Ustaz Ebit, jangan kecil hati

Setakat pagi ini, sudah lebih 4.6k orang berkongsi status Facebook Ustaz Ebit Lew berkenaan kekecewaan beliau atas layanan anak kapal pesawat AirAsia ke Kuala Terengganu pagi tadi.

Saya faham kekecewaan ustaz kerana tidak dibenarkan untuk bersolat secara berdiri di ruang belakang kabin pesawat. Pada pendapat saya, mereka ada alasan mereka sendiri, sebagaimana Ustaz Ebit pun punya alasan tersendiri mengapa beliau tidak mahu bersolat di tempat duduknya.

Saya tahu teguran Ustaz Ebit kepada syarikat AirAsia secara amnya, dan krew penerbangan AK6222 secara khususnya, adalah teguran ikhlas, tulus, dan murni. Beliau mahukan kebaikan kepada semua termasuklah kita yang membacanya.

Saya baca status Ustaz Ebit pagi tadi dengan jiwa yang lapang. Tidak salah untuk saya katakan, peristiwa ini menjadikan saya semakin hormat kepada Ustaz Ebit. Semoga Allah memberikan kekuatan untuk kita mencontohi semangat dakwah ustaz.

Walaubagaimana pun, saya merasa bertanggungjawab untuk menjawab tuduhan dan rungutan netizen terhadap layanan krew kabin dalam penerbangan tersebut. Ada antara netizen melemparkan kata-kata kesat dan tuduhan yang berat terhadap maruah dan harga diri pramugara dan pramugari malang itu. Saya bersimpati. Mereka, hilang empati.

Dengan ilmu yang terbatas dan pengalaman yang cetek, saya terfikir beberapa kemungkinan.

Carian di internet mendapati pesawat AirAsia pada pagi tadi didaftarkan dengan nombor 9M-AQA, daripada jenis pesawat Airbus A320-216. Untuk pengetahuan semua, kapal terbang ini termasuk dalam kelas ‘narrow body’, ataupun kecil sekalipun saiznya besar, seperti yang Ustaz Ebit kata.

Tambahan pula, AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang murah, memilih untuk memaksimakan ruangan kabin mereka. Pesawat AirAsia boleh membawa 180 orang penumpang dalam satu-satu masa. (186 jika pesawat A320-251, NEO).

Tidak hairanlah mengapa kerusi-kerusi mereka sangat sempit, kerana mereka mahu memaksimakan penggunaan kabin. Jarak antara setiap baris kerusi cuma 29 inci, dan penumpang boleh membelakangkan tempat duduk mereka hanya sebanyak 4 atau 4.5 inci sahaja.

Kawasan ‘di belakang’ yang Ustaz Ebit rujuk dalam status Facebook beliau itu, saya yakin, adalah galley ataupun ‘dapur’ pesawat. Galley adalah ruang kerja utama krew kabin. Di situ ada kompartmen penyimpanan barang seperti barang jualan dan makanan, troli, oven, dan cerek elektrik (boiler).

Selain itu, di situ juga mereka menyimpan barangan peribadi mereka seperti beg, dokumen penerbangan, passport, dan kadangkala wang hasil jualan dalam penerbangan juga disimpan disitu. Tidak lupa juga, di situ juga letaknya dua tandas di kiri dan kanan, dan juga kerusi untuk mereka duduk semasa kapal terbang sedang takeoff dan landing.

Justeru, pada pendapat saya, agak munasabah sekiranya mereka ‘keberatan’ untuk membenarkan sesiapapun untuk menggunakan ruang yang sempit itu untuk bersolat. Tambahan pula, 20 minit sebelum penerbangan adalah sangat kritikal kerana mereka perlu menyediakan kabin untuk para penumpang.

Mereka perlu mundar-mandir di sekitar galley dan aisle untuk mengambil dokumen, termasuklah juga set demo peralatan kecemasan, bagi tujuan demonstrasi kecemasan sebelum berlepas.

Sejujurnya, saya adalah penumpang setia AirAsia. Saya sudah terbang beberapa kali dengan mereka, dan saya juga sudah beberapa kali bersolat di dalam pesawat ‘sempit’ mereka.

Saya pernah bersolat asar dalam penerbangan dari Brunei ke Kuala Lumpur. Semasa kapal sedang cruise atau dalam fasa ‘straight and level’, saya pergi berjumpa dengan salah seorang kru kabin, dan meminta kebenarannya untuk bersolat di hadapan galley.

Bahkan saya juga mengambil wuduk di dalam tandas pesawat. Boleh saya katakan, berwuduk di dalam tandas pesawat AirAsia adalah sangat mencabar. Ini adalah kerana tandasnya sangat sempit dan adakalanya kotor dan berbau kerana penumpang yang ramai dan penerbangan yang kerap.

Dalam masa yang sama, suka saya mengingatkan diri kita supaya tidak mengotor dan membuat lantai tandas ‘banjir’. Jika kita tanpa sengaja membasahkan lantai dan sekitarnya, maka pandai-pandailah menggunakan tisu yang disediakan untuk mengelap supaya pengguna lain selepas kita tidak akan ralat dan geli. Kita pun tidak menyusahkan orang lain.

Saya berpendapat Ustaz Ebit terkilan kerana dia sudah berwuduk dan dia tahu arah kiblat. Sebaliknya jika sudah dalam penerbangan, hendak mengetahui arah kiblat perlu kepada ijtihad peribadi.

Cara yang paling pantas adalah dengan menggunakan aplikasi ‘qiblat finder’ yang boleh dimuat turun di telefon pintar kita. Aplikasi ini tetap berfungsi walaupun di dalam flight mode.

Cara yang lebih tepat adalah dengan mengetahui arah penerbangan pesawat. Sistem navigasi kapal terbang menggunakan ‘magnetic north’ sebagai rujukan, sedangkan di atas peta, lokasi kiblat diberikan dengan referen ‘true north’.

Garis referen ‘true north’ adalah kutub utara, manakala ‘magnetic north’ pula terletak berdekatan Pulau Ellesmere, Canada. Jadi, ada sedikit perbezaan antara dua garis rujukan ini, yang dinamakan sebagai ‘magnetic variation’.

Kita boleh meminta kru kabin untuk membuat panggilan ke kokpit dan memintanya bertanya kepada kapten pesawat, arah semasa penerbangan (direction of heading), lalu kita boleh membuat kira-kira kasar, arah kiblat sebenar.

Walaubagaimanapun, saya yakin ramai antara kita semua telah sedia maklum yang kita diberikan kemudahan (rukhsah) untuk bersolat di tempat duduk kita, tak kira di mana sekalipun arah pesawat.

Namun begitu, bagi orang yang mahu bersolat secara berdiri, mereka masih boleh melakukannya semasa kapal terbang di dalam fasa ‘cruise’.

Bagi perjalanan KUL ke TGG, perjalanan udara biasanya memakan masa kurang daripada 40 minit, jadi fasa ‘cruise’ juga sangat singkat. Maka, saya sangat faham jika sekiranya krew kabin keberatan untuk mengizinkan orang bersolat di kawasan galley, kerana mereka juga sibuk mahu menyiapkan dokumen, memanaskan makanan, mengedarkannya, dan menjual cenderhati. Sudah tentu mereka juga tidak mahu kerja mereka terganggu, sekalipun kita berjanji, “..baca yang wajib sahaja”, atau “…tak sampai seminit pun”.

Mengikut pengalaman saya, ini semua terserah kepada budi bicara krew kabin itu juga. Jika mereka faham, mereka akan mengizinkan. Tetapi jika mereka berkeras tidak mahu memberi izin, adakah mereka salah? Tidak juga. Mereka pun bekerja seperti kita. Lagipun mereka tidak menghalang kita jika kita solat di tempat duduk kita.

Mungkin telahan Ustaz Ebit tentang ratusan orang yang tidak bersolat itu benar. Saya turut berdukacita membayangkan berbondong-bondong orang meninggalkan solat kerana kesulitan ini.

Namun begitu, saya juga bersimpati jika seluruh dunia memandang sinis terhadap krew penerbangan dan para penumpang yang kononnya tidak bersolat ini.

Adalah tidak tepat jika kita membuat suatu kesimpulan hanya dengan persangkaan kita . Takkanlah kerana kita tidak nampak, bermakna mereka tidak buat. Orang yang meninggalkan solat, kata Nabi S.A.W, sedang meruntuhkan agama. Sudah tentu kita tidak mahu sewenang-wenangnya menuduh seseorang itu meruntuhkan agamanya. Besar implikasi hukumnya, dan besar juga tuduhannya.

Mungkin mereka solat di kerusi mereka. Bahkan Ustaz Ebit sendiri sebutkan, “seminit sahaja”. Solat subuh hanya dua rakaat sahaja. Lakukan yang wajib sahaja, maka memang seminit pun sudah boleh selesai bukan?

Oleh kerana kekangan untuk menunaikan solat subuh inilah menyebabkan saya tidak pernah mengambil penerbangan awal pagi. Biar lambat sedikit, asalkan solat dapat dijaga. Perjalanan ke sesebuah destinasi itu pun bukannya terhad dengan satu penerbangan atau satu syarikat penerbangan sahaja.

Saya juga ada membaca komen-komen netizen tentang layanan kelas pertama yang diberikan oleh krew kabin syarikat penerbangan premium. Tidak kurang juga ada yang membuat perbandingan dengan krew AirAsia.

Dukacita dimaklumkan bahawa AirAsia adalah syarikat penerbangan tambah murah dan beroperasi dengan kos yang rendah. AirAsia tidak sama dengan Fly Emirates, Qatar Airways, Saudi Airlines bahkan pesaingnya, MAS. Semua itu adalah full-service airline bukannya low-cost. Jadi agak sukar membayangkan pramugari datang ke tempat duduk kita dan bertanya, “Puan nak solat?”, lalu dia pun menghamparkan sejadah dan menarik tirai, di ‘surau’ kecil di dalam pesawat.

Saya berharap saya sudah memberi sedikit keadilan kepada krew penerbangan AK6222. Dalam masa yang sama, saya juga berharap mereka ini jugalah yang akan menjadi pencetus kesedaran para penumpang untuk menunaikan solat, seterusnya memudahkan perlaksanaannya.

Saya percaya semua orang adalah baik. Kejadian ini sudah pastinya akan menjadi pengajaran yang paling bermakna kepada kita, agar kita semua menjadi ‘pejuang solat’, walau di langit mana pun kita berada.

Jaga solat,

Dan Allah akan menjaga kita dunia hingga akhirat.

3 thoughts on “Ustaz Ebit, jangan kecil hati

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s