Nabi S.A.W pernah bersabda tentang perbezaan orang mukim dengan orang munafik daripada cara mereka memandang kepada dosa.
Kata Nabi S.A.W, orang munafik merasakan maksiat itu seperti lalat yang terbang di depan hidungnya lalu dia mengibas-ngibas tangannya dan lalat itu pun terbang.
Manakala orang mukmin pula mereka merasakan maksiat itu seperti mereka sedang berdiri di tebing yang curam. Hampir-hampir mereka terjatuh ke dalamnya.
Hakikatnya, kita seringkali merasa aman daripada murka Allah S.W.T. Kita terlalu mudah berasa cukup dan puas hati. Seolah-olah kita yakin, kita layak untuk mendapatkan syurga.
Lebih buruk daripada itu, kita rasa seolah-olah Allah S.W.T itu memihak kepada kita. Seakan-akan Allah S.W.T ada ‘kewajipan’ untuk menunaikan permintaan kita, sekalipun dalam hal-hal yang salah.
Ini belum lagi kita bercakap soal pencuri dan perasuah yang merasakan Allah S.W.T tidak menyebelahinya atau menzaliminya kerana dia dihukum.
Penatlah dunia hari ni.
Semua orang berfikir yang nak masuk syurga itu mudah. Tak perlu bersusah payah dan berkorban seperti orang-orang terdahulu. Tak perlu berjuang, tak perlu bermujahadah.
Cukup dengan main FB, Twitter, Instagram dan TikTok. Begitu pun, kita dah rasa kita ini layak untuk masuk syurga.
Cukup setakat solat 5 waktu. Cukup dengan puasa sebulan. Cukup dengan zakat yang seringgit dua.
Hal dosa-dosa, kita lupakan seolah-olah Allah S.W.T dah ampunkan kita.
Hinanya kita.
Tak malunya kita.
Itulah kita, hamba yang romanticizing syurga.
Sesungguhnya disekeliling kita ada syaitan, dan syaitan telah menyempurnakan tugasannya apabila mereka berjaya membuatkan kita merasa diri kita “sudah cukup baik”.
