku ini bukannya baik. Aku cuma mahu berhijrah menjadi lebih baik. Aku tak mahu hipokrit. Aku cuma belum cukup kuat. Aku harap nasihatku ini akan menguatkanku. Aku selalu berdosa tapi mahu menjadi pendosa yang bertaubat.
Bak kata-kata Syeikh Mustafa Mahsyur, “Jadilah baik dan ajaklah orang bersamamu”.
Nasihatilah aku dan mulut celuparku!
One thought on “Hypocrite Bitch”