Kenapa ada manusia yang berasak-asak ujiannya. Lepas satu, satu. Sudahlah miskin, hilang pula dompetnya. Sudahlah kehilangan isteri, hilang pula pekerjaannya. Sudahlah tidak ramai kawan, dikhianati pula.
Hakikatnya, begitulah ujian. Tiada hidup yang selamanya indah dan kalis ujian. Setiap manusia akan diuji oleh Allah S.W.T, bukan dengan perkara-perkara yang dia pasti mampu.
Kita seringkali membaca penggulungan di surah al-Baqarah, “…Allah tidak akan membebankan kamu, melainkan dengan apa yang kamu mampu…”.
Mampu atau tidak ini, hakikatnya siapa yang tentukan?
Sudah tentu bukan kita.
Justeru, apabila Allah cabut nikmat kesihatan, adakah Allah tersilap aturan. Adakah setiap “aduh”, setiap “Ya Allah…”, dan setiap “Ya Tuhanku…” yang menitip di bibir-bibir kering kita, petanda kekalahan?
Tidak.
Mampu atau tidak, ialah soal hati.
Ketika Allah menguji hambaNya, hakikatnya Allah sedang menguji hati manusia.
Setakat mana kita boleh berkata-kata dengan hati, dan tidak lagi dengan bicara lidah.
Percayalah, kita boleh membina perkataan. Kita boleh rancang apa yang kita mahu bicarakan. Kita boleh susun, konstruk, dan pilih perkataan-perkataan yang indah dan memukau.
Tetapi kita tak mampu mencipta skrip dan lakonan hati.
Apa yang terdetik di dalam hati, itulah diri kita yang sebenar.
Betapa bijaknya al-Ghazali menyimpulkan bahawa akhlak itu adalah apa-apa tindakan yang dilakukan oleh seseorang secara spontan, tanpa lakonanan atau simulasi.
Begitulah hati.
Jika di dalam ujian, kita masih boleh bersangka baik dengan Allah, maka itulah kejayaan.
Jika sebaliknya, saat diuji pun hati kita masih hanya tahu mengungkap kekesalan, sangka buruk, kemarahan, kekecewaan, dan kebencian, maka ujian itu adalah musibah.
Ia akan menjadi musibah kepada dunia kita,
Dan menjadi gari yang mengunci kita di akhirat.
Ketahuilah,
Setiap manusia diuji.
Setiap ujian, berbeza.
Setiap perbezaan, adalah rahmat.
Allah S.W.T tidak akan menguji kita dengan sesuatu yang mudah. Jika ia mudah, ia bukannya ujian.
Seseorang tak akan masuk ke dewan peperiksaan dengan jaminan skor A+, kerana itu tidak adil, walhal Allah S.W.T itu Maha Adil.
Justeru jika ditanya semula wajarkah kita diuji, maka senyum dan beritahu kepada dunia, bahawa kita tidak tahu adakah ini nikmat atau ini musibah. Yang kita tahu, kita cuma bersangka baik dengan Allah.
Redhalah dengan hati yang terdalam.