Suatu hari, saya pernah bersembang dengan kawan-kawan saya tentang struggle untuk bangun solat fardu subuh. Katanya, orang yang boleh solat subuh berjemaah di masjid ini adalah ‘subuh worrior’.
Saya tergelak.
“Kalau tidur pun pukul 1 pagi, alarm pun set pukul 6.30 pagi, macam mana nak solat subuh berjemaahnya”
Dia tersipu-sipu.
Bagi orang Islam, waktu subuh adalah waktu yang sangat istimewa. Tempoh 30 minit terakhir sebelum fajar memberi salam itu adalah tempoh yang mempunyai banyak keistimewaan di sisi Allah S.W.T.
1. Waktu Mustajab Berdoa.
Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi S.A.W bersabda,
“Allah turun ke langit dunia setiap malam pada 1/3 malam terakhir.
Allah lalu berfirman, Siapa yang berdoa kepada-Ku niscaya Aku kabulkan! Siapa yang meminta kepada-Ku niscaya Aku beri! Siapa yang meminta ampun kepadakepada- Ku tentu Aku ampuni. Demikianlah keadaannya hingga terbit fajar “
(HR. Bukhari dan Muslim)
Sebab itulah Imam Syafie Rahimahullah pernah berkata yang doa pada waktu subuh umpama anak panah yang tepat menepati sasaran.
2. Perintah Allah S.W.T untuk beristighfar pada waktu subuh
Secara umumnya, istighfar ialah amalan yang tidak mempunyai limit tempat dan masa. Namun begitu, istigfar pada waktu (sebelum) subuh mempunyai keutamaan dan keistimewaan yang lebih.
فَسُبْحَٰنَ ٱللَّهِ حِينَ تُمْسُونَ وَحِينَ تُصْبِحُونَ
“Maka bertasbihlah kepada Allah pada waktu petang dan Subuh.” (Surah Ar-Rum ayat 17)
3. Seperti Solat Sepanjang Malam
عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ شَهِدَ الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ كَانَ لَهُ قِيَامُ نِصْفِ لَيْلَةٍ وَمَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ وَالْفَجْرَ فِي جَمَاعَةٍ كَانَ لَهُ كَقِيَامِ لَيْلَةٍ
Dari Utsman bin ‘Affan R.A, “Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa melaksanakan solat isyak berjamaah maka ia mendapatkan pahala solat setengah malam, dan barangsiapa melaksanakan solat isyak dan subuh dengan berjamaah maka ia mendapatkan pahala solat sepanjang malam.” (HR Tirmizi)
4. Solat Subuh Berjemaah Menghalang Sifat Munafik
إِنَّ أَثْقَلَ صَلَاةٍ عَلَى الْمُنَافِقِينَ صَلَاةُ الْعِشَاءِ، وَصَلَاةُ الْفَجْرِ، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا
“Seseungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafiq adalah solat isyak dan solat al-Fajar (subuh). Sekiranya mereka mengetahui (pahala) apa yang terdapat pada keduanya, nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak.” [Riwayat Muslim (651)]
Hadis ini adalah suatu ancaman yang berat kepada kita. Pada zaman Nabi S.A.W dahulu, orang-orang munafik boleh dilihat melalui sikap mereka yang suka ‘ponteng’ solat berjemaah isyak dan subuh. Ini adalah kerana pada waktu itu, keadaan sudah bertukar gelap dan mereka beranggapan orang-orang beriman tidak nampak dan tidak sedar akan ketidak hadiran mereka.
Sebab itulah di dalam hadis yang lain disebutkan bahawa orang munafik tidak bersolat melainkan dalam keadaan malas.
5. Sunnah Nabi Muhammad S.A.W
Telah menjadi sunnah Baginda S.A.W untuk tidur awal selepas solat isyak dan bangun pada 1/3 malam untuk beribadah. Baginda S.A.W akan bersolat sehingga bengkak-bengkak kakinya.
Ada sahabat yang pernah ikut solat Baginda S.A.W tetapi terpaksa membatalkan solatnya kerana kepenatan disebabkan lamanya Baginda S.A.W qiam (berdiri).
Bahkan di dalam sirah, diceritakan bahawa alas tidur Baginda S.A.W adalah sehelai kulit binatang yang dilipat dua kali. Isteri Baginda yang bernama Hafsah Binti Umar R.A pernah melipat alas lapik itu menjadi 4 lipatan lalu pada malam itu, Baginda S.A.W terlewat untuk bangun qiamullail kerana tidur Baginda pada malam itu lebih nyenyak dan selesa.
Oleh kerana itu, Baginda S.A.W menyuruh Hafsah R.A untuk kembali melipatnya menjadi dua.
Di dalam sirah, diberitakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W hanya pernah meninggalkan tahajud beberapa kali sahaja sepanjang hayat Baginda kerana sakit.
Oleh itu, marilah kita semua berusaha untuk bangun 30 minit lebih awal sebelum masuk waktu subuh. Saya secara personal merasakan 1/3 malam adalah suatu target yang sukar, tetapi jika 30 minit sebelum subuh, ia lebih mudah dan praktikal.
Jika para pembaca berpeluang untuk bangun awal untuk beribadah, maka doakanlah saya, insan yang kerdil ini bersama-sama. Semoga setiap doa yang baik itu akan kembali kepada pengirimnya bersama-sama amin para malaikat-Nya.