Saya tertarik dengan kata-kata orang ahli politik senior di tanah air kita ketika dicabar oleh musuh politiknya untuk berdebat. Dengan tenang dia menjawab, “Berdebat bukan budaya kita”.
Ini membuatkan saya teringat akan sebuah hadis,
Dari Abu Umamah al-Bahili R.A, beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda, “Aku menjamin sebuah rumah di pinggiran syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan meskipun dia benar. Aku juga menjamin rumah di tengah syurga bagi seseorang yang meninggalkan pembohongan meskipun dalam bergurau. Dan aku juga menjamin rumah di surga yang paling tinggi bagi seseorang yang berakhlak baik.”
H.R Abu Daud
Hadis di atas adalah sahih, tetapi aplikasinya tidak. Sejak bila perdebatan itu semuanya salah? Nabi S.A.W sendiri pun pernah berdebat dengan pendeta-pendeta Nasrani dalam hal-hal agama.
Yang salah adalah berdebat untuk mempertahankan kebatilan, menafikan kebenaran dan memperbodohkan pengikut-pengikutnya.
Tetapi begitulah sifat manusia, suka menenun ego dengan benang-benang dalil.
Itu baru ahli politik. Kluster penyanyi dan pelakon pun tak mahu kalah juga. Setiap kali ditegur, bergegar langit dengan laungan keramat,
“Allah tidak melihat kepada luaran. Allah tengok kepada hati!”
Perkataan itu ada betulnya tetapi yang lebih tepat lagi adalah,
“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta kalian, tetapi Allah melihat kepada hati dan amal kalian.” (H.R. Muslim).
Jika sebuah lori simen kemalangan, yang tertumpah adalah pasir dan simen. Jika sebuah lori yang membawa buah-buahan kemalangan, yang membanjiri jalan raya adalah buah-buahan. Begitu juga hati. Jika hati seseorang manusia itu baik, maka perbuatannya pun perbuatan yang baik-baik sahaja.
Ini kita belum cerita tentang salah faham suami kepada dalil sehingga menjadi tuan kepada isterinya, atau salah faham isteri kepada dalil sehingga menjadi musuh ketat kepada suaminya.
Saya rasalah, satu sahaja cara untuk mengelakkan diri daripada terperangkap dalam labirin agama, iaitu dengan belajar.
Mudah-mudahan semakin banyak kita belajar, semakin jelaslah jalan di depan kita.