Saya mengambil ikhtibar wasiat Nabi Yaakub kepada anaknya, Nabi Yusuf. Kata Nabi Yaakub, “Rahsiakan mimpimu itu daripada pengetahuan saudara-saudaramu”.
Saya percaya bahawa bukan semua cerita, perlu kita ceritakan. Kadang-kala, menyembunyikannya adalah lebih baik.
Bukankah menelan lebih mengenyangkan daripada meluah.
Macam ujian Allah kepada kami suami isteri. Allah hadirkan penyakit kepada isteri saya, sebagai peringatan buat kami bersama. Allah izinkan penyakit Systemic lupus erythematosus (SLE) untuk singgah ke jasad isteri yang amat saya cintai.
Bagi yang tak tahu, penyakit SLE ini dikategorikan sebagai chronic auto-immune desease, di mana sistem immunisasi badan ‘tersilap’ menyerang tisu dan organ badan yang sihat pada tubuh.
Selain keradangan pada buah pinggang, isteri saya juga belum boleh mengandung kerana risiko yang besar terhadap keselamatannya. (Pesakit SLE boleh mengandung selepas mendapat rawatan dan konsultasi daripada pakar perubatan).
Dan inilah perkara yang paling menganggu perhatiannya. Setiap kali mendapat berita rakan-rakannya ‘mengandung lagi’, dia akan gembira dalam duka. Kemuncaknya adalah apabila orang-orang mula mempersoalkan mengapa kami belum lagi menambah zuriat, maka saya lihat dia hanya tersenyum dan mampu menjawab sepatah, “InsyaAllah, belum ada rezeki”.
Saya tahu ada air mata di hujung senyuman itu.
Suka saya membawa para pembaca kepada sebuah persoalan, penting sangatkah (does it really matter) sekiranya seseorang wanita itu tidak mampu untuk mengandung?
Soalan ini tiada jawapan ya atau tidak, kerana terlalu banyak pemboleh ubah yang akan mempengaruhi hipotesis kita dalam menilai isu ini secara saksama.
Nabi S.A.W pernah beberapa kali berpesan kepada para sahabat agar mencari pasangan hidup yang subur. Antaranya adalah ebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud di mana seorang sahabat bernama Ma’qil Bin Yasar bercerita, ada seorang lelaki pernah datang untuk berjumpa dengan Nabi S.A.W lalu bertanya, “Aku telah bertemu dengan seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik, tetapi dia seorang yang tidak boleh melahirkan anak. Maka, apakah aku boleh menikahinya? Jawab Nabi S.A.W, “Tidak”. Lelaki itu datang pada kali kedua dan bertanya soalan yang sama, dan Baginda masih menjawab “tidak”. Lelaki tadi datang buat kali yang ketiga, lalu Nabi S.A.W bersabda, “Kahwinilah kamu akan wanita yang penyayang dan subur kerana aku merasa bangga dengan memiliki umat yang ramai”.
Hadis ini mengangkat darjat wanita-wanita yang subur, tetapi tidak pula menjatuhkan mereka yang tidak. Hal ini dapat diperhatikan dalam banyak situasi dan keadaan.
Di dalam al-Quran, Allah S.W.T merakamkan momen-momen semasa malaikat datang memberikan kejutan kepada Nabi Ibrahim tentang kelahiran Nabi Ishak. Dengan takjubnya, isteri Nabi Ibrahim berkata,
“Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak padahal aku sudah tua dan suamiku ini juga sudah tua? Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang menghairankan”. (Surah Hud ayat 72).
Perkara yang sama juga berlaku kepada Nabi Zakaria A.S. Peristiwa ini dirakamkan dalam ayat 40 surah Ali-Imran. Nabi Zakaria berkata, “Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?”, Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya”.
Rumah tangga Nabi S.A.W juga begitu. Baginda mempunyai 13 orang isteri. Namun begitu, hanya melalui Saidatina Khadijah R.A (dan Saidatina Mariah al Qibtiyah) zuriat-zuriat Baginda lahir. Namun, fakta ini sama sekali tidak menafikan jauh sekali menjatuhkan martabat para ummul mukminin yang lain. Lebih-lebih lagi Saidatina Aisyah Binti Abu Bakar.
Saidatina Aisyah yang seringkali menjadi watak antagonis dalam literature Syiah pun tidak pernah diserang dengan hujan peluru ‘tidak mengandung’. Tidak pula kita mendengar naratif-naratif kesat yang menyentuh subjek tersebut.
Orang kita yang menggunakan ‘tidak boleh beranak’ sebagai jarum beracun untuk melukakan hati orang lain, pada saya adalah lebih buruk, tidak sensitif, dan lebih tidak bermoral daripada syiah!
Dalam masa yang sama, Nabi S.A.W juga paling akrab, manja, dan rapat dengan Saidatina Aisyah. Terlalu banyak kenangan dan peristiwa yang berlaku di rumah Aisyah R.A hinggakan ketika sedang uzur, Baginda sendiri meminta izin kepada isteri-isterinya yang lain untuk tinggal di rumah Aisyah. Di sisi Baginda, Aisyah R.A bukan sekadar seorang kekasih hati, tetapi juga figur yang membahagiakan dan menyenangkan hati Baginda S.A.W.
Walhal, mudah sahaja bagi Allah S.W.T jika Baginda ataupun Aisyah R.A sendiri mahukan agar dirinya mengandung. Angkat sahaja tangan, pasti akan terus Allah makbulkan.
Namun begitu, kita dapati Saidatina Aisyah sangat rasional di dalam isu ini. Beliau tidak pernah mendesak jauh sekali mahu bersedih kerana tidak dikurniakan zuriat bersama Baginda.
Ini dikuatkan pula dengan wujudnya tekanan daripada orang kafir yang mentertawakan Baginda S.A.W ke atas berita kewafatan anak lelaki Baginda yang bernama Ibrahim.
Ibnu Juraij berkata, antara asbabun nuzul (sebab penurunan) surah al-kausar adalah kerana ejekan orang kafir quraish, “Sekarang Muhammad telah menjadi abtar (terputus nasab keturunan)”, sehingga menyebabkan Nabi S.A.W sedih. Maka turunlah surah al-kausar ayat 1 hingga 3 sebagai bantahan terhadap tuduhan orang kafir di samping menjadi penghibur kepada Baginda.
Kesimpulannya, mampu hamil atau tidak, tidak seharusnya menjadi kayu ukur dalam menilai seseorang wanita. Apalah guna mempunyai anak yang ramai jika yang dibawa ke dalam rumah, hanyalah masalah yang tidak berpenghujung.
Sebaliknya jadilah seperti Saidatina Aisyah R.A yang redha, ikhlas dan rasional. Di sebalik satu perkara yang Allah tidak beri, rupa-rupanya ada seribu lagi perkara yang belum sempat kita syukuri.
Berusahalah untuk hamil. Jika perlu berjumpa doktor dan pakar perubatan, maka pergilah berjumpa. Tetapi jika semua usaha kita menemui jalan buntu, maka bolehlah mengambil anak yatim sebagai anak angkat.
Mudah-mudahan, kita boleh bersama-sama dengan Rasulullah S.A.W di dalam syurga, kerana sabda Baginda, orang yang menjaga anak yatim akan hidup bersama-sama Baginda di dalam syurga.
Kita jaga anak yatim di dunia, Nabi S.A.W jaga kita di syurga.
Lain kali, kalau ada ‘mulut puaka’ sibuk menyindir lagi, maka biarkan kata-kata beracun itu masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Jangan sampai singgah di hati. Nanti bernanah hati.
Bersabarlah. Allah kan ada.
👍
LikeLike