Dulu kan, saya fikir orang tak berkahwin sebab tak ada duit. Masa tahun 2010, dah mula kecoh pasal isu hantaran ni. Cerita tentang hantaran berjumlah RM 50,000 ini sangatlah mengerikan lebih-lebih lagi kepada lelaki. Bukan seorang dua yang terpaksa mematikan hasrat untuk berkahwin awal. Yalah, kerja pun gaji baru RM 1,200 sebulan. Berapa lama baru dapat mengumpul duit sebanyak itu.
Tapi itu dululah. Sekarang, barulah saya sedar bahawa jodoh itu kuncinya bukan semata-mata wang. Bila ada rakan-rakan yang kaya-raya masih membujang, barulah saya sedar bahawa wang hantaran bukanlah satu-satunya penghalang jodoh. Banyak lagi batu halangannya.
Saya tertarik untuk bercakap tentang jodoh ini selepas seorang rakan saya mengalami masalah untuk bernikah di musim PKP ini. Besar sungguh cabarannya. Ke hulu ke hilir dia dan bakal isteri, kerana mahu memenuhi tuntutan birokrasi. Pejabat Agama pun pening lalat melayan prosedur pihak berkuasa. Yang merana, orang yang nak bernikah inilah.
Ditangguh-tangguh, masa berjalan.
Hendak disegerakan, melanggar pemerintah.
Adapun begitu, suka saya nak menegaskan beberapa point penting dan utama.
- Jodoh adalah urusan Allah- ditentutkan sejak kita masih di dalam kandungan ibu kita lagi.
- Orang yang tidak berkahwin bukanlah tidak laku. Ada sahaja ulama yang tidak sempat bernikah, sebagai contoh, Imam Nawawi Rahmatullah Alaih.
- Tidak berkahwin adalah lebih baik, daripada berkahwin dengan orang yang silap. Seperti nyanyian Sufian Suhaimi, “…dan tak seharusnya aku bertemu dirimu di dunia ini…”. Itu rintihan orang yang menyesal kerana berjodohan dengan orang yang salah.
- Di zaman millenial ini, keutamaan berkahwin sepatutnya adalah lebih kepada matlamat menuju syurga, dan bukan semata-mata kerana mahu menunaikan tujuan cinta, jauh sekali bagi menghalalkan zina.
- Saya selalu percaya dengan konsep ‘jodoh yang jatuh bergolek’ kerana walaupun bunyinya macam dalam cerita novel, hakikatnya sifat jodoh yang baik adalah ‘jatuh bergolek’… iaitu ia tiba-tiba muncul dalam hidup anda.
- Saya juga menyanjung idea cinta selepas nikah. Cinta yang bermula dengan perkenalan sepatutnya diakar dengan matlamat. Bukannya cinta yang tak ketahuan, hingga terjebak dengan aktiviti couple yang dekat dengan zina.
Akhir sekali, saya juga mahu menyeru ibubapa untuk menjadi lebih prihatin terhadap anak-anak mereka. Lebih-lebih lagi jika anak anda perempuan. Jika berjumpa seorang lelaki soleh, nikahkanlah anak perempuan anda. Jangan semata-mata dinilai harta dan pekerjaannya sahaja.
Cukuplah kisah sahabat Nabi yang bernama Julaibib ini menjadi pengajaran.
Julaibib adalah pemuda yang serba kekurangan. Mukanya hodoh, hartanya juga sehelai sepinggang. Suatu hari, dia menyuarakan hasratnya untuk bernikah, lalu Rasulullah S.A.W pun meminang baginya seorang anak gadis daripada sahabat ansar. Pada awalnya, kedua ibubapa gadis tadi amat gembira kerana disangkakan, yang meminang itu adalah Rasulullah S.A.W.
Ketika diberitahu bahawa Rasulullah S.A.W. hanya menjadi wakil kepada Julaibib, berubah air muka ibu bapa si gadis.
“Izinkan kami berbincang dulu Ya Rasulullah”, kata si ayah. Hatinya serba salah. Jika ikutkan, memang dia hendak menolak, tapi jauh di sudut hati, dia segan dan tak mahu menghampakan hasrat Rasulullah.
Dalam serba salah itu, anak gadisnya memujuk dengan tenang dan yakin.
“Wahai ayah, wahai ibu. Jika pinangan ini datang daripada Rasulullah S.A.W, percayalah, pasti tidak akan ada satu kemudharatan pun akan menimpaku. Justeru, nikahkanlah aku dengan Julaibib”
Keazaman si gadis merobohkan was-was dalam naluri ayah dan bondanya. Lalu dinikahkan gadis solehah itu dengan Julaibib, lelaki yang tidak kacak dan tidak berharta itu.
Dipendekkan cerita, sampai seruan jihad, dan Julaibib syahid di medan perang. Ketika itu barulah Rasulullah S.A.W berkata dengan sayu, “Sesungguhnya aku telah kehilangan Julaibib”.
Kesimpulan daripada cerita pendek ini sebenarnya ringkas.
Ibubapa di zaman Rasulullah dengan ibubapa di zaman millenial ini, tak banyak bezanya. Kedua-duanya mahukan masa depan yang terbaik buat anak-anak mereka. Cumanya, orang dahulu memandang atau menilai seseorang dengan pandangan akhirat.
Zaman sekarang, bab-bab akhirat tu menjadi nilai sekunder.
Tapi betul juga, orang baik di akhir zaman ni, setakat mana baiknya?
Baiknya pada kopiah, pada post-post islamik, atau pada apa?