Bagaimana Kapal Terbang Mengelakkan Pertembungan Sesama Sendiri Di Udara

Saya ada menonton sebuah klip pendek video yang berlegar di Facebook. Kononnya pesawat Neos 767 dari Verona ke Zanzibar hampir berlanggar di udara dengan pesawat Boeing 737 milik Ethiopian Airlines yang menuju ke Addis dari Johannesburg.

Walau bagaimanapun, kesahihan video ini boleh dipertikaikan dan sedang diperdebatkan oleh warga media sosial. Carian pada portal The Aviation Herald juga tidak menemui berita ini. Justeru, artikel ini tidak bermaksud untuk mengulas tentang insiden ini sebaliknya hanya mahu memberi sedikit gambaran tentang sistem Trafic Collision Avoidance System atau dipanggil TCAS.

Tragedi mid-air collision (pertembungan di antara dua buah pesawat di ruang udara) adalah suatu insiden yang menyayat hati. Angka kematian biasanya ratusan orang melibatkan keseluruhan penumpang dan krew dan boleh juga melibatkan orang awam yang berada di tempat bangkai kedua-dua buah pesawat itu terhempas.

Pada 12 November 1996, pesawat Boeing 747 milik Saudi Airlines yang sedang menuju ke Delhi, India telah bertembung dengan pesawat jenis kargo Ilyushin II-76 milik Khazastan Airlines yang juga sedang dalam perjalanan ke Delhi dari Chimkent, Khazastan. Kemalangan itu telah meragut nyawa sebanyak 349 orang, dan bangkai pesawat terhempas berdekatan sebuah perkampungan bernama Chakri Dadri, lebih kurang 100km daripada destinasi mereka, Delhi.

Hasil siasatan mendapati terdapat salah faham di dalam komunikasi di antara air traffic controller (ATC) dengan juruterbang dan flight engineer Khazastan Airlines penerbangan 1907. Mereka tidak memahami arahan daripada ATC dan terbang pada paras yang tidak seperti yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, kemalangan ini boleh dielakkan jika sekiranya salah sebuah atau kedua-dua pesawat ini dipasang dengan sistem TCAS atau/dengan ATC mode S.

Seperti namanya, TCAS berfungsi untuk mengelakkan pertembungan antara dua buah pesawat. Sistem ini berfungsi dengan cara setiap pesawat akan saling berhubung sesama pesawat yang lain. Mereka akan terus menerus berkomunikasi dan bertukar maklumat seperti identiti pesawat, ketinggian, arah, bearing dan kelajuan lalu komputer akan membuat kiraan kepada masa untuk potensi perlanggaran atau closest point of approach (CPA).

Di dalam sistem ini, terdapat dua bentuk amaran. Pertama, dipanggil Trafic Advisory (TA) dan kedua Resolution Advisory (RA). Di dalam TA, sistem akan mengesan dan mengenal pasti pesawat asing yang berada berdekatan dengannya. Pesawat asing ini dipanggil intruder. Setiap imej intruders akan dipaparkan kepada juruterbang melalui skrin di hadapan mereka. Setiap simbol pesawat akan berbeza-beza mengikut CPA.

Manakala RA pula adalah satu bentuk amaran berbentuk visual dan audio untuk memberitahu juruterbang bahawa pesawat mereka sudah terlalu hampir dengan intruder, dan dalam masa yang sama, memaparkan arahan (guide) kepada juruterbang supaya mengawal atau memusingkan pesawat mereka keluar daripada kawasan yang berpotensi untuk berlaku perlanggaran atau dipanggil ‘fly-out-region’.

Salah satu atau kedua-dua pesawat yang hampir bertembung itu akan diberikan arahan yang berlawanan. Jika pesawat A disuruh untuk turun, maka pesawat B pula diminta supaya naik. Tahap sensitiviti sistem TCAS ini berbeza-beza mengikut ketinggian pesawat. Namun begitu, jika pesawat berada di atas tanah, sistem ini akan menapis fungsi amaran agar tidak berlaku salah faham dan kekocohan (nuisance) di dalam kokpit. Pihak CAAM (dahulunya dikenali sebagai DCA Malaysia) telah mengeluarkan airworthiness notice (AN) nombor 8 bertarikh 1 September 1994 berkenaan dengan sistem ini.

TCAS adalah salah sebuah revolusi di dalam dunia penerbangan yang telah menaikkan tahap keselamatan udara ke suatu tahap yang lebih baik. Dalam masa yang sama, sistem ini juga telah merancakkan lagi aliran trafik di udara dengan memberi lebih banyak jaring-jaring keselamatan.

Pemain-pemain gergasi di dalam industri penerbangan seperti Boeing dan Airbus juga dilihat semakin gagah bersaing untuk meningkatkan kualiti dan keselamatan dalam industri pengangkutan udara. Saya berharap kita semua semakin mendapat manfaat daripada persaingan sihat ini. Mana tahu, suatu hari nanti air travel akan menjadi lebih murah daripada harga tiket ERL daripada KL Sentral ke KLIA.

Sekarang pun sudah lebih murah, kan.

One thought on “Bagaimana Kapal Terbang Mengelakkan Pertembungan Sesama Sendiri Di Udara

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s