Musafir kami tidak lama. Sekadar tiga hari dan dua malam sahaja. Tapi musafir kali ini bukan sekadar menyegarkan, tetapi juga sarat dengan debaran, cabaran, dan juga pengajaran.
Benang-benang kenangan ini pasti akan kami anyam menjadi sehelai kain pengalaman. Agar pengajarannya, akan menjadi perhiasan kesyukuran.
Perjalanan dari airport Kuala Namu ke pekan Parapat, di atas kertas cuma beberapa ratus kilometer sahaja. Tetapi kerana jalan rayanya yang berliku-liku seperti ular dipalu, sempit, dan berlubang-lubang, kami ‘dipaksa’ untuk beristigfar ‘tanpa sedar’. Kenderaan memotong, dari kiri dan kanan. Lambat sedikit, akan dihon. Laju pun, akan dihon. Hon kereta yang jika di Malaysia berhabuk kerana tidak digunakan, di sini ia menjadi instrumen yang sama penting dengan lampu signal.
Kami sampai di hotel ketika matahari sudah digigit langit. Lepas makan sahaja, kami terus terlena.
Paginya baru kami boleh menikmati pandangan maha indah Lake Toba, tasik terbesar di dunia. Info tentang Lake Toba ni boleh kita jumpa sepantas petikan jari di komputer, tapi keindahan sebenar, hanya boleh dirakam oleh pengalaman, dan bukannya gambar.
Kami menaiki feri selama 45 minit dari jeti untuk ke Pulau Samosir. Di sana, kami melawat perkampungan kaum Batak yang terkenal iaitu perkampungan Tomok.
Kami dipertontonkan dengan tarian tradisional, dengan goyangan dari tarian patung sigale-gale, patung kayu yang mempunyai sejarah yang epik, tentang kerinduan sang raja terhadap puteranya yang diharap untuk menaiki takhta.
Dipendekkan cerita, perkara yang paling memberi keinsafan kepada saya ialah tentang semangat anak Batak.
Saya perasan, ada banyak gambar atau lambang cicak dan harimau di sekitar rumah-rumah dan tempat tumpuan pelancong. Pemandu kami bercerita, cicak melambangkan anak batak yang boleh hidup di mana-mana pun.
Harimau pula melambangkan kekuatan pemuda batak yang boleh melakukan apa sahaja hinggakan binatang buas pun takut kepada mereka.
Semangat pahlawan ini sudah pun kelihatan pada anak-anak kecil mereka. Saya lihat sendiri, anak-anak mereka berjalan kaki, jauh menusuri jalan berhutan yang sunyi untuk ke sekolah.
Rasanya boleh sampai hingga dua jam jugalah, di bawah panas terik matahari. Walaupun penat, wajah mereka tetap ceria. Mereka suka bersekolah. Mereka suka belajar.
Ibubapa mereka tidak perlu pun memaksa. Nak pergi, pergilah tapi kena uruskan diri sendiri. Jadi mereka akan bangun pagi sendiri, mandi sendiri, makan sendiri, dan berjalan juga sendiri!
Cerita pemandu kami lagi, kaum batak ini anaknya ramai-ramai. Bilangan anak yang ideal ialah 33 orang. Mereka berbangga dan dianggap bertuah jika ada anak ramai. Seolah-olah mereka lebih faham tentang konsep “setiap anak lahir bersama rezeki” berbanding dengan kita yang seribu batu dari sana.
Saya juga diberitahu yang anak-anak mereka habis tempoh bersekolah sahaja, akan merantau keluar dari kampung. Jika ada yang masuk universiti, kebanyakan mereka akan mengambil jurusan perundangan dan menjadi lawyer.
Dan kebanyakan mereka akan bekerja keras mencari wang semasa muda, dan akan pulang tinggal di kampung sesudah mendapat apa yang mereka cita-citakan.
Mereka cintakan perkampungan mereka dan asal-usul mereka.
Tidak seperti kita yang seringkali lupakan akar umbi sendiri.
Kampung-kampung mereka juga aman. Tiada orang berani buat jahat. Saya ingatkan kerana ada polis yang selalu buat rondaan (sebenarnya susah nak nampak polis). Rupanya, mereka takut dengan hukuman daripada penduduk di sana, dan jika selamat daripada hukuman fizikal itu pun, belum tentu dia akan selamat daripada ‘ilmu’ orang sana.
Kaum batak ada 5 suku, dan Batak Toba, ialah yang paling sedikit peratusan muslimnya. Majoriti mereka beragama Kristian. Sepanjang jalan, kita boleh nampak gereja-geraja yang tersergam kukuh, dengan mazhab catolik dan protestan boleh dibezakan dengan melihat binaan tiangnya. Satu bersimen, satu dibiarkan berbata.
Paling menarik, kubur-kubur mereka dibina di tepi rumah dan kebun-kebun mereka. Kita boleh nampak ada ladang kobis seluas mata memandang, tiba-tiba ada kubur kristian di tengah-tengahnya.
Dan kubur-kubur mereka adakalanya lebih cantik daripada rumah-rumah mereka. Saya tanya pada pemandu pelancong kami, katanya, mereka percaya rumah-rumah mereka tak cantik pun tak apa sebab mereka cuma nak tinggal sekejap saja. Tapi kubur mereka perlu cantik, kerana itu adalah rumah mereka selama-lamanya. Bila di tanah ada kubur, orang nak beli pun tak berani. Anak-anak pun tak sibuk nak berebut harta pusaka.
Insaf saya, merefleksi diri. Betapa sebenarnya, sekuat mana pun cinta kita terhadap dunia ini, semuanya bersifat sementara. Manakala kehidupan selepas mati itulah yang kekal, selama-lamanya.
Penduduk Medan juga mempunya hubungan yang erat dengan Tanah Melayu. Banyak tinggalan sejarah yang menjadi bukti, kita ini keluarga. Antaranya boleh dilihat di Istana Maimun.
Banyak yang saya boleh cerita, tapi kebanyakannya elok saya simpankan sahaja menjadi kenangan dan pengalaman.
Lupa nak bagitahu, Medan juga adalah salah sebuah syurga beli-belah terutamanya kain batik!
Terima kasih kepada pemandu pelancong kami, kerana memberi info-info yang menarik, yang tak semuanya boleh digali dari internet.
Saya mula sukakan Indonesia lewat lawatan saya ke Tangerang dan Jakarta tahun lepas. Kini kasih sayang dan persaudaraan itu mengalir makin deras, sederas air terjun Sipisopiso.
InsyaAllah jika ada umur yang panjang, kita bertemu lagi.
One thought on “Pengajaran dari Provinsi Medan”