Sepanjang hidup saya, ada dua momen besar yang terkait dengan persoalan di atas. Pertama, ketika arwah saya mula-mula terkena penyakit strok yang menyebabkannya ‘berdridden’ hampir 2 tahun.
Arwah ayah hanya mampu mengawal kelopak matanya sahaja. Ayah langsung tidak mampu memberikan respons kepada sebarang bentuk ransangan. Makanannya adalah susu dan katilnya adalah tempat tidurnya dan juga tandasnya. Kami bahkan terpaksa mengambil pembantu rumah dari Lombok, Indonesia untuk membantu kami menjaga ayah.
Setiap dua jam, perlu diubahkan posisi baringnya. Dua jam mengiring ke kiri, dua jam lagi mengiring di rusuk kanan. Saya pernah tulis panjang lebar di dalam esei ini. [ Klik di sini ]
Apa yang kami tak buat? Semua bentuk perubatan kami cuba. Daripada perubatan moden hinggalah kepada perubatan tradisional. Daripada ubat-ubatan yang mahal hinggalah kepada rawatan yang percuma. Semua kami usaha.
Tapi Allah ‘tidak’ menjawab doa kami supaya arwah ayah sembuh, atau setidak-tidak pun, diangkatkan penderitaannya.
Beberapa bulan selepas arwah ayah pergi, arwah isteri saya pula mengulangi skrip kehidupan yang serupa.
Apa lagi yang kami tak pernah usahakan. Semuanya sudah. Kata-kata doktor kami dengar, kata-kata ustaz pun kami dengar. Wang simpanan semakin menipis sehingga terpaksa dikikis-kikis daripada simpanan Tabung Haji.
Tetapi Allah S.W.T masih Tuhan yang sama. Tuhan yang setiap makhluk perlu mengikuti kehendaknya, bukan Tuhan yang perlu mengikuti kehendak makhluknya.
Setiap saat saya berdoa, “Ya Allah, sembuhkanlah isteriku”, sehingga doa itu sudah menjadi sebuah kebiasaan sampaikan selepas kematiannya pun saya masih tersasul membacanya.
Boleh kata saya ada sejarah yang sangat panjang dengan berdoa.
Sekalipun doa itu tidak dimakbulkan oleh Allah S.W.T mengikut kehendak saya.
Saya meminta ayah sembuh. Ayah tidak sembuh.
Saya meminta isteri saya sembuh. Dia juga tidak sembuh.
Anehnya, saya tidak jemu, bosan , jauh sekali serik daripada terus berdoa.
Kerana saya sedar, saya cuma mampu berusaha dan berdoa. Hanya saya dan Allah sahaja yang tahu apa yang berlaku kepada saya di antara doa-doa saya.
Pada sayalah, walaupun Allah S.W.T tidak memberikan apa yang saya minta, saya tetap rasakan bahawa Allah S.W.T sayang kepada saya, kepada arwah ayah, dan kepada arwah isteri saya.
Sebagai manusia, tugas saya cuma meminta.
Tetapi sebagai Tuhan, Allah S.W.T tidak ada ‘obligation’ atau kewajipan untuk menunaikan permintaan saya.
Cuma saya tahu, semakin saya banyak meminta, semakin saya dapat merasakan ‘kehadiran’ Tuhan di dalam kehidupan saya. Saya makin sedar saya ini kerdil, tidak berkuasa, ‘helpless‘, dan tak berdaya.
Saya tidak memiliki apa-apa dalam dunia.
Saya cuma meminjam.
Saya tiada hak dan tidak berhak.
Yang saya ada hanyalah al-Haq.