Balik kerja semalam, saya sempat berborak dengan emak. Kebetulan, di TV al-Hijrah ada penceramah sedang bercakap tentang PRU. Lantas emak saya bertanya,
“Nanti mek nak ‘pangkah’ apa?”
Emak saya orang Kelantan. Jadi kami adik beradik memanggilnya mek.
“Manalah saya tahu”, canda saya, sekadar mahu memancing perbualan.
“Kalau PAS, nak pangkah apa?”, soalnya lagi.
Emak saya adalah contoh tipikal seorang wanita tua di ceruk kampung yang sudah memutuskan hubungannya dengan dunia. Sejak arwah ayah meninggal, mek memang sudah lama menyuarakan niatnya untuk tinggal di ‘pondok’. Namun kerana faktor PKP dan risiko COVID, baru tahun inilah kami dapat menunaikan permintaannya.
Mek bukan setakat tak tengok drama melayu, TV pun jarang-jarang terpasang. Lebih-lebih lagi sejak tinggal di pondok. Mana ada televisyen pun. Mujur sahaja mek tahu Perdana Menteri Malaysia sekarang ialah Dato Seri Ismail Sabri. Itu pun dia panggil ‘Mail’ saja, macamlah PM itu orang kampung kami.
“Sekarang PAS dah bergabung dalam Perikatan Nasional. PN”, kata saya.
“Yang ada UMNO?”
“Tu BN mek. Ni PN. Huruf ‘P’ bukan ‘B’.”
Mek angguk. “Mek nak undi orang yang nak ‘buat’ Islam je”, tambahnya.
Saya senyum. Sebenarnya dalam hati, panjang saya nak cakap kepada mek tetapi saya rasa isu politik adalah terlalu ‘besar’ buat warga emas seperti mek. Lagipun dunia mek sekarang cuma ada anak-cucu dan pondoknya sahaja. Rumah pusaka pun mek sudah malas nak ambil tahu sangat. Hasil sawit pun mek sudah tidak peduli mana. Ada duit, ambil. Sikit atau banyak hasilnya pun, mek tidak pernah berkata apa-apa.
“PAS yang nak Islam kan?”, soalnya lagi seakan minta kepastian.
“Ya mek”, jawab saya ringkas. Sepanjang umurnya, mek cuma kenal dua entiti sahaja. PAS dan UMNO. Jika bukan PAS, UMNO lah. PKR saya ragu-ragu mek tahu. BERJASA, MUDA, PEJUANG, apatah lagi.
Memang sejak saya kecil lagi, emak dan ayah saya terkenal sebagai penyokong PAS. Ayah saya bahkan pernah bersama-sama dengan rakan-rakan peneroka yang berhaluan kiri menyaman FELDA dalam isu FGV selepas terikut-ikut dengan ‘hasutan’ kumpulan yang tidak menyokong kerajaan masa itu.
Perbualan dengan mek malam tadi mengingatkan saya kepada istilah “undi playsafe” yang sahabat saya pernah sebut. Saya tidak mengatakan apa yang dia cakap itu benar tetapi saya juga tidak menafikannya.
“At least kalau kita undi orang yang ‘clean’ dan komited nak jaga agama Islam, kita dah selamat kat akhirat nanti”.
Itulah juga yang saya fikir. Bukan mudah sebenarnya nak memilih ‘mudarat yang lebih kecil’ itu.
Nak pilih yang jaga melayu, jaga Islam, pemimpinnya sangat-sangat korupsi.
Nak pilih yang paling semangat melawan korupsi, terlalu islamophobia dan alergi kepada status-quo pula.
Nak pilih yang boleh jaga melayu & islam tetapi tidak banyak korupsi, nampak lemah dan orang tak takut pula.
Takkan nak undi calon BEBAS pula? Takut melukut di tepi gantang pula.
Apapun semoga Allah S.W.T jaga Islam dalam diri kita dan zuriat keturunan kita. Ikutlah ijtihad masing-masing. Yang penting, JAGA UKHUWAH.