Pan-Islamism dan soalan kepada JT Malaysia, adakah mereka akan mengundi?

Idea Pan-Islamism adalah idea yang dicetak daripada wahyu. Agama Islam yang kita anuti hari ini, pernah mengalami zaman dan tamadun yang turun-naik. Kita pernah gemilang dan kita juga pernah suram. Islam pernah menjadi sebuah kuasa besar suatu ketika dahulu, sehingga 23 dunia ini dipayungi empayar khilafah.

Dahulu, kita adalah sebuah keluarga yang besar, sebelum nasionalisma dan emperialisma memisahkan kita menjadi daerah-daerah kecil, yang dibezakan dengan etnik, bahasa, budaya, dan sempadan politik.

Mungkin kerana terlalu lama umat Islam ditekan, maka lahirlah pemikir-pemikir Islam yang membawa seruan Pan-Islamism, penyatuan di bawah satu lafaz syahadah, seperti yang cuba dicetuskan oleh Jalaluddin al-Afghani semasa penaklukan tentera Sovient Union di Afghanistan. Mujahidin di Afghanistan berjaya memberi tekanan kepada Sovinet Union hingga akhirnya mereka berundur pada tahun 1989.

Idea ‘satu negara’ ini adalah celupan idea kepada sistem khilafah yang pada hari ini, seringkali diselewengkan oleh golongan radikal, gila kuasa, dan suka menumpahkan darah atas nama Tuhan. Bezanya, pendokong Pan-Islamism seperti Ikhwanul Muslimin di Mesir meletakkan penubuhan khilafiyah itu sebagai matlamat jangka panjang, jauh dibelakang agenda-agenda Islam yang terkini dan lebih penting.

Kita seharuanya berterima kasih kepada Necmettin Erbakan, Perdana Menteri Turkey pada tahun 1996-1997, kerana mempunyai visi Pan-Islamism yang jelas, hingga tertubuhnya gabungan Negara-Negara D8. Sehingga hari ini, kerjasama ini telah berjaya merancakkan pertubuhan ekonomi Malaysia dan 7 lagi buah negara majoriti penduduknya muslim yang sedang membangun.

Tetapi malang pula bagi Necmettin Erbakan, kempimpinannya dijatuhkan secara tidak bermoral oleh Coup Tentera Turkey pada 28 Februari 1997. Namun begitu, beliau tetap hidup bersama kecintaannya kepada Islam, hinggalah saat dia meninggal dunia pada 27 Feb 2011 di Hospital Güven, Bandaraya Ankara. (Semoga Allah menerima dan mengganjari susah payahnya dalam mengembalikan sinar Islam di bumi Turkey).

9 Mei 2018 nanti bakal menyaksikan rakyat Malaysia akan keluar beramai-ramai menuju pusat mengundi, bagi memilih pemimpin tempatan dan pemimpin pusat, buat penggal yang berikutnya.

Sebagai umat Islam, saya memandang idea pan-islamism sebagai idea yang baik. Saya juga menyambut baik jika ada usaha yang dilakukan bagi menyatukan kita. Seperti kata pepatah, ‘bersatu teguh bercerai roboh’.

Namun, sebaliknya pula yang berlaku. Jika kita merenungi kapsul politik setiap parti yang bertanding nanti, baik dari blok kerajaan mahupun blok pembangkang, kita sebenarnya sedang saling menyeru dan menarik manusia kepada perpecahan.

Baik parti yang kononnya membawa agenda Islam, mahupun parti yang membawa agenda liberal, kedua-dua tidak membawa keuntungan kepada agama Islam dan umatnya.

Hari ini, satu-satunya pihak yang masih menghayati seruan Allah dan Rasul dalam mengutamakan prinsip persaudaraan sesama Islam, hanyalah pecahan kecil saudara kita daripada jemaah tabligh (JT) sahaja.

Salah satu daripada rukun tabligh adalah ikramul muslimin.

Memuliakan saudara sesama Islam. Mengutamakan kaum muslimin dan membantu mereka tanpa sempadan negeri, bangsa, etnik, dan ideologi politik.

Di saat kaum muslimin hidup secara berkelompok, saling menembak peluru fitnah, caci maki, dan memarakkan api kebencian, saudara kita daripada jemaat tabligh ini masih tersenyum, masih memandang orang lain sebagai seorang saudaranya yang dikasihi.

Besar sangatkah dosa menyokong BN di mata penyokong PH, hingga jenama ‘dedak’, ‘macai’, ‘menyalak’, ‘mampus’, dan berbagai lagi caci maki, dilemparkan tanpa berlapik.

Dan besar jugakah dosa menyokong PAS hingga diperli sebagai ‘lebai malang’, ‘parti isley’, ‘parti ajaran sesat’, ‘akidah menyeleweng’, ‘meroyan’, dan lain-lain penghinaan.

Begitu jugalah dengan penyokong PH, yang tidak lari juga daripada dihujani kata-kata nista, kotor, dan mengguris.

Sekalipun idea politik mereka korup, mereka masih manusia, bukannya binatang. Mengapa tidak gunakan bahasa yang lebih elok dan sopan?

Setakat hari ini, bilangan rakyat Malaysia yang berumur lebih 21 tahun dan tidak mendaftar sebagai pengundi adalah seramai 3,616,388 orang.

Ini adalah sebuah angka yang sangat besar. Yang menghairankan saya adalah, bagaimana boleh tercetusnya sentimen dan persepsi seolah-olah hanya ahli JT sahaja yang menolak politik dan pilihan raya.

Adakah ini bermakna, 3 juta pengundi yang tidak mendaftar itu semuanya ahli tabligh?

Sudah tentu tidak. Bahkan mahu mengaitkan separuh daripada angka itu pun, rasanya sudah tidak tepat.

Ramai anak muda hari ini menolak politik kepartian kerana beberapa alasan. Salah satunya adalah kerana mereka tidak percaya dengan mana-mana parti politik yang ada, yang secara umumnya, lebih sudu dari kuah.

Dalam masa yang sama, saya cukup kagum dengan semangat persaudaraan yang ditonjolkan oleh rakan-rakan kita daripada jemaah tabligh.

Ada antara mereka penyokong tegar BN. Ada juga pengundi PAS sejak muda. Tidak kurang juga, ada yang bersama-sama dalam revolusi yang dicetuskan oleh DS Anwar Ibrahim.

Namun begitu, mereka beriman sungguh-sungguh dengan hadis ini,

Setiap muslim itu saudara bagi muslim yang lain. Dia tidak akan menzaliminya, menghinakannya, dan tidak pula meremehkannya. Keburukan seseorang itu diukur dari sejauh mana dia meremehkan saudaranya” (HR.Muslim)

Setiap muslim itu haram atas muslim yang lain; darahnya, hartanya, dan kehormatannya.” (HR. Muslim dan Tirmizi, dari Abu Hurairah R.A)

Dari Abu Hurairah R.A, beliau berkata, seseorang pernah bertanya, “Wahai Rasulullah, ada seorang wanita yang rajin solat malam dan puasa sunat di siang harinya, tetapi jiran-tetangganya tersiksa kerana lisannya.” Maka Baginda S.A.W bersabda, “Dia tidak memiliki kebaikan sama sekali. Dia akan masuk neraka”. (H.R Hakim)

“Tidak akan masuk syurga seorang nammam (pengadu domba).(HR. Bukhari dan Muslim)

Saya ada ramai kawan dalam JT. Mereka juga mengikuti politik. Mereka juga mengundi. Bezanya, mereka tidak pernah memandang sesiapapun sebagai musuh dan ‘less human‘.

Jika ditanya kepada mereka tentang mengundi, maka jawab mereka cukup ringkas.

Infradi. Hak individu.

Lebih kemas lagi, mereka menyuruh pula kita melakukan istikharah, minta petunjuk daripada Allah, calon manakah yang kita hendak pilih.

PRU 14 tahun ini, saya berazam mahu mengambil pendekatan JT. Sayang dan kasihan kepada semua orang, sekalipun berbeza pandangan. Saya juga mahu menjaga lidah dan tangan saya daripada bercakap dan menulis sesuatu yang boleh mengguris hati dan menimbulkan kemarahan dan perpecahan.

Golongan liberal dan sekular sering menyelar Islam dan hukum syariahnya sebagai regresif, mundur, dan ketinggalan zaman.

Padahal mereka terlupa, demokrasi yang mereka sanjung ini adalah peninggalan yang lebih ‘tua’, ‘nyanyuk’ dan ‘uzur’, kerana demokrasi lahir semasa Tamadun Yunani, 510 BC (sebelum masihi), sedangkan sistem syura’ hanya lahir beberapa ratus tahun selepasnya.

Saya cuba bersangka baik. Mungkin semua orang terlalu ghairah, seronok, dan teruja mahu mengundi. Kerana itulah mereka terlupa memakan pakaian akhlak Islami.

Wajarlah visi Rasulullah yang paling agung adalah menyempurnakan akhlak, kerana Baginda tahu, memang umatnya ini kurang ajar, sekalipun dengan sunnahnya.

Dan kadangkala, terlalu kurang ajar…

One thought on “Pan-Islamism dan soalan kepada JT Malaysia, adakah mereka akan mengundi?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s