Antara perkara yang merosakkan institusi kekeluargaan dan prinsip moral adalah zina. Zina adalah perbuatan jijik, keji dan hina. ‘Sedapnya’ mungkin seminit dua, tetapi kesannya adalah sampai bila-bila.
Tag “penzina” tidak akan mampu dikopek dan ditanggalkan, melainkan dengan taubat.
Setiap hubungan seks di luar pernikahan adalah zina, kecuali di dalam kes-kes terpencil seperti wat’i syubhah.
Wat’i syubhah adalah apabila seorang meniduri seseorang yang dia sangka isterinya, tetapi rupa-rupanya orang lain. Wat’i syubhah juga berlaku di dalam perkahwinan yang tidak sah.
Penzinaan dibahagi kepada dua iaitu muhsan dan ghair muhsan. Muhsan adalah perlakuan zina daripada orang yang sudah berkahwin, seperti suami, isteri, janda atau duda. Mereka dihukum dengan hukuman rejam dengan batu (bersaiz sederhana) sehingga mati.
Ghairu muhsan pula adalah penzinaan yang dilakukan oleh orang yang belum berkahwin, dara atau perawan. Mereka dihukum dengan sebatan sebanyak 100 kali. Sebatan akan dibuat kepada mana-mana bahagian tubuh kecuali muka, kepala, dada dan kemaluan.
Setiap hukuman ini perlu dilakukan di tempat awam dan disaksikan oleh masyarakat.
Hukuman zina boleh disabitkan melalui dua cara.
Pertama, melalui pengakuan.
Kedua, melalui pendakwaan oleh empat orang saksi. Keempat-empat orang saksi itu perlu melihat dengan jelas kemaluan suspek lelaki itu masuk ke dalam alat kelamin perempuan.
Lalu, timbul beberapa persoalan.
1. Adakah penzina di Malaysia boleh direjam sampai mati atau disebat 100 kali?
Jawapannya tidak boleh. Tanggungjawab melaksanakan hudud adalah tugas pemerintah di peringkat nasional dan bukannya hak individu.
2. Mengapa perlu kepada 4 orang saksi?
Jawapannya, sepanjang sejarah pelaksanaan hukuman zina, hampir kesemua hukuman ini dijalankan atas pengakuan si pelaku zina. Ini berikutan sukarnya bagi mencari empat orang saksi yang adil, yang melihat sendiri dengan mata mereka, dan bukan sekadar prasangka. Contohnya, dalam serbuan daripada penguatkuasa agama. Jika mereka ditangkap, mereka tidak boleh disabitkan dengan zina sebaliknya mereka akan dituduh khalwat atau bersekududukan. Kecuali jika mereka mengaku.
3. Bagaimana pula dengan orang-orang yang berbangga-bangga dan berlagak di dalam percakapan atau gurauan, yang mereka pernah berzina? Seperti bercerita pengalaman semasa di Thailand atau negara-negara asing.
Orang sebegini ‘boleh’ direjam sampai mati jika sudah berkahwin, atau sebat 100 kali jika belum. Namun begitu, sekali lagi ditegaskan perlaksanaan hudud bukanlah tugas individu atau pemimpin masyarakat.
Orang sebegini juga perlu disedarkan tentang ancaman Allah S.W.T melalui sabdaan Rasulullah S.A.W,
Setiap umatku itu dimaafkan, kecuali orang-orang yang mujahir (suka menampak-nampakkan kejahatan, maksiatnya sendiri dengan rasa bangga, atau melakukan maksiat di khlayak umum sekalipun dia tahu itu salah). Sesungguhnya (termasuk) mujahir ialah jikalau seorang melakukan sesuatu perbuatan dosa di waktu malam, kemudian di pagi hari dia berkata,“Hai Fulan, malam tadi aku telah melakukan demikian- demikian.” Padahal orang itu semalam Allah telah menutupi aibnya, tetapi pagi-pagi dia membuka tutup Allah yang diberikan kepadanya itu.” (Muttafaq ‘alaih)
Malaysia baru, malaysia yang bebas zina.
Zina adalah kerosakan moral yang sangat dahsyat. Gejala pembuangan bayi adalah berpunca daripada penzinaan. Bagi anak muda kelas atasan dan pertengahan, penzinaan juga merupakan faktor yang mengikis keislaman dan jati diri serta menjadikan kita fakir moral.
Tidak lama dahulu, ada seruan-seruan kononnya mahu ‘mengajar’ pemuda-pemudi kita cara berzina dengan selamat. Bahkan ada yang mencadangkan agar kondom-kondom diberikan secara percuma kepada anak muda.
Sejujurnya, adakah ini cara sebenar kita mahu combat masalah sosial seperti pembuangan bayi?
Ini belum lagi dikira jenayah liwat, rogol, pedofil, sex maniac, pervert, dan onani.
Saya bersetuju bahawa kita tidak perlu takut dengan ancaman sosial jika iman kita kuat. Tetapi benarkah Islam dan Iman kita kuat, atau kita sengaja mahu menyedapkan diri sendiri sahaja?
Saya tak tahu orang lain. Tetapi bagi saya, jika mahu membangunkan negara, selepas menghapuskan rasuah dan monopoli, kita juga perlu jaga solat dan menjauhi zina serta pornografi.
Yang akan menjadikan negara ini maju bukan hanya royalti minyak, tetapi sejauh mana Allah masih ‘peduli’ dengan kita.
Dan ya, kita tak perlukan PAS untuk membawa RUU 355 atau hudud ke parlimen pun. Jika kita mampu mengawal kemaluan kita daripada zina, maka tidak perlulah kita ditakut-takutkan dengan hukumannya.