Kadangkala, kebaikan yang kita lakukan adalah lebih baik sekiranya tidak dilakukan.
Kita sangkakan ada manfaat, rupa-rupanya lebih banyak mudharatnya.
Sebagai contoh, orang yang bersolat sunat di muka pintu masjid. Dia menyangka perbuatannya itu berpahala tetapi sebenarnya dia telah menyusahkan ramai orang yang mahu keluar-masuk ke dalam ruangan solat utama.
Dari zaman BN memerintah sampailah PH mengambil alih, situasi ini masih lagi berleluasa. Bukannya tidak pernah ditegur.
Mungkin kerana kita terkena ‘kejutan’. Maklumlah, seminggu sekali sahaja ke masjid.
Begitu juga halnya orang-orang yang meletakkan kenderaan di luar masjid secara semberono. Kenderaan mereka dibiarkan menghalang kenderaan lain dan mengacau lalu lintas. Sudahlah menghalang jalan, dia pula sibuk mahu berwirid dan bersolat sunat hinggakan orang lain terpaksa menunggu dia selesai dahulu.
Saya dapat kaitkan situasi-situasi itu dengan falsafah ‘damage control’ di dalam Islam.
Siapa kata Nabi S.A.W tak ajar tentang ‘damage control’?
Suatu hari, seorang arab badwi telah datang ke masjid. Lalu dia pergi sebuah penjuru masjid dan membuang air kecil. Para sahabat yang melihat perbuatannya itu menjadi marah. Mereka bersiap-sedia mahu menjerkah dan memukul lelaki badwi itu kerana marah. Namun begitu, Rasulullah S.A.W menghalang.
“Biarkan sehingga dia selesai”, perintah Baginda S.A.W kepada para sahabat.
Lalu selepas lelaki itu selesai melunaskan hajatnya, Baginda S.A.W menegur lelaki itu dengan lemah lembut. Baginda mengajar lelaki itu tentang adab di ‘rumah Allah’ dan Baginda memerintahkan sahabat yang ada di situ supaya mengambil sebaldi air, lalu air itu disiram di sekitar kawasan yang terkena najis.
Mengapa Baginda tidak membiarkan sahaja para sahabat yang berang tadi untuk menghentikan perbuatan kurang ajar lelaki badwi tadi?
Pertama, kerana lelaki badwi itu tidak tahu. Dia melakukan kesalahan kerana jahil.
Kedua, kerana Rasulullah S.A.W tidak mahu jika sekiranya lelaki badwi itu terkejut dan lari, maka sudah tentu najisnya akan berselerakan di seluruh kawasan masjid. Inilah ‘damage control’ yang Nabi S.A.W mahu para sahabat Baginda belajar.
Di dalam Islam, menolak kemudharatan adalah lebih utama daripada mengambil manfaat.
Banyak dalil sebagai bukti. Contohnya larangan mencela sembahan orang kafir kerana perbuatan itu dikhuatiri akan memprovok puak kafir untuk mencela pula Allah S.W.T.
Begitu juga dengan sikap Baginda S.A.W yang dilihat pasif dan bersabar di dalam menangani kaum munafik, padahal puak munafik pimpinan Abdullah bin Ubay itu telah banyak menimbulkan perpecahan, porak peranda, dan fitnah di dalam masyarakat Islam. Baginda tidak pernah menghukum apatah lagi melakukan kekerasan kepada mereka, walaupun Baginda S.A.W mampu untuk melakukannya.
Wallahua’lam.
Dalam masa yang sama, ingatlah juga dengan sebuah lagi kaedah fiqh,
‘Jika tidak mampu melakukan semua, maka jangan pula tinggalkan semua’.
Kita semua bijak kerana menukar pemimpin baru. Maka bijaklah juga supaya tidak menyusahkan dan mendatangkan mudharat kepada orang lain.
Semoga setiap amalan kita menjadi pahala dan bukannya menjadi dosa kepada orang lain.