Mahalnya buku itu.

Saya ada membeli sebuah buku setebal 240 halaman di ekspo buku Kipp Mall, Kota Warisan. Buku yang pada tajuknya ada ‘catatan’ dan ‘diari’, manakala isinya adalah tulis-semula daripada status Facebook seorang bekas imam rawatib di sebuah masjid di Pantai Timur.

Saya belek-belek kandungannya. Ternyata tulisannya pendek-pendek sahaja. Satu tajuk tu cuma ada beberapa baris ayat sahaja. Selebihnya cuma kertas kosong tanpa dakwat cetak. Yang memeranjatkan saya adalah harganya yang mencecah RM 25.

Di kaunter bayaran, saya perasan ada gadis remaja di belakang saya memegang hampir 10 buah buku di tangannya. Telinga saya sempat merakam usikan juruwang lelaki di situ, “Dik, banyaknya beli buku. Baca ke tak ni?”.

Remaja perempuan itu ketawa kecil sebelum menjawab, “Dah beli, mestilah baca”.

Tidak lama dahulu, saya pernah membaca kritikan seorang pejuang ‘buku berhaluan kiri’ terhadap realiti industri buku di Malaysia. Katanya, kita dilambakkan dengan buku-buku picisan yang jika ianya bukan buku cinta, ia buku tazkirah yang disensasi secara berlebihan.

Tambahnya lagi, hari ini semua orang mahu menjadi penulis. Hingga akhirnya yang dipersembahkan kepada pembaca bukanlah ilmu, tetapi hiburan sahaja. Kebanyakan buku yang menghuni tangga teratas dalam senarai ‘best seller’ ini cuma kaya pada kulitnya sahaja, tapi miskin daripada isi.

Saya membayangkan buku yang saya beli tadi. Kandungannya tidaklah setebal mana, isinya sekadar catatan pengalaman peribadi penulis. Penerbit cuma copy, paste, dan edit sahaja daripada status Facebook penulis asal. Tetapi harganya sudah sama dengan sebuah buku ilmiah.

Menggambarkan buku berat, ilmiah dan kelas premium, sudah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan buku-buku biasa. Hinggakan jika seorang professor, doktor, dan ahli akademik menulis buku, dia dipandang sama kelasnya dengan budak-budak muda yang juga adalah penulis buku.

Data daripada Perpustakaan Negara pada tahun 2014, kadar pembacaan buku rakyat Malaysia adalah tidak melebihi 15 buah buku dalam setahun, dan buku yang paling banyak dibaca adalah dalam genre ‘literature popular’ yang ringan.

Pada pendapat saya, membaca bahan-bahan yang ringan ini, sedikit pun tak salah, namun ia juga bukan suatu yang boleh kita banggakan.

Hari ini, di mana-mana sahaja, kita boleh lihat banner-banner dan banting yang cuba mengangkat budaya membaca. Slogan ‘Membaca jambatan ilmu’ cuba dipahat di hati semua orang.

Namun begitu, persoalannya sekarang adakah semua buku memberi ilmu? Dan adakah semua bacaan kita memberi manfaat?

Tambahan pula, buku-buku yang berada di pasaran pada hari ini kebanyakannya berharga lebih daripada RM 20. Sukar sekali bagi kita untuk mendapatkan bahan bacaan yang tebalnya melebihi 250 halaman dengan harga di dalam kemampuan kita.

Membaca buku yang ringan itu baik. Bagus untuk mulakan momentum membaca kita. Tapi, takkanlah selama-lamanya kita hanya mahu membaca buku dalam kelas itu sahaja.

Saya percaya dengan slogan membaca jambatan ilmu. Tetapi saya juga percaya kita kena melihat kepada ‘bahan’ yang membina ‘jambatan’ itu.

Jika menyeberang kejahilan dengan sebatang kayu, saya bimbang ia akan mudah reput selepas dibakar panas matahari dan sejuknya titisan embun.

Sebaliknya jika kita menyeberang kejahilan dengan jambatan batu bersandarkan tiang yang gagah dan kukuh, saya yakin, akhirnya nanti kita akan mencapai matlamat dan manfaat.

Jadi, bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan. Kurangkan membaca Facebook. Bacalah buku.

One thought on “Mahalnya buku itu.

Leave a comment