Seringkali kita mendengar, “Islam itu mudah”.
Tapi adakah kita faham makna mudah itu, kerana apa yang saya perhatikan, kebanyakan daripada kita seringkali mengambil mudah urusan-urusan agama ini, menjadikan kehidupan beragama hanya pada daerah kecil seperti pernikahan dan kematian. Selebihnya, kita telah dirasuk modenisasi hinggakan luntur keislaman kita.
Persoalannya, adakah Islam itu agama yang mudah?
Jawapan jujur bagi soalan itu adalah, sebagai seorang Muslim, kita perlu menyerahkan diri secara total kepada tuntutan Allah S.W.T.
Saya terkilan dan sedih selepas menonton video seorang selebriti Media Sosial, yang terkenal kerana jantinanya dan produk kosmetiknya.
Ada orang bertanya (dengan celupar),
“Awak pakai songkok ke telekung untuk sembahyang?”
Sama-sama celupar, dia menjawab, “Benda ni jangan sibuk-sibuk. Kita ni, kalau nak sembahyang, kena dengan hati. Hati kalau baik, baik lah“.
Soalan dan jawapan yang sama-sama mendatangkan fitnah.
Sebahagian besar umat Islam punya pandangan, ‘Asalkan hati baik, benda lain dah tak penting’.
Saya tidak membangkang.
Hati ini ibarat Raja. Jika raja baik, maka rakyat akan hidup dalam keamanan, sentosa dan sejahtera. Tetapi jika raja korup, maka rakyat akan menderita, jahat, dan sering melakukan jenayah.
Tapi manusia tidak akan masuk syurga dengan hati. Manusia masuk syurga bersama roh dan jasad.
Maknanya, bukan hatinya sahaja yang perlu baik, kelakuan, akhlak, dan seluruh anggota badannya, perlu akur dengan perintah Allah.
Manusia adalah makluk hybrid. Diciptakan di tengah-tengah antara malaikat dan haiwan. Manusia ada akal yang suci seperti malaikat, dan nafsu yang buas seperti binatang.
Jika seseorang itu boleh mengalahkan nafsunya, nescaya dia akan lebih mulia daripada malaikat. Tetapi jika nafsunya menguasinya, dia akan lebih hina daripada binatang.
Hidup ini adalah pilihan.
Pilihan di antara benda-benda yang salah, tetapi dicintai nafsu dan perkara-perkara yang benar, tetapi dibenci oleh nafsu.
Akal kita boleh menilai. Kita tahu pornografi haram. Tahu couple dan dating haram. Mencuri haram. Ponteng kelas haram. Curi tulang haram. Masuk kerja lambat balik kerja awal itu haram. Tetapi akal ialah kognitif. Tahu membeza hitam dan putih, mengira 123 dan membaca ABC.
Tetapi hati inilah yang akan membuat pilihan. Jika hati benar-benar baik, pasti lelaki akan menjadi lelaki, dan wanita akan menjadi wanita. Pasti solat akan tetap dibuat walaupun sukar dan maksiat ditinggalkan walaupun peluangnya terbuka luas.
Bukannya ‘hati itu’ yang menjadi alasan, menghalalkan yang haram dan sebaliknya.
Kadang-kadang kita bukan masuk neraka kerana dosa kita, tapi kerana kita CELUPAR.
Jika dahulu celupar hanya khusus bagi lidah, tapi kini tangan juga boleh celupar.
‘Hati saya baik’ hanyalah propaganda dan slogan ciptaan dajjal.
Kerana mustahil jika pembarisnya lurus, bayangnya bengkang-bengkok.
Islam agama amalan, bukan falsafah.