Mata satu, ada ekor, atas tanah.

“Panjang sangatlah. Boleh lukis tak?”

Itu adalah antara komen netizen bila disuruh membaca. Mereka ada semangat tapi tiada maklumat. Mereka mahu tahu tapi tak mahu membaca.

Bahkan tidak sedikit daripada kita yang bersikap seperti seorang bayi, hanya mahu ‘disuap’ dengan maklumat. Sikap ini adalah sangat merbahaya, kerana apabila kita hanya tahu mengangakan mulut saja, maka kita hanya menerima apa-apa sahaja yang disumbat ke dalam mulut kita.

Tidak hairanlah lahir dalam kalangan kita, ekstremis dan pentaksub.

Kita tidak boleh berfikir untuk ‘makan sendiri’ dan tidak boleh membayangkan hidup tanpa disuap oleh orang lain.

Akhirnya, kita tak mampu untuk mempunyai pendapat sendiri dan membuat keputusan atas kapasiti sendiri.

Tidak berani untuk menolak pendapat yang salah.

Dan tidak berani untuk menerima pendapat yang betul.

Kerana ‘betul’ dan ‘salah’ adalah makanan orang berilmu, tetapi bagi ‘orang bodoh’, makanannya cuma emosi dan sentimen.

Asalkan menang bersorak, kampung tergadai pun tidak mengapa.

Padahal membaca adalah gerbang ilmu. Dengan membaca, kita dapat mencerap maklumat. Dengan membaca jugalah kita mendapat amaran. Kita tahu akan ancaman, lalu apabila orang lain masuk perangkap, kita pula masih boleh meloloskan diri.

Hidup tanpa membaca umpama hidup tanpa matahari. Kita bergantung sepenuhnya dengan cahaya lampu. Tetapi jika bekalan elektrik terputus atau mentolnya terbakar, maka bergelaplah kita.

Mencari ilmu bukan tugas mahasiswa. Sebaliknya mencari ilmu adalah tugas manusia.

Ilmu bukanlah semata-mata fizik atau metafizik. Bukan juga sekadar apa yang dicetak dalam buku setebal 10 inci. Sebaliknya ilmu adalah apa-apa yang akan menambahkan kebaikan kepada kehidupan dan membebaskan manusia daripada azab kebodohan.

Ilmu juga akan membebaskan kita daripada menjadi hamba kepada menjadi seorang tuan.

Dengan memiliki ilmu, kita berupaya untuk membuat keputusan sendiri dan tidak mudah terpengaruh dengan emosi, persepsi, dan kegopohan membuat induksi. Baca daripada kedua-dua sumber. Daripada kawan dan juga lawan.

Ambil contoh terbaru, iaitu cadangan kerajaan untuk membelanjakan RM 40 juta bagi mendapatkan hak siaran langsung Piala Dunia 2018.

Bagi orang yang pengetahuan dan maklumatnya hanya sekadar kepada mengenal angka dan nombor, maka yang dia nampak cuma ‘besarnya amaun itu’.

Membazir, kata orang ini.

Sebaliknya bagi mereka yang faham dengan selok belok perniagaan dan bisnes, maka mereka melihat perkara ini sebagai sebuah pelaburan jangka pendek.

Bayangkan jika seseorang itu tidak suka membaca. Maklumat sebenar tidak akan diterima olehnya.

Selama-lamanya dia akan menganggap itu pembaziran. Datanglah seribu hujah sekalipun, dia tetap merasakan pandangannyalah yang paling bernas. Dia akan selektif, defensif, dan menjadi konservatif.

Padahal dunia ini lebih besar daripada pandangannya dan pandangan ‘orang-orang sepertinya’.

Membaca sebuah buku sahaja dan membakar buku-buku yang lain, adalah amat merbahaya.

Maka jadilah dia seperti Allayarham P. Ramlee dan rakan-rakannya di dalam filem Pendekar Bujang Lapok,

“Matanya satu, ada ekor, atas tanah? Tu huruf mambang tanah cikgu!”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s