“Saya ni setakat tak solat je. Tapi saya baik. Saya tak mencuri. Saya tak tipu orang. Saya kerja ikut masa. Tak ada curi tulang, tak mencuri barang company, tak menipu claim dan OT. Kadang-kadang orang lain yang solat tu lagi teruk daripada saya. Rehat sampai pukul 2 petang, dia pukul 2.30 petang baru masuk semula. Katanya sebab solat. Lepas tu balik kerja mesti nak cepat-cepat. Kerja semua selalu ‘taici’ kepada orang lain. Takkan lah di sisi Tuhan, saya lebih jahat daripada orang tu”.
Perbualan di atas adalah contoh semata-mata dan direka berdasarkan kejadian sebenar.
Saya sebenarnya tidak mempunyai data tentang peratusan orang yang meninggalkan solat. Namun, setakat pemerhatian saya selama ini, saya rasa tidak kurang daripada separuh umat Islam terutamanya lelaki, meninggalkan solat. Ini termasuklah remaja hinggalah orang tua.
Jangan hairan jika orang muda pun tidak bersolat, kerana orang tua pun masih ramai yang tidak mahu berubah.
Kembali kepada persoalan utama.
Adakah orang baik yang tidak bersolat lebih baik daripada orang jahat yang bersolat, atau orang jahat yang bersolat itu lebih baik?
Jawapannya adalah, kedua-duanya tidak baik.
Agama Islam tidak tertumpu hanya kepada aspek ketuhanan semata-mata sebaliknya agama Islam sangat menekankan soal keduniaan.
Antaranya adalah firman Allah S.W.T di dalam surah al-Qasas ayat 77:
وَابْتَغِ فِيمَا آَتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآَخِرَةَ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا
“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi”
Begitu juga dengan surah At-Taubah ayat 122:
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)
Banyak lagi ayat al-Quran yang menyokong premis: Islam tidak pernah menolak keduniaan.
Bahkan dalam bab ini, Imam al-Ghazali pernah manulis, bahawa maksud dunia adalah apa-apa yang tidak membantu dan tidak bermanfaat kepada urusan akhirat kita.
Ada dua bentuk hubungan yang sangat dititik beratkan di dalam Islam.
1. Hubungan dengan Allah (hablum minallah)
2. Hubungan dengan manusia (hablum minannass)
Ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T dalam surah Ali Imran ayat 112.
Di dalam Islam sebenarnya wujud konsep ‘carrot and stick’, di mana setiap complience akan dibalas dengan kebaikan (carrot) dan setiap non-compliance akan dihukum (dengan stick).
Dalam bab solat, jika kita patuh dengan perintah solat, bermakna kita sedang menjaga hubungan pertama- iaitu hubungan dengan Allah S.W.T. Namun, kita disuruh untuk menunaikan tanggungjawab kedua pula, iaitu menjaga hubungan dengan makhluk. Di situlah datangnya perintah-perintah Allah S.W.T supaya kita menepati janji, menepati masa, membantu orang, menunaikan amanah, dan lain-lain.
Meninggalkan solat adalah berdosa besar. Begitu juga dengan mencuri, khianat, rasuah, tipu claim OT, sengaja datang kerja lambat, malas bekerja, dan lain-lain. Sebahagian perbuatan itu mungkin hanya perbuatan dosa kecil. Namun, dosa-dosa kecil ini akan menjadi besar sekiranya terlalu sering dilakukan.
Orang yang tidak bersolat ini perlu berdepan dengan kemurkaan dan kemarahan Allah S.W.T. dan jika Allah S.W.T mahu, Dia akan mengampunkan kita tetapi jika Dia enggan, maka kita akan diazab di dalam neraka sekalipun kita ini orang yang rajin bersedekah, membantu orang, bahkan sering menunaikan umrah dan haji sekalipun. Ini termasuklah juga orang-orang kaya yang selalu memberi makan anak yatim dan menaja pelajar-pelajar tahfiz. Semua kebaikannya tidak layak ditimbang kerana solatnya tidak dibuat.
Perumpamaan solat adalah seperti kepala bagi badan, atau tiang bagi agama. Tiada kepala, badan yang paling sempurna pun akan kaku. Tiada tiang pula, bangunan yang paling megah pun akan roboh.
Manakala bagi orang jahat yang bersolat, orang itu akan berhadapan dengan beberapa kemungkinan.
1. Solatnya akan menjadikan dia semakin baik secara berperingkat.
2. Solatnya akan membantunya meninggalkan kejahatannya.
3. Solatnya tidak diterima oleh Allah S.W.T dan akan dilemparkan ke mukanya seperti kain buruk di hari akhirat nanti.
4. Solatnya akan menjadi sebab dia ke neraka wail.
Bagi sebab pertama, kehidupannya akan semakin baik kerana Allah S.W.T akan memakbulkan doanya dan membantunya di dalam kesulitan hidup. Ada orang yang jahat kerana faktor-faktor luaran dan bukannya dalaman. Ini adalah bertepatan dengan firman Allah S.W.T antaranya di dalam surah al-Baqarah ayat 45 dan 46.
Yang kedua pula, solat akan membantunya meninggalkan maksiat kerana apa yang Allah S.W.T firmankan di dalam surah al-Ankabut ayat 45.
Bagi sebab yang ketiga, ‘dilemparkan seperti kain buruk’ itu adalah berdasarkan hadis Nabi S.A.W daripada Imam Baihaqi. Namun, status hadis ini adalah dhaif. Cuma maksudnya sahaja yang benar, iaitu Allah S.W.T hanya akan menerima solat yang dilakukan elok-elok bukan solat yang cincai-cincai. Pendapat ini disokong oleh amaran Baginda S.A.W tentang wujudnya golongan ‘pencuri solat’ iaitu orang yang solat secara terburu-buru,dan peristiwa di mana Baginda S.A.W menegur seorang lelaki dan menyuruh lelaki itu mengulang solatnya sehingga 3 kali.
Bagi sebab yang keempat pula, Allah S.W.T berkata dalam surah al-Maun, bahawa Allah S.W.T akan mengazab orang yang “lalai daripada solatnya”. Ini merujuk kepada manusia yang suka dan sengaja melambat-lambatkan solatnya tanpa keperluan yang mustahak sehingga terbabas daripada waktunya. Ini adalah contoh perkara biasa yang membinasa.
Kesimpulannya, suruhan untuk melakukan perintah Allah S.W.T adalah seiring dengan perintah untuk berbuat baik kepada orang lain. Meninggalkan salah satu adalah kesalahan dan akan menjadi sebuah penyesalan kepada kita di dunia dan akhirat nanti.