Cerpen: Cikgu Kampung

Angin petang berpupuk nyaman, memukul lembut pipi Akiff Firdaus. Dia mendepakan kedua belah tangannya. Mata sepetnya dipejam. Dia benar-benar sedang menikmati keindahan senja ciptaan Tuhan.

Hari itu, genap setahun dia bermaustatin di kampung ini. Lebih tepat, di pedalaman yang jauh ditinggalkan oleh hiruk-pikuk kota.

Akiff mengulum senyuman lebar. Bibirnya bergerak-gerak kejap, menguntum rasa syukur pada Allah yang banyak membantu urusnya. Tugas hakiknya di sini ialah mengajar. Dia dibayar oleh kerajaan untuk mendidik anak-anak kampung. Namun, dia tidak pernah mengehadkan tugasannya semata-mata untuk mengajar bahasa inggeris. Dia sedar, Allah memilihnya untuk membimbing anak-anak kampung yang comot ini untuk mengenali Tuhan.

Kampung Seri Aman memang sedikit ditinggalkan arus kemodenan. Tiada yang dapat menafikan kemundurannya. Apa tidaknya, untuk ke sekolahnya sahaja, Akiff terpaksa melalui jalan raya yang sempit, berlubang-lubang dan berlopak. Semak-samun yang tinggi di kiri dan kanan jalan pula akan mendatangkan rasa seram jika kita memandu di waktu malam.

“Cikgu buat apa tu?”, suara halus seorang kanak-kanak mematikan lamunanya.

“Oh… Syafii… Cikgu tak buat apa-apa pun. Saja ambil angin”.

Akiff berganjak ke hadapan, menghampiri anak muridnya itu. “Syafii sorang-sorang je ke? Buat apa kat padang ni?”

Kanak-kanak bernama Syafii itu tersengih lebar menampakkan giginya yang rongak.

“Rumah saya dekat sana je cikgu”, katanya sambil tangannya menunjuk kearah kanan. Sayup-sayup kelihatan sebuah rumah kecil beratapkan zink di balik pepohon yang menghijau.

“Oh…”, Akiff Firdaus mengangguk. Petang itu, hatinya benar-benar meruntunnya untuk ke padang ragut ini. Benar, tiada yang istimewa dengan kehijauan itu. Yang ada cumalah kawanan lembu sedang meragut rumput bersama-sama beberapa ekor burung-burung yang sedang berkicau riang di atas belakang mereka. Inilah suasana biasa bagi orang kampung tapi luar biasa bagi Akiff. Dia tenang dengan suasana begini, tak seperti suasana di rumah bapanya di ibu kota.

“Cikgu nak singgah rumah saya?”, pelawa Syafii. Bibirnya tidak kering dengan senyuman.

“Mak dan ayah saya mesti suka kalau cikgu datang ke rumah”, tambahnya lagi.

Seperkara yang Akiff Firdaus tidak perasan, kedatangannya di kampung itu banyak membawa perubahan positif kepada warga kampung yang serba daif ini.

Semenjak imam lama, Imam Haji Malik meninggal dunia hampir dua tahun yang lepas, penduduk kampung Seri Aman seperti anak kecil yang kehilangan ibu. Mereka hilang pemimpin agama. Kematian mengejut Haji Malik di usia yang masih muda, benar-benar meninggalkan sebuah lompong besar dalam pembangunan spiritual penduduk kampung. Mereka tidak mempunyai ketua yang cukup alim untuk memimpin solat jumaat. Bukan sekadar itu, untuk solat fardu berjemaah pun, sudah tidak dititikberatkan lagi oleh penduduk kampung.

Rata-rata lelaki dewasa di Kampung Seri Aman ini mengalami masalah yang sama, iaitu kurang komited dalam beragama. Kemasukan elemen hiburan dari bandar juga banyak menyuntik racun berbisa. Yang parahnya adalah golongan muda-mudi. Sudahlah ramai yang tidak cemerlang dalam pendidikan, dalam kehidupan pun mereka gagal. Bukan sedikit pemuda yang menagih dadah. Tidak kurang juga yang ketagihan ketum. Aktiviti berjudi, mencuri, lumba motosikal, dan melepak menjadi budaya yang dianggap biasa.

“Tak apalah Syafii. Lain kalilah cikgu singgah”, Akiff Firdaus menolak dengan sopan. Dia memang berhasrat untuk angkat kaki pun tadi, betul-betul sebelum Syafii menegurnya. Bukan apa, maghrib nanti, dia perlu bertugas menjadi imam di masjid pula.

“Kalau macam tu, tak apalah”, jawab Syafii. Nampak sedikit kekecewaan di wajahnya yang jernih. Dia menyalami guru bahasa inggeris yang dia hormati itu, sebelum menyusun langkah kecil, menuju ke rumahnya. Tangannya melambai-lambai kepada Akiff.

“Kirim salam pada ayah ya”, jerit Akiff dan dibalas dengan anggukan daripada anak kecil yang semakin jauh daripadanya.

Jauh dalam sudut hati Akiff, dia yakin bahawa tangannya bukan membalas lambaian seorang kanak-kanak biasa, tetapi kanak-kanak itulah yang akan menjadi tunjang kebangkitan masyarakat di sini, insyaAllah. Inilah matlamat pendidikannya dan ini juga visi dakwahnya. Ya, hanya pendidikan yang boleh merubah mereka.

****

“Cikgu, saya nak jumpa dengan cikgu lepas habis kelas nanti, dalam bilik saya. Boleh?”, Cikgu Hamid bersuara mendatar. Riak wajahnya sedikit tegang.

Akiff yang sedang menanda buku latihan bahasa inggeris anak muridnya mengangguk. “Baiklah cikgu”.

Guru besar itu tidak membalas. Dia cuma berpaling dan menapak menuju ke biliknya, meninggalkan Akiff Firdaus tertanya-tanya.

Tamat sahaja sesi persekolahan, Akiff terus sahaja ke bilik bosnya. Lelaki separuh abad itu mempelawanya untuk mamanaskan kerusi, bertentangan dengannya.

“Ya cikgu… kenapa cikgu panggil saya?”, tanya Akiff Firdaus. Hatinya masih berteka-teki.

Cikgu Hamid membuka laci. Dihulurkan sehelai kertas kepada Akiff. Akiff menyambutnya kemas. Terpana sebentar dia kerana kertas itu ialah sepucuk surat yang dituju kepadanya.

“Er… apa ni?”, Akiff Firdaus memandang tepat wajah Cikgu Hamid. Lelaki yang sudah mula dihinggapi uban hingga separuh rambutnya memutih itu melepaskan nafas berat.

“Itu surat layang buat cikgu. Saya baca kerana alamatnya dituju kepada saya”, beritahu Cikgu Hamid. Dia lalu menunjukkan sampul surat yang terkoyak di hujungnya kepada Akiff yang berkerut-berkerut dahinya. Memang pada sampul itu, nama dan jawatan Cikgu Hamid yang tertulis jelas.

“Izinkan saya baca dahulu ya cikgu”, pinta Akiff Firdaus. Suaranya bergetar. Cikgu Hamid hanya memandangnya polos. Sebagai pentadbir di sekolah ini, dia tahu yang dia perlu berbuat sesuatu.

Akiff menghela nafas panjang. Kelihatan dadanya berombak-ombak, seakan-akan menahan kecamuk. Bibirnya diketap.

“Saya tak sangka…”, luahnya perlahan semacam berbisik.

Dia sama sekali tidak menyangka bahawa baris-baris perkataan itu ditujukan kepadanya. Lebih teruk, bukan terus kepadanya, tetapi kepada guru besarnya terlebih dahulu! Seseorang yang tidak menyatakan identitinya menulis dalam surat itu, menuduh Akiff terlibat dalam politik di kampung ini. Akiff kononnya cuba menyebar dan menghasut warga kampung untuk melakukan perkara keji. Dia difitnah kononnya merancang aktiviti keganasan!

Lebih buruk, dia dituduh sedang menyebarkan kultus sesat dan merosakkan anak-anak kecil di kampung Seri Aman.

Akiff Firdaus bersandar pada kerusi. Tiada rasa selesa bertandang walaupun kerusi itu empuk.

“Bagaimana Cikgu Akiff? Cikgu masih mahu teruskan dengan program usrah yang cikgu selalu buat tu?”, soal Cikgu Hamid, bersimpati. Raut wajahnya mendung. Walaupun dia juga baru lima tahun saja bermastautin di sini, dia sangat rapat dengan para penduduk kampung. Dia sendiri tahu bagaimana goyahnya sistem kemasyarakatan dan amal agama penduduk di sini selepas kematian mengejut Haji Malik sehinggalah Akiff Firdaus melapor diri di sini.

“Cikgu percaya tak kepada saya?”, tanya Akiff sungguh-sungguh. Matanya bulat, memandang tepat pada wajah insan yang sebaya umur bapanya.

Cikgu Hamid senyum. “Saya tak pernah meragui cikgu dan insyaAllah akan sentiasa sokong cikgu”

“Jika bagitu, ketahuilah cikgu… saya tidak akan berhenti, sehingga Allah yang akan menghentikan saya”, balas Akiff Firdaus penuh semangat.

Ah, matahari, datang awan tebal pun, tetap tak hilang sinarnya!

******

Malam itu menenangkan. Purnama bersinar terang, menyerikan suasana malam di desa itu. Usai solat isyak yang dipimpin olehnya, Akiff bersiap-siap untuk pulang. Baru sahaja seliparnya disarung, bahunya ditepuk seseorang.

“Assalamualaikum cikgu”, seruan salam dihulur.

“Waalaikumussam. Oh, Pak Abu… Pak Abu sihat?”, tanya Akiff Firdaus lembut, berbasa-basi.

Pak Abu mengangguk-angguk. “Alhamdulillah”. Tangannya masih lagi bertautan dengan tangan lelaki tegap berjubah putih di hadapannya.

“Cikgu dah nak balik ke?”

“Hajatnya, begitulah. Kenapa Pak Abu?”

“Kalau macam tu, kita borak-borak dulu boleh cikgu?”, Pak Abu tersenyum lebar menampakkan giginya yang tersusun.

Akiff Firdaus senyum dan mengangguk. Mereka menapak ke anjung masjid dan duduk bersila, saling berlaga lutut.

“Saya sebenarnya nak ucap terima kasih pada cikgu”, kata Pak Abu laju.

“Untuk apa?”, tanya Akiff Firdaus kehairanan.

“Untuk segala yang telah cikgu sumbangkan pada masyarakat. Paling utama, saya nak ucap terima kasih kerana hasil didikan cikgu, Syafii sudah menjadi sangat rajin dan tekun dalam belajar. Bukan itu saja, dia juga semakin gigih dan seronok belajar agama. Kalau cikgu nak tahu… dia sudah pandai menjadi imam kepada adik-adiknya di rumah. Saya benar-benar bangga dengan dia cikgu…”, cerita Pak Abu panjang. Wajahnya dari balik cahaya lampu kalimantang, nampak jelas ceria dan bersungguhnya.

“Alhamdulillah…”, balas Akiff Firdaus pendek. Hatinya berbunga-bunga. Dia bangga. Petani mana yang tidak seronok melihat benih yang disiram dan dibajai setiap hari, tumbuh subur?

“Saya kagum dengan cikgu. Cikgu memang pandai berdakwah. Si Sabri dan kawan-kawannya pun dah mula datang ke masjid dan mengaji”, sambung Pak Abu.

Akiff Firdaus hanya tersenyum tawar. Sabri dan kawan-kawannya memang selama ini dipandang sebagai kutu lepak dan kacang hantu. Semua mereka pelajar tingkatan 5, tetapi ponteng sekolah dan melepak menjadi aktiviti harian mereka. Dalam pakaian seragam sekolah pun mereka berani duduk berbual kosong sambil mencucuh rokok. Orang tua mereka telah sedia maklum akan perihal buruk anak-anak mereka. Mereka pun dah buntu dan mati akal. Nasihat dan bebelan, semuanya tidak lut dan tidak mampu mengubah sikap anak-anak mereka.

“Alhamdulillah. Itulah yang saya selalu kata. Setiap manusia ada titik tolak mereka untuk berubah. Macam suis, tugas saya cuma menekannya. Yang lain-lain tu, Allah sendiri yang akan tunjukkan jalannya”, balas Akiff Firdaus.

“Maksud cikgu?”

“Maksud saya… saya yakin bahawa manusia ini akan ada saat dan waktunya dia berubah. Saya hanya berusaha memberi kesedaran kepadanya tapi yang akan memberi taufik, hidayah atau kesedaran, cuma Allah. Syukurlah mereka semua sudah berubah”, terangnya.

Pak Abu mengangguk dan tersenyum tanda faham. Malam itu, mereka berbual-bual hingga hampir jam 10 malam. Hanya cengkerik dan unggas sahaja yang masih setia menyanyi dalam kepekatan malam.

*****

Petang jumaat itu, inilah kali pertama Akiff benar-benar diuji. Ketika mahu pulang ke rumah dari solat jumaat, motosikal yang ditungganginya ditahan oleh dua orang lelaki. Ah, dia kenal benar! Mereka itulah si ‘kutu berahak’ yang banyak menganggu dan mengugutnya.

“Turun kejap. Aku ada benda nak cakap dengan kau ni”, seorang lelaki yang berambut panjang menempik.

Akiff Firdaus akur. Dia memberhentikan motosikal. Dia tidak fikir bahawa lari adalah jalan penyelesaian walaupun dia sedar, situasi yang bakal dihadapi itu bukan satu episod yang indah. Sudahlah jalan itu jarang dilalui oleh kenderaan, di sekelilingnya pula semak-samun dan hutan belantara yang masih pekat.

“Ada apa?”

Matanya membulat, memandang tepat ke muka lelaki berkemeja biru yang mampir kearahnya. Dia kenal lelaki itu. Itulah Zamri, anak tunggal Pak Mat Tapa, orang kaya di kampung ini. Pak Mat Tapa memiliki 3 ekar ladang tebu. Itu belum lagi dikira kedai runcitnya. Pendek kata, dialah manusia yang paling mewah hidupnya di kampung itu. Zamri ni pula satu-satunya anaknya. Orang putih kata, ‘born with silver spoon‘ lah.

“Aku tak puas hati dengan kau!”, kata Zamri separuh menengking. Lelaki berambut panjang di sebelahnya menjeling Akiff Firdaus sambil bercekak pinggang. Akiff yang memakai jubah dan berserban turun menongkat motosikalnya. Dia berdiri tegak sambil bertanya,“Apa yang kau tak puas hati sebenarnya?”

“Hei cikgu… sedarlah diri sikit. Kau tu orang luar. Aku tak suka kau tunjuk pandai kat kampung aku. Suka hati kau nak ajar orang kampung agama. Kau bukan ustaz. Apa yang kau tahu?”, Zamri menempik lagi.

Lelaki yang berada di sebelahnya menambah. Suaranya nyaring. “Sekarang lepas sorang, sorang budak-budak kampung ni termakan dengan hasutan kau! Semua jadi bodoh. Kau ni memang jahanam! Merosakkan budak-budak muda!”

Akiff Firdaus menghela nafas dalam. Dia masih tegak di bahu jalan, masih lagi menatap layangan tajam dua manusia di hadapannya.

“Maafkan aku. Aku tak faham apa yang korang cakap ni. Apa yang aku dah buat pada orang kampung dan anak-anak orang kampung, sampai kau kata aku menyesatkan mereka?”

Zamri mengetap bibir. Matanya merah. Dia semakin mampir kepada Akiff Firdaus. Akiff Firdaus siap. Dia memasang kuda-kuda, bimbang-bimbang sekiranya lelaki bertubuh gempal di hadapannya bertindak liar.

Benar! Zamri benar-benar seperti kerasukan. Dia menjawab soalan Akiff tadi dengan hayunan penumbuk.

Akiff Firdaus yang telahpun bersedia, cuba menepis. Tumbukan itu terkena lengannya. Cepat-cepat pula dia melompat ke belakang.

Belum pun sempat Akiff Firdaus mengatur langkah, Zamri telahpun sedia menghayun kakinya pula. Sasarannya ialah sisi tubuh Akiff. Sekali lagi Akiff terpaksa bertindak pantas, melindungi tubuhnya daripada ditendang. Dia meloncat sekali lagi ke belakang. Tendangan padu Zamri hanya menyentuh angin.

“Bob, pukul dia!”, arah Zamri kepada lelaki berambut panjang yang berada di belakangnya. Cepat-cepat lelaki itu melompat ke sebelah Zamri, memasang kuda-kuda.

Akiff Firdaus cemas. Ternyata situasi itu memihak kepada Zamri dan rakannya. Benar, memanglah dia pernah menuntut seni persilatan, tetapi sudah hampir 5 tahun dia tidak berlatih hinggakan banyak asas-asasnya yang dia lupa.

Pun, dia tidak boleh menunjukkan kegagalan dan kelemahannya kepada musuh.

“Pengecut! Dua orang lawan seorang ya. Baiklah! Seranglah! Kita tengok siapa yang akan merayu-rayu nanti!”

Umpannya berjaya. Dia sengaja memprovok. Biar musuh menyerangnya ketika marah kerana bila diri sudah dikuasai marah, kewarasan mesti lenyap. Ketika itu, siapa-siapa yang tenang pasti akan dapat mengalahkan musuh kerana yang kegagahan bukannya terletak pada padu atau lincah geraknya, tetapi pada ketajaman minda mengawal diri.

Zamri menjerit kuat sambil tangan kirinya dihayun kearah Akiff Firdaus. Ia dielak dengan mudah oleh cikgu bahasa inggeris itu. Zamri pula terdorong ke depan selepas hayunannya hanya menjamah angin.

Terdedah! Bahagian dada dan perutnya tidak dilindungi, tapi belum sempat Akiff Firdaus membuat serangan balas, lelaki berambut panjang cuba menyerangnya pula. Sekali lagi Akiff Firdaus bertindak cergas mengelak.

“Hei cikgu tak guna! Kau nak mengelak sampai bila ha?”, Zamri mengejek. Lalu, dia menerkam kearah Akiff Firdaus. Kali ini, dia lebih laju dan tangkas. Sebuah lagi tumbukan disasarkan kepada dada Akiff Firdaus. Akiff Firdaus terkejut. Sedaya-upayanya, dia cuba berpusing mengelak tetapi pergerakannya terbatas dek jubah yang dipakainya itu. Dia gagal mengelak. Bahunya terkena tumbukan itu.

“Argh!”, spontan dia mengaduh. Belum apa-apa, sebuah lagi tumbukan dihala kemukanya. Sekali lagi, ia kena tepat pada pipinya. Kepalanya rasa berpinar sesaat. Mujur tumbukan dari tangan kiri itu tidaklah sekencang tadi.

Akiff Firdaus berundur ke belakang. Sambil memegang pipinya yang merah perit, dia melihat Zamri dan lelaki berambut panjang di hadapannya ketawa terdekah-dekah. Mereka nampak belum puas dan bersedia untuk terus memusatkan serangan kepadanya.

Tiba-tiba, sebuah kereta Proton Saga berwarna merah meluncur laju menuju kearah mereka. Dari kejauhan, kelihatan Pak Abu dengan anak-anaknya. Ternyata, kemunculan Pak Abu dengan Naim disaat-saat genting itu adalah rahmat daripada Tuhan buat Akiff Firdaus. Sebaliknya, Zamri dan kawannya, Bob pula yang kecut perut. Seperti lipas kudung, mereka berlari kearah kereta Zamri yang diletakkan di bawah sebatang pokok besar. Cepat-cepat kereta itu dipandu meninggalkan Akiff Firdaus yang bersorak meraikan kemenangan moralnya.

Pak Abu memberhentikan kereta lama keluaran tahun 1990 miliknya, tidak jauh dari motosikal Akiff Firdaus. Dia dan anak-anaknya, Naim dan Syafii meluru keluar, mendapatkan Akiff Firdaus yang sedang membongkok, mencapai kopiah yang dililit serban berjejalur merah. Serban itu dah dikotori tanah.

“Ya Allah… cikgu tak apa-apa?”, suara Pak Abu cemas. Tangannya memegang lengan Akiff Firdaus. Air mukanya nampak risau.

Akiff Firdaus cuba berlagak biasa. “Alhamdulillah. Tak ada apa-apa”

“Apa mat-mat dadah tu buat kat cikgu?”, tanya Naim pula. Seperti bapanya, anak muda yang sedang bercuti daripada pengajiannya di Universiti Malaysia Pahang itu juga nampak cemas.

“Ya Allah… cikgu okey tak ni? Risau saya. Mereka berdua tu memang pengedar dadah di kampung kita. Apa yang mereka dah buat kepada cikgu ni?”

Akiff Firdaus terkejut. “Betul ke apa gang Pak Abu cakap ni?”, tanyanya, mohon kepastian.

“Betul cikgu. Cikgu tanyalah budak-budak muda kat kampung kita ni. Memang si Zamri tak guna tu ada jual dadah pada mereka. Mujur ramai anak-anak muda kita yang sedar. Berkat dakwah cikgu juga… ramai yang dah kembali ke pangkal jalan. Mungkin cikgu tak tahu sebab cikgu tak pernah tanya pada mereka. Nanti kalau cikgu tanya… pasti mereka akan beritahu cerita pasal si Zamri tu. Sekarang, dia memang tengah benci dan memusuhi cikgu sebab sekarang, sudah ramai anak muda yang dah sedar. Ramai yang sudah tak melepak dan sudah mula mendekati agama. Sebab itu, pelanggannya makin kurang. Mangsanya pun makin sukar nak dicari”, cerita Naim panjang lebar. Pak Abu mengangguk-angguk dan adakalanya, mencelah, mengiyakan cerita anaknya.

Akiff Firdaus terdiam berfikir. Dia sebenarnya memang sering juga terdengar cerita tentang itu daripada mulut orang-orang kampung. Cuma hari ini terbuktilah telahan mereka.

Tiba-tiba dia merasakan tangannya disentuh. Serta merta pandangan mata Akiff Firdaus tumpah kepada wajah comel Syafii yang nampak mendung. Mungkin di usia semuda itu, Allah sudah mencampakkan rasa matang buatnya untuk mula berfikir tentang realiti yang berlaku pada cikgu kesayangannya dalam episod dakwahnya di desa ini.

“Cikgu kena pukul ya? Muka cikgu merah ni. Cikgu tak apa-apa?”, tanya Syafii serius.

Akiff Firdaus senyum. Angin yang berpupuk lembut dirasakan seperti sedang memujuknya.

“Alhamdulillah. Tak ada apa-apa pun Syafii.”

Syafii tidak berkelip matanya memandang Akiff Firdaus.

Pak Abu mengeluh geram. Tangan tuanya dilarikan ke bahu Akiff Firdaus. Akiff Firdaus masih terasa sedikit sengal-sengal pada bahagian itu, selepas ditumbuk Zamri tadi.

“Mari… kita ke balai polis. Kita buat laporan polis pasal Zamri”, ajak Pak Abu. Ada kesungguhan di situ.

Akiff Firdaus menggeleng. “Tak apalah Pak Abu. InsyaAllah saya ada rancangan yang lebih baik”.

“Apa rancangan cikgu?”, tanya Naim pula.

“Dalam bisnes, barangan hanya akan ada jika ada permintaan. Kerana itu, dengan menangkap Zamri, itu bukan penyelesaian. Solusi yang terbaik ialah dengan kita memberi kesedaran agama kepada semua pelangganya, dan kepada Zamri sendiri. Sebab… kalau Zamri tertangkap pun, pasti akan ada orang lain yang akan membekalkan dadah itu. Semua ni berpunca kerana permintaan yang wujud. Tak ada permintaan, tak ada bekalanlah”, jawab Akiff Firdaus bersemangat. Dia seperti lupa pada peristiwa cemas diserang dua lelaki tadi.

“Susah…”, balas Naim kembali.

“Tak susah Naim. Masyarakat arab jahiliyyah pun boleh pulih sedangkan mereka jauh lebih teruk daripada kita sekarang”, sambung Akiff Firdaus tenang.

“Baiklah, kalau itu yang cikgu kata, InsyaAllah, kami akan bersama-sama dengan cikgu”.

Kala itu, beburung yang terbang atas kepala mereka menyanyi riang, seakan-akan mendoakan Akiff Fidaus.

Teguhlah. Tetaplah.

Inilah jalan yang Allah pilihkan buatmu!

***Anda sudah subscribe blog Jokai Crest? Sudah ‘like’ FB Page Jokai Crest? Jika belum, sila scroll ke bawah. Tinggalkan emel dan tekan butang like. Terima kasih***

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s