Kisah ini diceritakan oleh Ustaz Derry Sulaiman. Videonya ada di YouTube. Saya sekadar menuliskannya semula dengan olahan dan bahasa saya sendiri.
Di sebuah kampung di Indonesia, ada dua orang pemuda yang berjiran. Mereka berdua sebaya. Sama kelayakan akademiknya dan sama-sama ditawarkan pekerjaan Korea. Sebelum berpisah, ibu masing-masing menitipkan pesanan yang sama serta mendoakan doa yang serupa.
Di sana, mereka telah ditawarkan kontrak pekerjaan selama 5 tahun dengan bayaran yang sangat lumayan. Pemuda pertama adalah anak yang soleh. Sejak mendapat gaji pertama, dia akan menyimpan sedikit wang bagi keperluannya di bumi perantauan, lalu selebihnya akan dikirimkan ke kampung halaman.
Pemuda kedua pula mengalami kejutan budaya di bumi asing. Dia lupa kepada kampung halamannya. Jadi setiap bulan, gajinya akan dihabiskan dengan berfoya-foya. Teman wanita silih bertukar ganti. Makan-minumnya seperti raja. Entah halal, entah haram. Asalkan sedap, semuanya diratah.
Selama empat tahun keadaan ini berterusan. Akhirnya suatu hari, kedua-dua pemuda ini mendapat surat daripada ibu masing-masing dari kampung.
Ketika pemuda pertama membuka warkah daripada bondanya, air matanya berjejeran tanpa dapat ditahan. Tulisan tangan ibunya dibaca sepatah-sepatah dengan sayu. Pada halaman pertama, ibunya melepaskan kerinduan dan harapannya agar anaknya itu dapat segera pulang. Pada halaman kedua, terselit gambar sebuah rumah yang tersergam indah. Rupa-rupanya itu adalah rumah yang telah ibunya persiapkan untuknya, yang dibina daripada wang kirimannya setiap bulan. Di halaman ketiga, ada diselitkan gambar sebidang tanah yang penuh dengan pokok buah-buahan. Rupa-rupanya ibunya telah membeli sebidang tanah untuknya hasil daripada wang kirimannya, dan pada muka surat terakhir, ada potret seorang ganis yang sangat jelita. Rupa-rupanya ibunya telah menyunting seorang gadis buatnya yang akan menunggunya untuk diperisterikan.
Pemuda pertama itu teruja, gembira dan bersyukur. Dia segera bertemu dengan majikannya dan bertanya jika sekiranya dia boleh meminta untuk dipendekkan kontraknya. Malangnya, tidak boleh. Dia masih perlu menghabiskan baki masa setahun di sana. Lalu setahun yang terakhir ini dilalui dengan perasaan penuh rindu akan kampung halamannya.
Pemuda kedua juga menerima surat yang sama, tetapi isinya berbeza. Daripada muka surat pertama hingga akhir, yang ada hanya makian, cercaan, dan ugutan daripada ahli keluarganya dan orang-orang kampung kepadanya. Pemuda kedua bukan sahaja tidak membalas kebaikan ahli keluarganya, tetapi menconteng arang di muka mereka lagi. Lalu ugutan seperti jangan pulang ke kampung halamannya, menghantuinya. Ketakutan dan kebimbangannya itu menyebabkannya tekad untuk berjumpa dengan majikannya dan meminta supaya kontraknya dilanjutkan.
Malang sekali, kontrak yang diberikan tidak boleh ditamatkan dan tidak juga boleh dilanjutkan. Akhirnya pemuda kedua ini menghabiskan tahun akhirnya dengan kerisauan, penyesalan, dan ketakutan.
Begitulah hakikat kehidupan.
Dunia ini adalah tempat kita bekerja. Kita membanting tulang untuk menyempurnakan akhirat kita, kerana di situlah kampung halaman kita yang sebenarnya.
Jika di dunia kita menabung, maka kita akan ada wang yang cukup untuk berbelanja di akhirat. Sebaliknya, jika kita lupa untuk mempersiapkan bekalan kita, maka kita terpaksa berhadapan dengan kemurkaan Allah S.W.T.
Sesungguhnya Allah tak tanya tentang kejayaan-kejayaan kita di dunia. Dunia ini sementara, dan tidaklah lebih berharga daripada bangkai seekor kambing yang cacat.
One thought on “Kisah Dua Orang Pemuda Indonesia di Korea”